Oleh: SYED WAFA
Foto: KOLEKSI SYED WAFA
APABILA bercakap mengenai Seniwati Noor Azizah pasti terbayang di ingatan para peminat filem Melayu era 1960-an kerana lakonannya sebagai Puteri Mawarni dalam filem “Dayang Senandong” (1965) arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong.
Walaupun dalam filem berkenaan beliau hanya muncul dalam beberapa babak sahaja namun wajahnya yang jelita dan wataknya sebagai Puteri Mawarni yang tegas namun terserlah sifat manja dan lembut seorang puteri berjaya memikat hati para peminat filem Melayu ketika itu.


Bukan itu sahaja, sama ada suka atau tidak filem berkenaan telah ‘melahirkan’ seorang seniwati pujaan ramai yang mana sejak filem itu, satu demi satu tawaran berlakon diterimanya.
Itulah Seniwati Noor Azizah yang dilahirkan di Kinta, Ipoh pada tahun 1947 adalah anak kepada pasangan suami isteri, Datuk Seri Azizul Hassan Haji Abdul Rani dan Toh Puan Datin Seri Hasiah. Beliau adalah isteri kepada Datuk Nik Hussein dan ibu kepada dua orang anak.


Sepanjang 14 tahun penglibatan beliau dalam bidang lakonan (1965 – 1979) sebanyak 18 filem telah dibintangi dengan dua lagi filem “Pertarongan Di Gua Siluman ( Indonesia – 1989) dan filem terakhir “Soal Hati” (Othman Hafsham – tahun 2000) namun kenangan berlakon filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sentiasa segar dalam ingatan Noor Azizah.
Bagi Noor Azizah, sentiasa mengingati P. Ramlee bukan bermakna beliau melupakan jasa Jamil Sulong, pengarah pertama yang memberinya peluang berlakon diikuti S.Kadarisman dan Omar Rojik serta Jins Shamsuddin namun berlakon filem P. Ramlee banyak meninggalkan kenangan manis buat Noor Azizah!

Babak ini sebagai simbolik penutupan Studio Malay Films Production di Singapura.
Meskipun hanya tiga daripada 20 filem lakonannya diarahkan oleh P. Ramlee tetapi kenangan ketika berlakon filem arahan Seniman Agong itu tidak pernah padam dari ingatannya.
Malah Noor Azizah menganggap ia adalah ‘rahsia’ peribadi yang disimpan sebagai kenangan yang tidak mudah dilupakan sehingga hari ini.


Filem “6 Jahanam” arahan P. Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1969 bukan sahaja pertama kali menemukan beliau dengan P. Ramlee malah dibenarkan berlakon kerana Allahyarham mengenali ayahnya.
Ketika itu, Noor Azizah yang baru berusia 21 tahun tinggal di Johor dan P. Ramlee yang menetap di Kuala Lumpur dalam proses memulakan penggambaran filem “6 Jahanam” terbitan Studio Merdeka, Hulu Kelang.


Filem ini dilakonkan oleh Noor Azizah, Ismail Mahmud, Norlia Ghani, Nasir P. Ramlee dan Arman Yadi.

P. Ramlee khabarnya yang mengenali ayah Noor Azizah, seorang pegawai tinggi polis, telah ke Johor dan berjumpa beliau dan meminta kebenaran untuk ‘melamar’ Noor Azizah berlakon sebagai Masmera dan Mastika isteri kepada Tantari (P. Ramlee) dalam filem berkenaan.
“Walaupun sudah lebih lima dekad berlalu tetapi Kak Noor tidak boleh melupakan kenangan dan pengalaman berlakon filem dengan pengarah hebat seperti Uncle Remy.


“Di set penggambaran Uncle Remy memang tegas dan marah jika pelakon lain buat silap. Tetapi jika Kak Noor buat silap Uncle Remy tidak pernah meninggikan suara. Uncle Remy akan tegur Kak Noor dengan lembut dan buat Kak Noor selesa di bawah arahan beliau.
“Bukan itu sahaja, malah kru tidak dibenarkan mengganggu Kak Noor ketika di set penggambaran,” cerita Noor Azizah mengimbas kembali ketika di set penggambaran filem “6 Jahanam” arahan P. Ramlee yang beliau panggil
‘Uncle Remy.’


Setelah kejayaan filem itu, dua kali lagi Noor Azizah ditawarkan berlakon dalam filem arahan P. Ramlee iaitu “ Dr. Rushdi” (1970) dan “Jangan Tinggal Daku” (1971).
Bagaimanapun sesuatu yang membanggakan selain ditawarkan berlakon dalam tiga filem arahan P. Ramlee, Noor Azizah turut ditawarkan berlakon dalam filem “Malin Kundang” filem Indonesia arahan D. Djajakusuma.

Gambar ini menjadi ‘cover’ Majalah Filem.

Filem ini dibintangi oleh Noor Azizah, Anita Jaafar, Ratno Timoer, Sarah Dewi dan Ewin Gutawa.
Filem terbitan tahun 1971 ini adalah adaptasi cerita rakyat dengan skrip Asrul Sani yang dibintangi Rano Karno, Putu Wijaya dan Fifi Young.
Bagi Noor Azizah peluang berlakon filem berkenaan bukan sahaja memberi pengalaman baru buat dirinya malah ia cukup membanggakannya.

Selain mereka berdua, filem terbitan Merdeka Film Productions pada tahun 1976 turut dibintangi Aziz Jaafar, Yusof Haslam dengan pelakon kanak-kanak – Aziz M. Osman, Nasran Nawi, Rozana M.
Osman, Azihan M. Osman, Roslina M. Osman dan Zulkifli M. Osman.

“Bukan mudah mendapat peluang berlakon filem Indonesia apalagi diberi watak utama,” kata Noor Azizah mengenai filem arahan D. Djajakusuma.
Selain itu, Noor Azizah turut ditawarkan berlakon sebagai Dr. Susan Lim dalam drama bersiri “Bailey Bird” terbitan produksi Australia.


Ditanya pengalamannya berlakon drama tersebut, sambil ketawa kecil Noor Azizah bercerita;
“Kak Noor bukan sahaja takut ular malah geli. Apa yang buat Kak Noor gelihati apabila ada babak ular walaupun di bawah ‘seat’ dalam kapalterbang yang Kak Noor naik. Walaupun pihak produksi beritahu itu hanya ular getah…kalau dah nama ular…Kak Noor tak sanggup dan terus lari.”


Belakang P. Ramlee … AK Jailani.
Belakang kanan: Ruminah Sidek membuat persembahan di Dewan Raya Radio Brunei. Ramai peminat P.Ramlee di negara itu telah memenuhi Dewan Raya pada malam itu bagi menyaksikan persembahan istimewa tersebut.
Kini pada usianya mencecah 77 tahun, Kak Noor, seorang pencinta kucing dan memounyai tujuh ekor kucing lebih selesa menjalani hidup sebagai isteri dan ibu kepada dua orang anak.
Apabila ditanya adakah beliau akan terima jika ada tawaran berlakon filem untuknya, sambil tersenyum dalam nada lembut tetapi tegas, Noor Azizah berkata;


“Soal Hati arahan Othman Hafsham terbitan tahun 2000 adalah filem terakhir lakonan Kak Noor. Sekali Kak Noor letak ‘noktah’ pada bidang lakonan, Kak Noor tidak akan padam. Biarlah pengalaman Kak Noor berlakon menjadi kenangan indah dan abadi dalam perjalanan hidup ini.”
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga Kak Noor dianugerahkan kesihatan yang baik dan bahagia disamping keluarga tercinta. Amin.


SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.