Oleh: Wawa Najwa
MESTI ada yang pernah tonton filem Hindi, “Chori Chori Chupke Chupke” arahan Abbas–Mustan yang dilakonkan oleh Salman Khan, Rani Mukerji dan Preity Zinta yang dikeluarkan pada 2001.
Filem itu mengisahkan sepasang suami isteri, Raj dan Priya yang mencari ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat kerana selepas keguguran Priya disahkan oleh doktor tidak boleh mengandung lagi.
Atas nasihat doktor, Raj dan Priya mencari seorang wanita untuk menjadi ibu tumpang dan akhirnya bertemu dengan Madhu, seorang pelacur yang sedia melakukan proses tersebut demi wang.
Itu filem Bollywood, di Malaysia pun anda berpeluang menonton cerita sebegitu menerusi drama “Senyawa” sebanyak 12 episod yang bakal bersiaran pada 25 Oktober ini, 9 malam (setiap Jumaat dan Sabtu) menerusi aplikasi penstriman popular Asia, iQIYI.
Drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd., arahan Eyra Rahman itu menyentuh aspek kekeluargaan, percintaan dan pengorbanan menampilkan barisan pelakon Trisha Ooi, Shahz Jaszle, Siti Hariesa, Datin Nina Juren, Liang Chia, Aleza Shadan, Heryanto Hassan dan ramai lagi.
Isu yang ditonjolkan dalam “Senyawa” adalah perihal ibu tumpang atau surogate mother yang sebenarnya jarang diperkatakan di kalangan umat Islam, namun pengorbanan terlarang bakal terungkap dalam drama tersebut.
Menurut pengarah Eyra, isu yang diangkat dalam drama ini sangat berat kerana ianya berkaitan dengan hukum halal dan haram. Senyawa adalah sebuah naskah di mana pendekatan yang diambil adalah menghalalkan hukum yang haram.
Cerita ini membawa isu ibu tumpang di mana isu ini sangat berat dan tidak boleh diambil remeh seperti yang kita tahu, ibu tumpang itu sendiri adalah jatuh hukum haram dalam Islam.
“Dalam cerita ini saya ringkaskan kita tidak boleh menghalalkan benda yang haram, banyak pengajaran di dalam “Senyawa” yang kita boleh ambil kitibar.
“Sangat jelas penyampaian dalam cerita ini yang ibu tumpang adalah haram dari segi hukum Islam. Di sini kami tidak ada apa-apa isu yang kita mempersetujui tentang ibu tumpang ini. Ada yang tanya kenapa buat cerita ini kalau dah tahu yang ibu tumpang itu haram.
“Di situlah pada kami nak sampaikan, kita tak ada mengiyakan tentang ibu tumpang itu. Sebaliknya banyak dalam setiap adegan yang diketengahkan menjelaskan bahawa ibu tumpang itu tak boleh.
“Topik yang kita pilih tentang ibu tumpang ini bukan tak terjadi dalam dunia ataupun di Malaysia, memang perkara itu berlaku. Apabila kita tanya orang ada sesetengah daripada mereka (Islam) tak tahu yang ibu tumpang itu haram.
“Ada yang rasa boleh dan pada saya drama ini bertujuan untuk menjelaskan yang kita tidak boleh tumpang benih kita ke dalam rahim perempuan lain selain isteri. Perkara itu sangat jelas dan isu ibu tumpang ini adalah salah satu perkara hukum haram yang kita nak ketengahkan,” jelas Eyra.
Katanya lagi, sebelum drama ini diterbitkan, beliau terlebih dahulu membuat penyelidikan dan tidak dinafikan kes ibu tumpang memang berlaku di Malaysia.
“Saya tak pernah jumpa lagi isu ini tapi saya buat penyelidikan tapi orang itu tidak menceritakan siapa dia tapi perkara ini memang berlaku di Malaysia. Ada banyak, kebanyakan mereka menutupi identiti masing-masing,” kata Eyra lagi.
Sementara itu, Trisha berkongsi tentang watak Zabrina yang dibawakannya bukanlah sesuatu yang mudah dan untuk watak itu beliau terpaksa mewarnakan rambutnya.
“Untuk melakonkan watak Zabrina sangat mencabar kerana saya perlu membuat pelbagai persiapan. Saya banyak berbincang dengan Kak Eyra untuk membina dan mencipta watak seberat Zabrina.
“Bayangkan saya perlu bermain dengan emosi dari seorang yang dominan dan pada masa yang sama sangat rapuh hatinya, berlaku pergolakan jiwa di situ. Namun, saya puas dapat berikan yang terbaik dan berharap penonton turut merasainya,” akui Trisha.
Bagi Shahz Jaszle yang melakonkan watak Iskandar, suami kepada Zabrina mengakui beraksi dalam Senyawa adalah suatu yang baharu kerana mengetengahkan isu ibu tumpang.
“Saya perlu menyelami watak Iskandar yang terlalu menyayangi isterinya sehingga sanggup berkorban melakukan perkara yang dilarang dalam agama.
“Nasihat saya, sebagai khalifah dalam sebuah keluarga, suami harus membimbing rumah tangga kerana kunci utamanya adalah agama, dan sebagai orang Islam kita harus mempertahankan yang halal dan menidakkan yang haram,” katanya tentang drama yang banyak memberi panduan itu.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.