Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Datuk Chef Wan/Koleksi Syed Wafa
Mungkin ramai yang sudah mengetahui berita sedih chef selebriti Malaysia Chef Wan atau nama sebenarnya, Datuk Redzuawan Ismail, 66, mengakui dirinya menghidap kanser limfoma sejak Ogos tahun lalu. Beliau didiagnos menghidap kanser itu selepas menjalani dua kali ujian electrocardiogram (ECG) di sebuah hospital.
Namun hasil beberapa kali rawatan yang dilakukannya kini Chef Wan dalam keadaan stabil kerana kanser dihidapinya masih di peringkat awal kerana belum merebak ke otak.

“Alhamdulillah selepas menjalani imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET) kini saya `bebas’ dari kanser tersebut. Masa tahu itu saya tak sedih sebab sebagai manusia yang bernyawa saya mesti terima kenyataan kerana semua orang akan mati. Ramai lagi yang sakit macam saya…bukan saya seorang sahaja.
“Masa tu saya banyak berdoa, berusaha untuk mencari jalan bagi mengubati penyakit saya, banyak membaca dan cari doktor yang terbaik. Sekarang ini saya cukup menjaga pemakanan saya dan saya bertuah dalam sakit begini pun bisnes saya tetap berjalan
“Doktor pun sebenarnya terperanjat setelah dua kali buat rawatan kimo. dalam usia begini saya masih segar berbanding sesetengah orang selepas buat kimo. Saya juga bersyukur kerana tidak ada penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi”.


Chef Wan menambah kini dia menerima segala ketentuan itu dengan hati terbuka.
“Kalau kita tak buat jahat buat apa takut nak mati. Kalau Allah tak sayang kita, Allah tak akan duga saya sebegini dan bagi segala-gala kesenangan yang saya ada seperti sekarang ini. Saya dah pernah lalui macam-macam dalam hidup ini dah kecapi pelbagai kejayaan.
“Inilah kehidupan… anda hanya perlu melaluinya dengan positif. Saya perlu kuat dan sihat kerana saya juga perlu menjaga ramai orang. Insya-Allah, Allah akan jaga saya. Saya ada banyak tanggungjawab pada keluarga terdekat dan anak-anak serta meeka yang memerlukan bantuan.

“Harta seseorang itu tidak akan habis dengan bersedekah kerana ia tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Biar kita mati miskin, biar kurang harta tapi kita lebihkan kebajikan. Kita kena beri pada orang-orang yang susah, cacat, autistik, buta ataupun rumah orang tua-tua,” katanya.
Chef Wan anak sulong daripada tujuh adik-beradik kini sedang merangka untuk berkerjasama bersama pelabur-pelabur baru untuk membuka restoran di New York, Dubai dan London.

Ditanya mengenai persaraan, kata Chef Wan dia tidak merancang untuk bersara buat masa sekarang ini.
“Saya tak boleh bersara awal. Saya kena ajar Chef-chef baru di restoran saya. Cuma sekarang saya tak buat program televisyen lagi kerana ia memerlukan masa yang lama untuk rakaman. Sedangkan sekarang ini, saya perlukan banyak masa untuk berehat dan utamakan diri sendiri
“Kini saya habiskan masa dengan buat benda-benda yang saya suka. Benda-benda ini yang buat saya rasa lebih bahagia dan hidup rasa lebih bermakna. Dalam pada itu jangan lupa belajar dari persekitaran anda kerana ilmu bukan saya daripada buku tetapi juga persekitaran kita. Selagi mampu ini hargailah kehidupan kita.

“Hidup ini simple jangan fikirkan apa yang orang cakap. Hanya kita yang tahu apa yang kita buat dan kita lalui. Kita tak perlu risau apa orang cakap tentang kita. Kita lagi risau jika kita tak berduit…siapa yang akan bagi kita duit nak makan, nak bayar bil kita, nak bagi kucing-kucing saya sebanyak 11 ekor ini makan,’’ ujar Chef Wan lagi.
Beliau melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM) dalam jurusan perakaunan.Beliau memperolehi Diploma Perakaunan setelah menamatkan pengajian beliau. Pada tahun 1979, Chef Wan meneruskan lagi pengajian beliau ke peringkat yang lebih tinggi di Universiti New South Wales, Australia. Chef Wan juga pernah mengikuti kursus ijazah selama 3 tahun di California Culinary Academy di San Francisco.

Pada 1 Februari 2010, bersempena dengan Hari Wilayah, Chef Wan telah dikurniakan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah oleh Pemangku Yang Dipertuan Agung, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yang membawa gelaran Datuk .
Sepanjang 34 tahun karier sebagai chef selebriti, Chef Wan begitu aktif dan gigih mempromosikan budaya Malaysia menerusi masakan di mata dunia. Sifat serba bolehnya ini telah membantu Chef Wan mendapat pelbagai pengiktirafan antaranya Fellowship Award dari Thames Valley University of London, Anugerah Ahli Mangku Negoro Paku Buono (AMN) dari Kerajaan Majapahit, Chef Melayu Moden Terbaik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan The Best Celebrity Chef In The World di World Gourmand Cookbook and Media Awards 2009.

Chef Wan juga telah menerbitkan pelbagai jenis buku resipi.Antaranya ialah Flavours of Malaysia, Selera Antarabangsa (MAS Golden Boutique 1996) iaitu kompilasi pelbagai resipi masakannya,Chef Wan’s Sweet Treats diterbitkan oleh Times Edition pada tahun 2000, Simply Sedap!Chef Wan’s Favourite Recipes juga diterbitkan Times Edition (2000),Simply Sedap 2 Chef Wan Shares More Favorite Recipes (Times Edition 2006),Around the World with Chef Wan(Times Edition 2000),The Art of Entertaining, Flavours of ASEAN, Sajian Raya Bersama Chef Wan (Media Corp. TV Suria Singapore 2003) dan Langkah Demi Langkah Bersama Chef Wan ( Berita Publishing Sdn. Bhd.).

Chef Wan juga telah berjaya menempa nama dalam dunia masakan antarabangsa melalui program-program masakan antaranya Flavour of Asia yang disiarkan di Prime 12 di Singapura,A Taste of Australia With Chef Wan (Part 1 and 2) Australia disiarkan oleh ABC Network ke seluruh Asia,Chef Wan and Gino’s Specials Norge TV, Oslo,Martin Yan’s The Best of Asia and The Edible Roots (1997),chef undangan American Food Channel, United States, Food of the World disiarkan TV4 Stockholm, Sweden,A Taste of Malaysia,No Reservation Please Discovery Channel bersama chef dan penulis terkenal Anthony Bourdain untuk American Food Channel
Selain itu program Market Kitchen disiarkan UK Food Network dan pengacara bersama sebuah rancangan masakan dan kulinari Singapura, Filipina, dan Malaysia bersama chef Martin Yan,Yan Can Cook Fame. Beliau juga merupakan bintang antarabangsa menjadi Chef Residen (Bintang Premier) bagi saluran masakan Asia yang berpangkalan di Hong Kong. Chef Wan menjadi imej saluran tersebut dimana beliau telah dikenali oleh berjuta-juta orang di seluruh Asia sebagai chef antarabangsa.

Popularitinya ini membuatkan Chef Wan juga ditawarkan untuk berlakon beberapa buah film dan drama. Antara filem lakonannya Chef Wan iaitu Lurah Dendam (1996) diikuti filem Baginda pada tahun berikutnya. Soal Hati (2000), Senario XX (2005), Karipap-Karipap Cinta (2011) dan Gangsterock Kasi Sengat (2015).
Chef Wan kini bahagia dengan kehadiran dua anaknya, Serina dan Mohd Nadzri serta tiga orang cucu.


Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.