Oleh : SYED WAFA
Foto : Ehsan Datuk Chuari Selamat.
KALAU bercakap tentang pantun yang sering menjadi penyeri atau pembuka kata pada adat dan tradisi majlis merisik atau meminang, majlis pertunangan serta majlis persandingan pasti akan mengingatkan kita dengan figura yang seorang ini.
Betapa tidak kehebatan beliau dalam berpantun tidak perlu dipertikaikan lagi bukan sahaja pada usianya yang semakin matang malah pada umur remaja beliau telah mempamerkan pelbagai bakat anugerah-Nya yang dimiliki. Gelaran “Raja Pantun” juga selayaknya untuk insan hebat ini.
Begitulah istimewanya Datuk Chuari Selamat, figura yang dimaksudkan dengan pelbagai kehebatan yang terserlah ketika usianya baru mencecah 11 tahun (Darjah Lima) pada tahun 1965 yang telah menunjukkan bakatnya sebagai pelakon apabila terpilih dan berjaya dalam uji bakat sebagai pelakon kanak-kanak untuk siaran Radio Malaya di Rumah Persekutuan, Kuala Lumpur ketika itu.
“Ketika saya di darjah lima, saya dipanggil untuk berlakon sebagai pelakon kanak-kanak untuk siaran Radio Malaya. Disebabkan saya sekolah pagi, selalunya rakaman dibuat selepas sekolah pada pukul 6.00 petang atau hari minggu ketika cuti, saya akan naik bas dari Datuk Keramat ke Federal House.
“Ketika itu, bayaran berlakon untuk 15 minit hanya RM7.50. Tetapi nilainya sekarang sama dengan RM75.00, Saya juga cari duit sendiri dengan menjual kuih kerana mahu membantu emak seorang ibu tunggal yang mengambil upah membasuh dan mengemas rumah jiran. Ayah saya telah meninggal dunia sejak saya kecil lagi.
“Pada satu petang apabila drama radio yang saya lakonkan bersiaran, saya tumpang mendengar di rumah jiran ketika itu. Itulah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan dan langkah pertama saya terlibat dalam dunia penyiaran,” cerita Chuari Selamat sambil mengimbau kenangan ketika beliau mula dikenali setelah cerita mengenainya disiarkan dalam Utusan Pelajar terbitan Utusan Melayu (M) Bhd.
Ketika di Tingkatan 1, selain berlakon Chuari Selamat mula belajar hayati dan menulis skrip untuk drama kanak-kanak radio terbitan Rangkaian Nasional (Radio Malaysia)
Sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menjadi Juruhebah Radio Pendidikan (sambilan) antara dua jam hingga tiga jam sehari.
Beliau mula menjawat jawatan tetap sebagai Penerbit Rancangan dan Juruhebah pada tahun 1973 dan dianggap sebagai penggiat seni yang serba boleh dan terlibat dengan menerbitkan rancangan bercorak hal ehwal semasa, drama, rencana, hiburan dan berbalas pantun.
“Apabila menjadi Penerbit Rancangan saya terasa diri ini terlalu kerdil sebab dianggap terlalu muda dan ada yang menganggap suara saya tidak sesuai.
“Walaupun saya tidak setaraf dengan mereka tetapi sekurang-kurangnya apabila buat skrip saya buat sebaik yang boleh,” cerita Chuari Selamat yang begitu meminati Allahyarham Tan Sri S.M. Salim yang juga merupakan antara juruhebah terkenal ketika itu.
Menyingkap perjalanan beliau dalam bidang penyiaran, suara Chuari Selamat yang turut berkumandang di radio sebagai juruhebah, penyampai berita, pengulas siaran langsung, mendeklamasi puisi juga selaku pengerusi pertandingan berbalas pantun, Chuari Selamat yang pernah menjadi Penerbit di Bahahisn Persembahan Radio, Bahagian Halehwal Awam Radio, Bahagian Hal Ehwal Awam TV, Radio 1 dan Radio Muzik dan pernah dilantik sebagai Pengawal Stesen Radio 1 dan Pengawal Stesen Klasik Nasional, berkata;
“Sepanjang menjalankan tugas dalam bidang penyiaran, saya tidak boleh melupakan rancangan Berbalas Pantun terbitan saya dan bersiaran di radio.
“Berbalas Pantun adalah satu rancangan popular dan untuk menjadi yang terbaik, saya kaji setiap perserta empat hari sebelum bersiaran.
“Saya bukan pelawak tetapi saya cuba mencuri hati pendengar namun tidak perlu ketawa terbahak-bahak,” ujar beliau.
Bagi anda yang sering mengikuti rancangan Berbalas Pantun terbitan Chuari Selamat satu masa dulu, pasti tidak menafikan bahawa ia adalah sebuah program yang melekat dihati penonton dan ‘Raja Pantun’ yang tiada tandingan serta sememangnya hebat dalam bidang ini.
Sehingga kini beliau masih aktif dalam dunia pantun dan menjadi pengerusi pertandingan berbalas pantun yang dianjurkan oleh kementerian atau swasta.
Sedikit teguran Chuari Selamat kepada juruhebah radio (DJ Radio), beliau amat terkilan dan berharap juruhebah sekarang menggunakan Bahasa Melayu yang betul dan bukan “Bahasa Pasar” yang menjadi bahan lawak, ini akan menjadi contoh dan ikutan kepada generasi muda malah paling malang bahasa kita yang tinggi nilainya akan terhakis dan rosak secara perlahan-lahan.
“Ketika kami terpilih untuk menjadi juruhebah, kami akan dinilai melalui penilaian yang agak ketat antaranya ujian penulisan, mutu suara serta cara penyampaian spontan atau melalui skrip, sehingga kini RTM mengutamakan kriteria tersebut,” kata Chuari Selamat dengan tegas.
Ditanya pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan bersama peminat ketika beliau bergelar juruhebah terkenal tanah air,
“Terlalu banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan bersama peminat-peminat ketika itu, antara paling saya tidak dapat lupa ketika berkunjung di sebuah FELDA.di Negeri Sembilan.
“Saya diperkenalkan oleh kawan dengan satu keluarga di situ, bila mereka dengar nama saya salah seoarang dari ahli keluarga tersebut menangis, dia sebak kerana sayalah hubungan bersama ibunya menjadi rapat semula.
“Ketika beliau mendengar radio yang dikelolakan oleh saya, ketika itu saya siarkan lagu “Ayah Dan Ibu” yang dinyanyikan oleh Sudirman dan saya selitkan kata mutiara, seoarang ibu boleh besarkan sebelas orang anak dengan penuh kasih sayang dan tidak kenal erti penat atau lelah, dari situlah beliau sedar dan terus peluk ibunya dengan linangan air mata setelah sekian lama tidak bertegur sapa,” cerita Chuari Selamat dengan sayu .
Selain hebat dibidang penyiaran, Chuari Selamat juga berbakat dalam bidang penulisan lirik dan telah menulis lebih 500 lirik lagu hit dan sehingga kini menjadi “malar segar” antaranya “Semakin Hari Semakin Sayang” (Uji Rashid), “Wajah Kesayangan Hamba” (Datuk Hail Amir), “Setulus Cinta” (Broery Marantika), “Perpisahan Tanpa Relamu” (Datuk Jamal Abdillah), “Ku Sangka Siang Kiranya Malam” (Datuk Khadijah Ibrahim) dan “Antara Matamu dan Mataku”(Uji Rashid dan Datuk Hail Amir).
Bertanya mengenai rancangan masa depannya selepas bersara dalam bidang penyiaran, Chuari Selamat yang telah menerima pelbagai anugerah antaranya Anugerah Sri Angkasa – Penyampai Terbaik Radio” (1984), DJ Terbaik Radio (1991), Anugerah MACP 2007, Anugerah Khas Angkasapuri 2005 oleh Menteri Penerangsn 2012, Anugerah Seri Temasik Radio Klasik oleh Majlis Pusat Singapura, berkata;
“Walaupun sudah bersara, saya masih aktif bersama Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), RTM negeri, PDRM dan banyak lagi dalam memberi ceramah, tunjuk ajar dalam bidang penyiaran dan sebagainya.
“Syukur pada Allah, saya juga masih aktif sebagai pengerusi majlis untuk majlis rasmi atau tidak rasmi antara majlis merisik, majlis persandingan atau sebagainya.
“Impian dalam hidup saya adalah untuk menerbitkan biografi tentang perjalanan hidup saya dalam dunia penyiaran dan “Koleksi Pantun” yang pernah saya cipta untuk menjadi panduan kepada mereka yang minat dalam bidang tersebut,” kata beliau bersungguh-sungguh dan bagi mereka yang ingin mendapat khidmat dari insan hebat ini boleh hubungi beliau di talian +6012-3152627.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan Chuari Selamat sentiasa dirahmati Allah SWT…Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.