Oleh : Syed Wafa
“Terlalu banyak suka, duka dan air mata yang telah Siti lalui hampir sepanjang tiga dekad bergelar seorang anak seni, itulah “Sejarah” sebelum Siti bergelar “Biduanita Negara”, kejayaan ini adalah pergorbanan dari semua yang menjadi tulang belakang kejayaan Siti selama ini terutama media dan peminat iaitu Siti Zoners yang tidak jemu sokong kerjaya Siti sehingga kini,” kata penyanyi no 1 Malaysia, Datuk Sri Siti Nurhaliza bersungguh-sungguh yang masih seperti dulu, seorang yang bersikap rendah diri dan murah dengan senyuman.
Secara eksklusif Siti Nurhaliza melancarkansecara rasmi single terbaharu berjudul “Sejarah” di restoran The Roomah, Solaris Dutamas baru-baru ini.
Lagu “Sejarah” mempunyai signifikan tersendiri dalam karier Siti Nurhaliza yang bakal mencecah usia 30 tahun berkecimpung di dalam industri muzik.
Lagu “Sejarah” merupakan gandingan komposer terkenal dari Indonesia, Erwin Gutawa bersama anak perempuannya, Gita Gutawa selaku penulis lirik. Menurut Erwin, lagu Sejarah diciptakan khusus buat Siti Nurhaliza dengan membayangkan keindahan nyanyian serta personaliti yang ada pada penyanyi tersebut.
Erwin meminta Gita menulis lirik berkisarkan seseorang yang kaya dengan pengalaman
hidup dan memaknakan kesyukuran di dalam setiap bait kata yang diungkapkan.
Lebih istimewa, Erwin menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra untuk
mengiringi susunan muzik yang digarap indah khusus untuk Siti Nurhaliza.
Lagu “Sejarah” merupakan buah tangan istimewa Siti Nurhaliza sebelum menutup tirai 2024 setelah sibuk mengadakan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini.
Bagi Siti, “Sejarah” merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa apabila beliau kembali dapat berganding bahu dengan Erwin Gutawa dalam sebuah lagu. Beliau sendiri meminta Erwin menghasilkan sebuah lagu khusus yang menceritakan tentang perjalanan seni beliau.
“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya. Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,’’ ujar Siti.
Siti juga berterima kasih kepada Aubrey Suwito yang telah membantu proses rakaman vokal lagu ini di Kuala Lumpur. Single terbitan SN Legacy Sdn.Bhd dan Universal Music Sdn Bhd ini boleh distrim dan dilanggan di seluruh pelantar digital sejak 14 November 2024.
Pada majlis yang sama, Siti turut meraikan pihak media yang juga selama ini menjadi tulang belakang di atas kejayaan beliau sejak bergelar artis. Bagi Siti, pihak media sudah menjadi sahabat dan keluarga yang telah banyak membantu memperkenalkan beliau
kepada masyarakat dan peminat.
Bagi menghargai kerjasama pihak media selama ini, Siti telah mengadakan acara khas antaranya sesi cabutan bertuah di samping semua yang hadir menerima cenderahati khas.
Selain itu, Universal Music menyampaikan plak penghargaan yang disampaikan oleh Kim Lim, Managing Director Universal Music Malaysia kepada Siti atas penganugerahan gelaran “Biduanita Negara” yang diterima oleh Siti baru-baru ini dan sempena pelancaran single “Sejarah”.
Ditanya apakah yang menakutkan Siti setelah bergelar “Biduanita Negara? Siti menjawab dengan tenang, tiada istilah “takut” dalam kerjaya seninya dan jika kerjaya seninya telah berlalu itu semua adalah ketentuan Allah SWT, beliau juga sentiasa memberi sokongan kepada pendatang baru dalam dunia seni suara tanah air.
“Selagi Siti diterima selagi itu Siti akan terus buat terbaik dalam kerjaya seni yang amat Siti sayangi ini,” kata Siti Ikhlas.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan Siti Nurhaliza sentiasa berjaya dalam bidang yang diceburi dan kami sebagai rakyat Malaysia bangga mempunyai seorang “Biduanita Negara” yang akan kekal dalam “Sejarah” sebagai artis no 1 kesayangan kami semua.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.