Oleh: Nury Kadir
Perempuan atau isteri tidak pandai memasak bukan suatu dosa. Kalau tidak boleh memasak, kedai makan banyak boleh beli sahaja di kedai. Jika malas mahu keluar boleh sahaja buat pesanan atas talian. Ada banyak perkhidmatan pesanan atas talian, pilih saja yang mana berkenan dan menawarkan banyak baucar.
Makanan klik! klik! sudah menjadi fenomena. Bagi wanita ia memudahkan tugas kerana tidak perlu menyinsing lengan baju untuk memasak di dapur setelah pulang dari bekerja. Sebelum keluar pejabat semua makanan sudah di ‘klik’, sesampai rumah semuanya sudah siap. Diakui memasak itu mudah, yang sukarnya memikir apa yang perlu dimasak yang boleh memenuhi citarasa seisi keluarga. Kalau makanan klik! klik! mudah dan banyak pilihan.
Namun bagi ibu yang fanatik memasak dan berfikiran bahawa anak-anak mesti memakan hasil air tangan ibu menganggap bahawa cara itu tidak betul. Kadang-kadang bukan suami yang cerewet hendak makan masakan di rumah tetapi isteri yang melebih-lebih hendak menjadi suri hebat yang boleh memasak sendiri memenuhi selera suami dan anak-anak. Aduhai!
Ada sekelompok manusia yang memang fanatik ‘air tangan ibu’ di media sosial menggunakan pelbagai cara untuk memaksa wanita memasak di dapur. Satu cara yang paling mudah adalah menggunakan hadis Rasulullah SAW tentang ganjaran isteri memasak untuk suami. Berikut adalah beberapa hadis yang sering digunakan:
Hadis Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah. “Wahai Fatimah, kelebihan wanita yang mengeluarkan peluh ketika memasak untuk suami dan anak-anaknya, Allah akan bina parit antara dirinya dengan neraka bagi menghalang bahang api neraka itu dan jarak antara parit dengannya adalah sejauh langit dengan bumi.” (Abu Hurairah RA).
Begitu juga dengan ini, Rasulullah SAW bersabda: “Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya adalah lebih baik daripada isteri itu mengerjakan haji dan umrah”. (HR Anas bin Malik)
Riwayat ini merupakan riwayat yang palsu seperti yang dicatatkan di dalam www.muftiwp.gov.my. Hal ini kerana, riwayat tersebut tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis muktabar bahkan karya himpunan hadis-hadis daif.
Lafaz riwayat ini hanya ditemui dalam Bahasa Melayu sahaja dan tersebar di kebanyakan media sosial dan blog-blog bertujuan untuk menggalakkan si isteri berkhidmat kepada suaminya.
Meskipun begitu matlamat tidak menghalalkan cara iaitu tujuan yang baik tidak boleh dilaksanakan dengan cara yang salah. Bahkan, terdapat banyak lagi hadis lain yang boleh digunakan untuk memberi galakan kepada para isteri untuk berbuat baik terhadap suami.
Manakala hadis yang pertama, ini pula jawapan dari pejabat mufti Wilayah Persekutuan, hadis yang menyebutkan tentang seorang isteri yang menyediakan makanan kepada suaminya adalah lebih baik daripada seorang isteri itu mengerjakan haji dan umrah tidak dijumpai teks asalnya dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar.
Oleh itu, riwayat ini merupakan riwayat yang palsu bahkan tiada asalnya. Tidak salah untuk memberikan galakan kepada para isteri untuk berkhidmat pada suaminya namun janganlah sehingga menyebarkan hadis-hadis yang palsu kerana ia satu perbuatan yang berdosa.
Sebenarnya terdapat banyak lagi hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang keutamaan dan ganjaran bagi seorang isteri jika dia mentaati dan melayani suaminya dengan baik. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki.” (HR Ibn Hibban)
Bukan itu sahaja, isteri yang mengembirakan hati suami tatkala suami memandangnya dapat ganjaran seperti yang disebut Nabi SAW. Baginda bersabda: Maksudnya: “Hendakkah kamu aku mengkhabarkan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”(HR Abu Daud)
Kemudian cuba perhatikan pula pendapat daripada Ustaz Azhar Idrus, “Menyediakan makan bukan tanggungjawab isteri tetapi atas tanggungjawab suami. Sebaliknya, jika suami menyuruh isteri agar memasak untuknya maka wajib bagi isteri itu untuk mentaati suruhan suami. Taat suami itu wajib tetapi menyediakan makan untuk suami itu bukan tanggungjawab isteri kecuali setelah disuruh oleh suami ia akan menjadi wajib kerana taat suami itu wajib. Bagi suami pula apabila menyuruh isteri memasak maka wajib bagi suami untuk menyediakan peralatan untuk memasak yang baik dan bahan untuk dimasak. Jika isteri tidak pandai memasak maka tidak berdosa baginya.”
Ini pula jawapan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, adakah Memasak Tugas Isteri? Dr. Zulkifli Al Bakri memulakan bicaranya dengan nasihat, katanya; “Dalam membina rumah tangga, kesepaduan antara dua belah pihak, iaitu suami dan isteri adalah amat penting. Perkara yang pertama perlu diwujudkan adalah melaksanakan tanggungjawab, kewajipan dan hak masing-masing.
Tambahnya lagi, “Dalam masa yang sama, perkara yang tidak kurang pentingnya bahkan itulah yang menjadikan rumah tangga sebagai baiti jannati adalah pengorbanan. Para suami berkorban untuk isterinya dan para isteri berkorban untuk suaminya. Dengan sebab itu, akan lahirlah kasih sayang seperti yang termaktub dalam Surah al-Rum:
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah al-Rum: 21)
Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.
Menurut Dr. Zulkifli al-Bakri lagi, “Perkahwinan yang diasaskan kerana Allah SWT akan memberi sakinah, mawaddah, cinta dan rahmat. Di samping itu, ia dapat memelihara seseorang dari keruntuhan moral dan akhlak. Saat yang sama dapat memelihara generasi manusia yang sejahtera di samping menyumbangkan institusi kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama.
“Natijah daripada perkahwinan adalah mendapat ketenangan, mahabbah (kasih sayang) dan juga rahmah yang melahirkan cinta dan kebahagiaan. Al-Quran sendiri telah mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik samada daripada sudut adat dan yang lebih penting lagi berlandaskan syariat. Firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” (Surah al-Nisa’: 19)
Apa maksud berkhidmat?
Menurut jumhur ulama wajib atas suami berkhidmat kepada isterinya yang tidak mampu dan tidak layak untuk dia menguruskan dirinya sendiri. Hal ini kerana ia seolah-olah sebahagian daripada nafkah isteri ke atas suami dan ulama sepakat jika sekiranya isterinya sakit atau ditimpa keuzuran sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri untuk suami berkhidmat kepada isterinya.
Pun begitu, dalam mazhab Maliki wajib bagi suami menolong isterinya dalam berkhidmat jika suaminya kaya dan isterinya mempunyai kedudukan yang tidak sesuai melaksanakan tugas tersebut kerana dengan pelaksanaan tersebut akan mengurangkan darjat kedudukan isterinya itu.
Sedangkan mazhab Hanafi pula berpendapat jika isteri enggan mengisar tepung atau menguli roti di mana dia tidak sesuai untuk tugasan itu atau kerana sakit, maka hendaklah suami menyediakan makanan yang sudah siap. Sebaliknya, jika mampu maka hendaklah isteri melaksanakan tugas tersebut dan tidak wajib atas suaminya. Hujahnya adalah Rasulullah SAW membahagikan tugasan Ali dan Fatimah di mana Ali bertugas di luar rumah sedangkan dalam rumah ditugaskan kepada Fatimah.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut, “Perkhidmatan khadam merupakan salah satu bentuk pergaulan yang baik (kepada isteri). Tidak wajib mendapatkan khadam lebih daripada satu kerana haknya adalah khidmat dirinya sendiri.”
Di sisi mazhab Syafie dan mazhab Hanbali, melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak bukanlah kewajipan isteri, tetapi dia digalakkan melakukannya. Bahkan diriwayatkan daripada al-Aswad, katanya: Aku pernah bertanya kepada Aisyah, apa yang Nabi SAW lakukan ketika berada di rumah? Aisyah menjawab: maksudnya: “Baginda selalunya sibuk berkhidmat pada keluarga, namun apabila tiba waktu solat, Baginda keluar ke masjid untuk bersolat.” (HR al-Bukhari)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah menyatakan dalam al-Majmu’, bahawa seorang wanita wajib melakukan apa yang kebiasaannya dilakukan oleh wanita sepertinya menurut uruf masyarakat setempat. Abu Thaur pula berpendapat bahawa isteri wajib berkhidmat kepada suami dalam setiap perkara. Ibn Habib berkata berdasarkan kisah Fatimah di atas Nabi SAW menyuruh beliau melakukan kerja rumah keseluruhannya.
Dalam mazhab Hanafi pula, jika si isteri berasal daripada keluarga bangsawan yang tidak biasa memasak, atau dia tidak mampu untuk memasak, suami tidak boleh memaksanya; bahkan suami wajib memberikan makanan yang sudah siap untuk dimakan. Akan tetapi, jika si isteri itu bukan daripada kalangan bangsawan atau dia mampu memasak, maka dia tetap perlu memasak. Kerja-kerja di dalam rumah adalah tugas isteri, manakala di luar rumah adalah tugas suami.
Berdasarkan kepada banyak nas dan juga nasihat salafussoleh, jelas menunjukkan para isteri amat perlu berkorban dalam ruang lingkup rumah tangga sehingga dialah yang mentadbir dan mengasuh serta menguruskan rumah. Isteri digelar dalam Bahasa Arab sebagai rabbatul bayt memberi maksud tuan atau pengurus rumah.
Saidina Umar RA ketika menasihatkan Aqil RA berkenaan kedudukan isteri telah mengalasankan dengan banyaknya tugas isteri di rumah seperti mengasuh, memasak dan seumpamanya. Inilah juga yang dilakukan Asma’ binti Abu Bakr dalam membantu suami, al-Zubair Ibn al-Awwam. Hal ini tidak pelik dalam tradisi semua bangsa termasuklah sejarah Fatimah al-Zahra’ yang membantu suaminya Ali bin Abi Talib RA mengisar gandum dan sebagainya. Begitu juga apa yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang berkorban untuk para suami dan keluarga mereka.
Apa yang boleh dijawap adalah memang benar tugas memasak bukanlah tugas seorang isteri. Hal ini kerana tiada satu dalil yang secara jelas menyatakan kerja-kerja rumah adalah tugas suami atau isteri. Namun begitu, tugasan ini berbeza mengikut tempat dan masa serta keadaan seseorang. Dalam kaedah hukum, adat sesuatu tempat itu diambil kira dalam penentuan hukum sebagaimana lafaz umum kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:
العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ
Maksudnya: “Adat setempat yang dijadikan sebagai hukum.”
Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, adat setempat mestilah suatu amalan kebiasaan yang berterusan (dalam masyarakat). Jika bukan adat kebiasaan, maka tidak dijadikan adat sebagai hukum.
Konsep yang ingin nyatakan di sini ialah, ia bergantung kepada kefahaman masing-masing dalam membina rumah tangga. Nafkah di masa mewah berbeza dengan waktu ekonomi meleset. Suami yang berkemampuan sebaiknya hendaklah meringankan bebanan isteri seperti mengupah orang gaji atau membeli beberapa peralatan bagi memudahkan urusan isteri memasak seperti menyediakan peralatan memasak yang moden bagi meringankan dan menyenangkan isteri.
Akhir sekali Dr. Zulkifli Al-Bakri menitipkan doa yang untuk dijadikan amalan seharian pasangan suami isteri:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.