Oleh : Asmat
Siapa yang tidak mahukan senyuman menawan? Terutama wanitakan? Ada orang, buka sahaja mulut senyum terus ‘melting’ orang tengok. Boleh cair. Sedangkan, raut wajahnya biasa-biasa sahaja. Kecantikan itu terletak pada senyuman. Begitu juga ada orang cantik, tapi bila senyum nampak biasa-biasa sahaja.
Itu belum lagi kalau yang dilahirkan ada gigi yang berlapis, gigi kekuningan, gigi tak sekata dan macam-macam masalah gigi yang lain lagi. Tapi jangan risau! Sekarang ini banyak rawatan untuk tujuan kosmetik gigi yang boleh anda lakukan. Justeru, selepas ini jangan pernah merasa malu lagi, kurang keyakinan diri untuk bercakap dengan orang, sebabnya gigi anda dah jadi sangat cantik.
Jadi, mari kita tengok beberapa cara rawatan kosmetik gigi yang boleh dilakukan bagi menyusun kembali gigi-gigi anda. Berikut disenaraikan antara rawatan gigi yang boleh dilakukan berserta anggaran kos.
1. Pendakap gigi (Braces)
Cara ini sangat popular untuk kaedah mencantikkan gigi. Ia dilakukan untuk meluruskan atau menggerakkan gigi. Rawatan ini juga mampu mencantikkan susunan gigi dan membetulkan fungsinya. Selain itu, pendakap gigi juga boleh membantu anda untuk mempunyai gigi dan gusi yang lebih sihat. Gigi akan digerakkan secara perlahan-lahan ke arah yang sepatutnya menggunakan pendakap gigi. Lama-kelamaan, tulang pada kawasan rahang akan berubah untuk membolehkan pergerakan gigi dan akarnya.
Kaedah rawatan ini memerlukan masa maksimum dua tahun setengah bagi menampakkan hasil yang baik. Anggaran kos yang bakal dikeluarkan adalah mengikut jenis braces yang dipakai.
– Braces Logam (Metal Braces): RM4,000 hingga RM8,000.
– Braces Seramik (Ceramic Braces): RM8,000 hingga RM12,000
– Invisalign (Pendakap Lutsinar): RM12,000 hingga RM25,000
Namun, anda boleh menjimatkan kos jika lakukan rawatan itu di klinik kerajaan. Anggaran kos perlu dikeluarkan adalah lebih kurang RM500 hingga RM3,000 sahaja. Namun, untuk lakukan di klinik pergigian kerajaan, kesabaran sangatlah diperlukan kerana tempoh masa menunggu giliran yang agak lama.

2. Veneer
Veneer merupakan sejenis ‘penutup’ yang nipis yang diperbuat khas daripada seramik gred perubatan. Penutup ini akan diletakkan di atas gigi semula jadi dan nampak amat realistik. Juga dikenali dengan nama ‘Hollywood teeth’, veneer merupakan sejenis prosedur kosmetik yang boleh menelan belanja ribuan ringgit. Ramai artis Malaysia yang membuat rawatan ini seperti Ning Baizura dan Uqasha Senrose.
Meskipun ramai yang beranggapan veneer ini hanyalah untuk dapatkan gigi putih semata, namun jawapannya adalah tidak. Banyak keadaan yang boleh kita jadikan veneer sebagai penyelamat. Antaranya adalah penyahwarnaan gigi, gigi pecah atau sumbing, gigi reput, gigi senget dan rapatkan ruang antara gigi yang agak jarang.
Antara kos rawatan yang diperlukan untuk rawatan veneer adalah seperti berikut:
– Veneer Komposit: RM450 hingga RM1500 setiap batang gigi.
– Veneer Porselin: RM1,200 hingga Rm3,000 setiap gigi
– Klinik kerajaan juga menyediakan perkhidmatan ini dengan kadar bayaran RM200 setiap gigi termasuk korona sementara.
Rawatan ini dilihat amat bagus kerana kesannya nanti akan kelihatan sangat ketara. Namun, ramai juga yang memberi komen, ramai si pengguna veneer ini memiliki mulut yang berbau busuk. Betul ke?
3. Pemutih (Brightening)
Warna gigi yang putih boleh berubah menjadi kekuningan atas beberapa faktor utama. Sebagai contoh pengambilan makanan dan minuman seperti kopi setiap hari, amalan merokok dan mengambil ubat-ubatan adalah antara faktor yang menyumbang kepada perubahan warna gigi.
Jadi, bagaimana cara untuk mengembalikan semula gigi yang putih? Buat pemutihan jawapannya. Proses pemutihan gigi merupakan satu prosedur yang mudah dan cepat. Ia boleh diselesaikan dalam masa satu hari. Doktor gigi akan membuang sebarang plak, tar dan sebagainya daripada permukaan gigi. Kemudian, gigi akan diputihkan menggunakan sejenis peluntur yang akan membuatkan gigi lebih putih daripada sebelumnya.
Untuk gigi yang berwarna kuning, mungkin kaedah ini sangat berkesan. Namun mereka yang memiliki gigi yang berwarna kelabu, ke arah kehitaman patut melupakan kaedah ini kerana ia tidak mampu menyahwarnakan semula gigi.
Selain itu, terdapat juga risiko yang perlu diambil oleh mereka yang melakukan prosedur ini. Gigi mungkin akan menjadi sensitif. Perkara ini berlaku apabila peroksida di dalam peluntur yang digunakan menyebabkan iritasi pada kawasan saraf gigi. Walau bagaimanapun, sensitiviti ini bersifat sementara dan akan kembali pulih dalam masa beberapa minggu.
Kos untuk membuat brightening ini adalah seperti berikut:
– Pemutihan gigi dengan laser: RM800 hingga RM2000 setiap sesi.
– Rawatan bleaching gigi: RM500 hingga RM1500
– Pakej rawatan scaling dan whitening: RM399 hingga RM1499 bergantung bilangan pemutihan.
# Ikuti sambungan artikel akan datang untuk rawatan kecantikan gigi yang menjadi idaman setiap wanita.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.