Oleh: Khadijah Ibrahim
AMBOI! Sejak status bertukar menjadi duda hangat pada 7 Oktober 2024, nama Fattah Amin terus mendapat perhatian ramai. Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 34, dilamar pelbagai produk untuk menjadi duta atau wajah produk masing-masing.
Walaupun rezeki datang tak henti-henti, Fattah masih lagi mengamalkan sikap memilih kerana baginya beliau lebih selesa bekerjasama dengan syarikat yang ada toleransi.
Terkini selain menjadi duta pakaian untuk Jakel, Fattah juga menggalas tanggungjawab sebagai duta untuk produk kecantikan Rissa Skin.

“Saya pun tak sangka sebenarnya tahun baharu ini mula dengan langkah kanan. Maksudnya rezeki ini pun bukan saya seorang tapi saya kongsi dengan pengurusan dan keluarga dan anak saya, sama-sama kongsi rezeki. Bila rezeki saya murah, orang sekeliling saya ini pun ada rezeki juga.
“Alhamdulillah rezeki saya yang sudah tertulis. Itulah jodoh, ajal dan rezeki kita tak tahu. Apa yang penting sebenarnya, saya nak lunaskan tanggungjawab yang diberikan kepada klien dan saya akan buat yang terbaik. Macam Rissa Skin, ini adalah produk kedua. Mereka nampak komitmen yang saya berikan kepada produk sebelum ini, Putey Whitening Coffee,” kata Fattah mengenai pelantikannya sebagai duta produk krim malam untuk Rissa Skin.
Tegas Fattah, selepas diberi tanggungjawab beliau akan memastikan klien berpuas hati dengan komtimen yang diberi. Antara komitmen yang sering diberikan oleh Fattah selaku duta sesebuah produk adalah dengan mempromosi jenama tersebut di media sosial miliknya dan melakukan jualan secara langsung.

“Saya memang komited dengan tanggungjawab yang diberi oleh pelanggan dengan membuat posting atau siaran langsung. Saya sebelum ini tak pandai buat live dengan beg kuning tapi bila dengan Rissa Skin saya belajar itu semua.
“Alhamdulillah, secara tak langsung membantu jualan mereka. Hasil daripada situ sekali lagi, mereka memberi kepercayaan untuk saya jadi duta Night Cream pula,” katanya tanpa berselindung.
Sementara itu, Pengasas Rissa Skin, Ahmad Shah Rizal berkata, sepanjang penglibatan jenama tersebut dalam industri perniagaan, produk yang diusahakannya mendapat sambutan hangat.

“Fokus kami adalah untuk menghasilkan produk yang berkualiti dengan menggunakan bahan-bahan premium dan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai.
“Alhamdulillah, produk Rissa Skin berjaya membantu ribuan pelanggan dalam meningkatkan keyakinan diri dan juga memperbaiki kesihatan kulit mereka. Pelbagai maklum balas positif yang kami dapat dan itu adalah pencapaian paling berharga bagi kami,” katanya.
Tambah Ahmad Shah Rizal, pelantikan Fattah Amin sebagai duta untuk Intensive Repair Night Cream Rissa Skin adalah lanjutan daripada komitmen yang diberikan pelakon tersebut terhadap Putey Whitening Coffee.

“Karisma dan kredibiliti Fattah Amin bukan sahaja memperkukuh jenama Rissa Skin tetapi juga memberikan keyakinan kepada pengguna terhadap keberkesanan produk yang ditawarkan.
“Dengan langkah ini, Rissa Skin turut mengorak strategi baharu dalam pengembangan pasaran ke peringkat antarabangsa, khususnya ke negara jiran seperti Indonesia, serta di Brunei dan Singapura di mana jenama ini turut mendapat sambutan yang sangat baik.
“Sebagai jenama yang sentiasa komited dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi menggunakan bahan-bahan premium semula jadi, Rissa Skin optimis untuk memperluaskan pengaruhnya di peringkat global,” ujarnya.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.