Umar Uzair tampil dengan single "Balada Tengkujuh".

Oleh: Khadijah Ibrahim

BOLEH dikira berapa kerat saja penyanyi yang menjadikan puisi sebagai platform untuk mereka berkarya dalam bidang seni suara. Rata-rata pendatang baharu lebih selesa mengembangkan bakat mereka menerusi lagu bergenre pop, rock atau balada.

Sehingga kini antara nama yang dikenali kerana mendendangkan lagu puisi di persada muzik tanah air hanyalah Allahyarham Zubir Ali dari kumpulan Harmoni yang popular dengan lagu “Penantian” dan “Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang” serta Kopratasa yang sinonim dengan lagu “Masihkah Kau Ingat” dan “Permata Buat Isteriku”.

Bagi meneruskan legasi lagu-lagu puisi, penyanyi Umar Uzair yang sudah lama memperjuangkan genre tersebut kini tampil dengan single berjudul “Balada Tengkujuh”, ciptaan Maman Teacher’s Pet dan lirik ciptaan Umar sendiri.

Jelas Umar, secara peribadi beliau amat meminati karya-karya Maman seperti “Layar Lara” dan “Kasih (Ku Pinjam Wajahmu)” dan kebetulan sudah mengenali penyanyi yang berasal dari Singapura itu. Apabila Umar menyuarakan hasratnya, Maman tidak menolak dan bersedia memenuhi kehendak beliau.

Di sebalik keindahan pantai ada cerita tersendiri, itulah yang dilontar oleh Umar Uziar dalam lagu “Balada Tengkujuh”.

“Saya melahirkan keinginan untuk mendapatkan lagu-lagu kepuisian dengan nuansa terkini tetapi bercitrakan keNusantaraan. Tidak lama sehari selepas itu Maman memberikan saya demo lagu ini dan sejak itu kami sering menjalani proses kreatif dalam penghasilan lagu ini

“Sebenarnya saya kenal Maman sewaktu saya mengurs sebuah festival puisi di Kedah pada 2022. Waktu itu, saya memberanikan diri untuk berhubung dan mengundang Maman namun atas beberapa kekangan kerjasama ini tidak dapat diteruskan.

“Sehinggalah pada penghujung tahun lalu kami kembali berhubung dan bertukar fikiran tentang dunia seni muzik, lagu dan kebetulan saya juga sedang dalam situasi yang ‘terdesak’ untuk melahirkan karya baharu,” cerita Umar tentang kerjasamanya dengan Maman.

Tambah Umar lagi, proses rakaman lagu “Balada Tengkujuh” tidak mengambil masa yang lama kerana Maman selaku komposer penerbit muzik itu amat komited tatkala bekerja.

“Sejujurnya saya tak menyangka ia akan mengambil masa yang amat cepat. Maman terlalu memberikan sepenuh kepercayaan dalam mendidik dan memberikan pemahaman terhadap pembinaan karaktor untuk lagu ini dan ianya mengambil masa lebih kurang tiga minggu termasuk proses rakaman, olahan muzik dan mastering.

“Meskipun begitu saya tidak berasa ia sebuah produk yang tergesa-gesa kerana Maman sendiri seorang yang mengutamakan kualiti dan saya sendiri agak cerewet dalam menentukan hala tuju muzik yang dihasilkan dan ia menjadi sebuah lagu yang sempurna apatah lagi dengan pemuzik undangan Mohar yang memberikan suntikan Nusantara untuk tiupan serulingnya,” katanya.

Umar adalah di antara pejuang lagu-lagu puisi yang tidak pernah mengalah.

Menyentuh mengenai lirik lagu ini, kata Umar sebelum menulis, beliau terlebih dahulu mencari tema untuk diangkat sebagai sebuah lagu baharu.

“Sebelum bertemu dengan lagu yang dihasilkan, saya mencari tema untuk diangkat sebagai lagu baharu. Memandangkan saya mendewasa di tepi laut sejak hampir lapan tahun ini, saya ingin berkongsi dengan masyarakat tentang musim tengkujuh,

“Kita sering terpesona dengan keindahan pantai yang tenang namun barangkali kurang biasa tentang kehidupan sebenar di pantai kerana tengkujuh di setiap kawasan berbeza dengan cabaran tengkujuh di tepi laut yang terpaksa berhadapan dengan angin kencang, ombak kuat dan air masin.

“Lirik ini adalah kutipan dari salah satu puisi dalam kumpulan puisi saya yang belum lagi diterbitkan namun puisi ini telah lama saya perhalusi untuk dijadikan sebuah lagu dan amat sepadan dengan melodi yang dihasilkan oleh Maman ini,” jelasnya lagi.

Meskipun lagu-lagu puisi sering digambarkan sebagai aliran yang tidak mendapat sambutan seperti lagu-lagu arus perdana lain namun Umar tetap bersemangat setiap kali berkarya.

“Saya tidak fikir ia sebuah kegagalan kerana aliran ini mempunyai ruangnya yang tersendiri dan paling utama ia bukan sebuah lagu yang kosong tetapi diisi dengan bahasa yang baik sekali gus menjadi pendidikan seni kepada masyarakat.

“Seperti saya sendiri sentiasa mengisi persembahan dalam festival-festival bertaraf antarabangsa sama ada di dalam negara mahupun di peringkat luar negara dan terbaharu akan memenuhi undangan 12th International Film & Poetry Festival di Athens pada 11 dan 12 April.

Maman Teacher’s Pet tidak menolak permintaan Umar untuk mereka bekerjasama.

“Harapan saya supaya lebih ramai seniman yang dapat menghasilkan lagu-lagu dengan lirik yang membina minda selain berharap lagu-lagu kepuisian dapat diberi perhatian sama seperti lagu-lagu arus perdana lain di stesen televisyen ataupun radio,” ujarnya.

Untuk makluman, sejak 2011 Umar telah menghasilkan tiga buah mini album iaitu “Yang Aku Mahu”, “Pintalah Aku Ke Sana” pada 2016 dan “Hasrat Sang Enggang” pada 2019.

“Melalui ketiga-tiga album mini ini saya mempunyai lebih kurang lima buah lagu kepuisian dan lima buah puisi yang didendangkan dalam bentuk sajak ataupun syair.

“Rencananya saya ingin hasilkan dalam sebuah album penuh menjelang awal 2026 nanti dan “Balada Tengkujuh” merupakan single pertama daripada album itu nanti dan sudah ada beberapa lagu yang telah saya terima untuk dirakamkan,” katanya yang akan melancarkan single tersebut bersempena sambutan Hari Puisi Sedunia nanti.

Hari Puisi Sedunia peringkat Malaysia bakal berlangsung di Pavilion Bukit Jalil Exhibition Centre pada 21 hingga 23 Februari ini terbuka kepada orang ramai kerana kemasukan adalah percuma.

Jelasnya, setiap tahun sejak 2021 beliau mengusahakan Cipta Citra bersempena dengan Hari Puisi Sedunia yang diiktiraf UNESCO. Jenama ini menjadi salah satu usaha yang telah diberi perhatian oleh Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya.

“Hari Puisi Sedunia diraikan pada setiap 21 Mac di seluruh dunia cuma di Malaysia kurang diberi pendedahan tentang hari yang menghagai para penyair ini yang telah menabur bakti kepada masyarakat melalui tulisan dan penyampaian yang baik.

Jom ramai-ramai memeriahkan Hari Puisi Sedunia pada 21 hingga 23 Februari ini di Pavillion Bukit Jalil.

“Walaupun saya telah aktif dalam penganjuran acara seni jauh sebelum itu sejak 2011 namun saya memilih untuk mengangkat Hari Puisi Sedunia di Malaysia kerana ingin meletakkan penyair dan puisi tempatan ke peringkat yang lebih mendunia.

“Saya yakin Malaysia mempunyai bakat dan hasil seni yang tinggi untuk diketengahkan bukan sahaja di dalam negara tetapi jauh ke luar. Sempena itu juga istimewanya untuk edisi ke empat ini, saya turut membawakan seniman dari negara jauh antaranya Turkiye, Georgia, Rusia selain sahabat-sahabat dari Indonesia, Brunei dan Singapura bersama penampilan tokoh dan seniman terkenal dari Malaysia,” ungkapnya.

Sepanjang tiga hari acara berlangsung, setiap hari akan dipenuhi dengan persembahan dan konsert iaitu Selamat Datang Cipta Citra, pada hari pertama, diikuti dengan Konsert cipta Citra dan pada hari terakhir pula Anugerah Puisi Dunia.

“Walaupun puisi yang menjadi tunjang kepada CIPTA CITRA IV namun ia turut akan dipecahkan kepada pelbagai bahagian yang unik antaranya deklamasi puisi, syair, nazam, sajak, gurindam seterusnya lagu puisi dan filem puisi yang dihasilkan oleh pengarah tempatan dan luar negara.

“Selain itu turut diadakan Kampung Budaya yang merupakan pameran kreatif daripada korporat dan swasta antaranya Keretapi Tanah Melayu Berhad, Karangkraf, Persatuan Arkeologi Sungai Batu Kedah Tua, Rareseashell Museum dan pelbagai jualan kraftangan dan makanan tempatan,” katanya tentang aktiviti yang bakal diadakan sepanjang sambutan Hari Puisi Sedunia.

Previous articleRyan Bakery seronok ‘bekerja’ di konti
Next articleKRU bijak atur strategi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here