Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS sekian lama tidak menghasilkan album, November 2024 trio adik-beradik KRU kembali menerbitkan album berjudul “Kaset” yang menampilkan 10 buah lagu.
Album “Kaset” dikeluarkan selepas enam tahun Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim mengumumkan pembubaran kumpulan trio tersebut pada 2018.
Untuk kelancaran album tersebut, lagu “Voodoo” yang terdapat dalam “Kaset” dilancarkan sebagai single pertama dan video muzik lagu tersebut menerapkan teknologi Kecerdasan Buatan (Artifical Intelligence).
Selepas “Voodoo” yang mendapat tontonan kira-kira 1.2 juta selepas dimuat naik di saluran YouTube KRU sejak 27 November lalu, kini tiga beradik itu tampil dengan single “One More Time” yang dimuat naik di YouTube sejak 31 Januari lalu, sekali gus berjaya memikat pengikut baharu KRU daripada generasi Alpha.
Untuk video muzik “One More Time” KRU meneruskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk kembar digital (Digital Twin) mereka dalam video muzik tersebut.

Menerusi video muzik “One More Time” peminat berpeluang menyaksikan transformasi wajah KRU dari masa lalu, kini, dan masa depan, memberikan pengalaman emosi yang unik.
Lagu yang merupakan ciptaan sepenuhnya oleh anggota KRU yang terus mengekalkan DNA muzik R & B KRU era 90-an yang masih menyengat sehingga kini dan disampaikan dengan penuh emosi.
Lagu ini mengisahkan kekecewaan seorang insan yang sekali lagi gagal dalam percintaan dan hanya mampu bergembira dalam kesedihan melihat bekas kekasihnya hidup bahagia dengan orang lain.
Menurut, Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Sdn. Bhd, Kenny Ong. KRU sememangnya artis serba boleh bukan saja dari sudut nyanyian, penciptaan dan penerbitan lagu tetapi juga dalam penggunaan teknologi terkini bagi penceritaan sesebuah lagu melalui video muzik.

“Kami percaya video muzik “One More Time” akan memberi kesan yang mendalam kepada penonton malah lagu ini juga bakal menjadi salah satu lagu klasik KRU yang akan kekal relevan untuk puluhan tahun yang akan datang.
“Sebelum ini, single pertama iaitu “Voodoo” dari album “Kaset” mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja di Malaysia, tetapi turut mendapat sambutan hangat dari negara-negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom dan Amerika Syarikat,” katanya.
KRU yang bakal menjayakan Konsert GenKRU untuk tiga hari bermula pada 3, 4 dan 10 Mei ini di Axiata Arena Bukit Jalil ternyata bijak mengatur strategi sebelum konsert berlangsung.
“Sememangnya ini merupakan tradisi KRU mengeluarkan lagu balada selepas single pertama yang rancak. Ramai peminat kami menantikan lagu “One More Time”. Kami berharap lagu ini akan mendapat sambutan baik dari peminat sekali gus mengekalkan momentum pemasaran album “Kaset”,” ujar Norman mewakili KRU.
Sudah pasti peminat tidak sabar menanti apakah lagi single yang bakal dikeluarkan sebelum menjelang konsert gah KRU nanti.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.