KECANTIKANNYA yang asli membuatkan seniwati Murni Sarawak menjadi pujaan ramai apalagi setelah berlakon dalam filem arahan P. Ramlee … “Nasib Si Labu Labi" pada tahun 1963.

Oleh: SYED WAFA
Foto: KOLEKSI SYED WAFA

WALAUPUN telah membintangi 16 filem tetapi realitinya ia tidak membantu melonjakkan nama beliau dalam bidang lakonan tetapi nama beliau tetap menjadi sebutan bagi peminat filem Melayu tanah air.

Kemunculan Murni Sarawak dalam setiap filem yang dilakonkan dianggap sekadar ‘mencukupkan korum’ kerana watak yang diberikan kepadanya tidak mencabar bakat yang ada pada dirinya tetapi meninggalkan kesan yang mendalam.

ISMAIL Kassim yang merupakan seorang penyanyi terkenal…merupakan ayah Murni Sarawak.
SENIWATI hebat Siput Serawak merupakan ibu tercinta Murni Serawak.

Murni Sarawak mula berlakon pada usia 10 tahun dengan filem pertamanya “Penchuri.” Filem arahan K.M Basker terbitan tahun 1956 dengan bintang utamanya Yusof Latiff dan ibunya, Siput Sarawak turut berlakon adiknya, Anita Sarawak, dikatakan tidak mampu menonjolkan bakatnya sebagai pelakon kanak-kanak.

Selepas filem berkenaan beliau sekadar muncul sebagai pelakon ekstra dengan membawa watak sebagai penyanyi kelab malam dalam filem “Korban Fitnah” dan muncul sebagai penari istana dalam filem “Dandan Setia” dan “Si Tanggang.” Ketiga-tiga filem berkenaan diterbitkan pada tahun 1959.

“PENCURI” adalah filem pertama lakonan Murni Sarawak.
Filem terbitan tahun 1959 memberi peluang beliau berlakon pada usianya 10 tahun.
Bintang utama filem tersebut adalah Yusof Latiff dan ibunya, Siput Sarawak.
MURNI Sarawak turut berlakon dalam filem “Korban Fitnah” PL Kapur yang diterbitkan pada tahun 1959.
MURNI Sarawak berlakon sebagai Penyanyi Kelab Malam dalam filem “Korban Fitnah”,
turut berlakon dalam filem ini Maria Menado, Siput Sarawak, Sukarno M. Noor dan Syed Hassan

Begitu juga tujuh filem lagi terbitan tahun 1961 yang ‘dibintangi’ Murni Sarawak antaranya “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Hang Jebat, Siti Muslihat dan Batu Durhaka” kesemua filem berkenaan beliau sekadar diberi ‘watak’ sebagai Dayang dan Penari Istana.

Bukan itu sahaja, malah entah di mana silapnya dalam filem terbitan tahun 1962, Murni Sarawak masih kekal sebagai Penari Istana atau Dayang Istana antaranya dalam filem “Dang Anom, Mata Shaitan dan Lanchang Kuning.”

MURNI Sarawak (depan sekali) sebagai penari mempersembahkan tarian Taming Sari dalam filen “Hang Jebat” arahan Hussein Haniff terbitan tahun 1961.
TURUT berlakon dalam filem “Neracha”pada tahun 1962.
MURNI Sarawak dan Aziz Jaafar sedang diberi penerangan oleh pengarah ketika mereka berlakon dalam filem “Neracha”.
Filem ini arahan Diresh Gosh terbitan Malay Film Productions pada tahun 1962.

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapakah watak itu sahaja yang diberikan kepadanya? Apakah beliau tidak mampu melakonkan watak utama?

Namun pepatah Melayu ada berkata “ Tuah Ayam Nampak Di kaki, Tuah Manusia Tak Siapa Yang Tahu” dan begitulah dengan Murni Sarawak!

MURNI Sarawak dalam filem “Neracha” dengan bintang utama Jins Shamsuddin, Sarimah, Aziz Jaafar, S. Kadarisman dan Mohd. Zain.
Murni Sarawak bersama Mohd Zain antara adegan petikan dari filem Neracha arahan Diresh Gosh keluaran Malay Film Productions.
SEBELUM terkenal dengan watak ikonik, Cikgu Murni…Murni Sarawak sering melakonkan watak sebagai Dayang atau Penari Istana.

Setelah 16 filem dengan watak yang dianggap stereotaip, siapa sangka filem ke-17 lakonannya dan di bawah arahan Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ‘bintang’ yang selama ini diselaputi awan hitam akhirnya menyerlah dan bertahta di hati para peminat filem Melayu ketika itu dan sehingga kini.

Sama ada sedar atau tidak wataknya sebagai “Cikgu Murni” dalam filem “Nasib Si Labu Labi” (1963) bukan sahaja telah ‘melahirkan’ sebutir bintang malah nama Murni Sarawak terus bertahta di hati para peminat filem Melayu sehingga hari ini.

KECANTIKAN yang dimiliki Murni Sarawak sering memberinya peluang melakonkan watak
Dayang dan Penari Istana dalam filem-filem lakonannya.
WATAK Cikgu Murni dalam filem “Nasib Si Labu Labi” pada tahun 1963 telah menaikan nama Murni Sarawak.
WATAK ikonik Cikgu Murni telah mempopularkan Murni Sarawak sehingga kini menjadi ingatan peminat filem Melayu.
P. RAMLEE ketika mengarah filem “Nasib Si Labu Labi.”
Turut kelihatan: Udo Omar, S. Sudarmaji (Cikgu Sudar) dan Murni Sarawak.

Benarlah kata orang sentuhan P. Ramlee sering menjadi dan siapa sangka watak ikonik Cikgu Murni atau Cikgu Murniyati binti Haji Ibrahim (Allahyarham Seniman Ibrahim Pendek) bukan sahaja telah melahirkan seorang bintang dalam sekelip mata malah namanya kekal popular sehingga hari ini!

Walaupun filem tersebut telah berusia lebih enam dekad apa yang pasti setiap kali ditayangkan di televisyen watak Cikgu Murni bermata redup dan lemah lembut bukan sahaja berjaya menarik hati Haji Bakhil (Allahyarham Seniman Udo Umar) malah para peminat filem Melayu sehingga hari ini.

APABILA orang tua mabuk cinta…begitulah ‘angaunya’ Haji Bakhil yang mula jatuh cinta sejak Cik Murni datang ke kedai kainnya.
BABAK mesra antara Haji Bakhil dengan Cikgu Murni.
HAJI Ibrahim bin Haji Tometot, bapa Cikgu Murni tidak merestui hubungan anaknya dengan Haji Bakhil.
SATU babak antara Haji Bakhil dengan Cikgu Murni dari filem “Nasib Si Labu Labi.”
DI sebalik tabir filem “Nasib Si Labu Labi”, Kelihatan
P.Ramlee sedang memberi penerangan kepada bintang yang terlibat dalam filem tersebut.

Mungkin ramai yang tidak tahu ketika melakonkan watak tersebut walaupun Murni Sarawak baru berusia 17 tahun tetapi beliau telah menjadi isteri orang!

Pada usia 16 tahun, Murni Sarawak yang mengikat kontrak dengan Malay Film Production bukan sahaja pertama kali diberi watak utama dalam filem “Norlela” berpasangan dengan seniman Aziz Jaafar malah pada usia itu beliau telah mendirikan rumahtangga.

LABI (P. Ramlee) dan Cikgu Murni (Murni Sarawak) dalam satu babak “Nasib Si Labu Labi.”
WATAK Cikgu Murni yang berjaya membuat peminat jatuh cinta dengan Murni Sarawak.

Jejaka bertuah yang berjaya mencuri hati Murni Sarawak adalah seorang krew Studio Cathay-Keris yang dikenali sebagai Abdullah. Bagaimanapun setelah menjadi pelakon Abdullah lebih dikenali sebagai Dollah Dagang.

Murni Sarawak yang dilahirkan di Singapura pada 24 November 1946 adalah anak sulung Siput Sarawak dan suaminya, Ismail Kassim.

DUA dari kiri: Murni Sarawak, Hashimah Yon, Rahman Hassan dan Zainab.
MURNI Sarawak…tinggalkan dunia lakonan dan berhijrah ke Indonesia.

Watak Cikgu Murni, seorang gadis yang lemah lembut dan taat kepada ayahnya bukan sahaja telah berjaya ‘mencuri hati’ Haji Bakhil malah beliau juga berjaya membuatkan para peminat filem Melayu mengingatinya dengan watak ikoniknya…seorang gadis Melayu yang penuh santun dan menghormati keputusan ayahnya.

Populariti yang melonjak secara mendadak dan namanya yang meniti di bibir para peminat filem Melayu kerana watak ‘Cikgu Murni’ bukan sahaja membuka ruang untuknya meraih tawaran berlakon malah ia juga dikatakan menjadi punca keretakan rumahtangganya bersama Dollah Dagang yang dibina pada tahun 1962 dan berakhir dengan perceraian pada tahun 1963!

MURNI Sarawak terus dikenang seniwati legenda yang berbakat besar dalam dunia seni tanah air.
MURNI Sarawak bersama kakak seibu, Anita Sarawak.

Selepas filem tersebut Murni Sarawak sekali lagi ‘dipinang’ oleh P. Ramlee untuk membintangi filem “Tiga Abdul.” Filem terbitan tahun 1964 dengan melakonkan watak sebagai Fatima Hatem Thai dikatakan tidak dapat menandingi watak ikonik, Cikgu Murni.

Pada tahun 1967, Murni Sarawak berkahwin buat kali kedua dengan seorang pemuda Indonesia, Maryono Sastro Surip. Setelah berkahwin Murni Sarawak mengambil keputusan meletakkan noktah pada kerjayanya sebagai pelakon dan mengikut suaminya menetap di Jakarta.

WAJAH Murni Sarawak…tetap bahagia setelah meninggalkan dunia lakonan dan menetap di Indonesia.
MURNI Sarawak…berkahwin dengan pemuda Indonesia, Maryono Surip Sastro.

Murni Sarawak menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun kerana penyakit barah pada 7 April 2016 dengan meninggalkan tiga orang anak. Jenazahnya telah disemadikan di Taman Pemakaman, Menteng Pulo, Jakarta Selatan, Indonesia.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Seniwati Murni Sarawak sentiasa dicucuri rahmat…Amin.

PENULIS, Syed Wafa bertuah kerana dapat mengabadikan kenangan bersama Seniwati Legenda Siput Sarawak, dalam pertemuan itu Siput Sarawak bangga dua anaknya terlibat dalam dunia seni iaitu Anita Sarawak dan Murni Sarawak.
DEWI Murni atau lebih dikenali Murni Sarawak telah disemadikan di Taman Pemakanan, Menteng Pulo, Jakarta Selatan, Indonesia pada 7 April 2016.
Previous articlePenantian Luqman Podolski berakhir, tampil dengan EP perdana
Next articleAhli kelab IOI City Mall Putrajaya Kagum dengan menu di Restoran Rasa Rosz!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here