Photo licensed by Envato

Oleh: Nury Kadir

Hadis ini selalu digunakan sebagai motivasi untuk menggalakkan umat Islam berpuasa. Malah orang bukan Islam juga percaya bahawa berpuasa boleh mendatangkan manfaat kepada kesihatan terutamanya apabila terdapat kajian sains yang menyokong kebaikan berpuasa.

Berikut adalah hadis yang dimaksudkan, Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya,“Dan berpuasalah maka kamu akan sihat”. (HR al-Thabarani, di dalam Mu’jam al-Awsath)

Selain daripada Abu Hurairah RA, hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Ibnu Abbas dan Ali bin Abi Thalib RA. Namun ulama hadis memberikan komentar bahawa kesemua riwayat tersebut bermasalah dari sudut sanadnya. Antara ulama yang memberi komentar terhadap hadis ini seperti yang tercatat di dalam www.muftiwp.gov.my.:

1. Imam al-Iraqi di dalam al-Mughni fi Haml al-Asfar, mengatakan sanad hadis ini dhaif (lemah).
2. Imam al-Saghani menilai hadis ini sebagai mawdhu’. ( al-Mawdhu’at)
3. Imam al-Fattani juga mengatakan sebagaimana yang dikatakan oleh al-Saghani iaitu mawdhu’. (Tazkirah al-Mawdhu’at)
4. Imam al-Syaukani juga menukilkan pandangan al-Saghani iaitu mawdhu’.(al-Fawaid al-Majmu’ah)

Daripada pendapat ulama, boleh disimpulkan hadis tersebut diriwayatkan oleh sekumpulan sahabat Nabi SAW dan kesemua riwayat tersebut adalah tidak sahih untuk disandarkan kepada Nabi SAW. Oleh itu, para ulama berselisih pendapat dalam menentukan hukum terhadap hadis ini.

Sebahagiannya terlalu ringan dalam menerima hadis tersebut dengan menyatakan hadis dhaif tetapi boleh diterima kerana tidak mempunyai hubungan dengan perkara yang halal dan haram. Tambahan pula, sebahagian lagi menyatakan sebaliknya kerana hadis tersebut merupakan hadis yang menceritakan berkaitan fadhail.

Pun begitu, ini tidak menunjukkan bahawa makna (matan atau teks) hadis itu juga tidak sahih. Berdasarkan kajian sains dan ilmu kedoktoran telah membuktikan bahawa puasa mempunyai banyak manfaat pada kesihatan. Bahkan, sebahagian doktor menjadikan puasa sebagai salah satu cara untuk merawat penyakit.

Selain itu juga, kebanyakan kita tersilap dalam memahami konsep ibadah ini kerana mereka menyangka bahawa diwajibkan berpuasa adalah untuk mendapatkan faedah-faedah tersebut. Tujuan utama berpuasa adalah sebagai tanda pengabdian seorang hamba itu kepada Tuhannya selain itu meraih takwa.

Bagaimana pula hukumnya jika seseorang itu memang berniat ikhlas kerana Allah SWT dalam melakukan satu ibadah, namun pada masa yang sama dia berniat untuk mendapat kelebihan dan habuan duniawi? Apakah ia dikira riya’ dan menjejaskan kesahihan ibadah?

Mari ikuti pendapat ulama seperti yng tercatat di dalam www.muftiwp.gov.my. Menurut Imam Jalaluddin al-Suyuti, hal ini perlu diperincikan oleh para ulama, dan dalam kes berpuasa berserta niat untuk menyihatkan tubuh badan dan sebagai satu cara perubatan, maka puasa itu dikira sah dan tidak membatalkan puasa, meskipun hal ini terdapat khilaf dikalangan ulama.

Di dalam kitab Al-Asybah wa al-Nazha’ir menjelaskan, hal tersebut sama seperti berwuduk atau mandi wajib berserta niat untuk menyejukkan badan, dimana pendapat yang lebih sahih ialah hukumnya sah. Hal ini kerana kesejukan badan itu tetap akan dicapai melalui wuduk atau mandi, tanpa perlu diniatkan. Niat untuk menyejukkan badan itu juga tidak menafikan niat ikhlas dalam melakukan ibadat tersebut.

Manakala menurut Imam Syihabuddin al-Qarafi pula yang dinukilkan di dalam Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, berpuasa berserta niat untuk menyihatkan tubuh badan dan menghilangkan penyakit tidak mencacatkan maqasid (objektif) hakiki puasa itu sendiri.

Kes yang sama juga dalam isu mereka yang berjihad ikhlas kerana Allah SWT, dan pada masa sama berniat untuk mendapat habuan dunia melalui harta rampasan (ghanimah). Hal tersebut tidak menjadi satu kesalahan, kerana habuan ghanimah itu sememangnya datang bersama dengan amalan jihad itu sendiri; berbeza dengan mereka yang berjihad untuk dikenali sebagai seorang yang berani, atau mendapat kedudukan di sisi pemerintah, maka ia merupakan perbuatan riya’ yang diharamkan.

Meskipun niat untuk mendapat kelebihan dunia melalui ibadat ini tidak menyebabkan dosa dan tidak membatalkan kesahihan ibadat, perlu diingatkan bahawa ia mungkin menyebabkan berkurangnya pahala. Suatu ibadat yang suci daripada keinginan duniawi akan menambah pahala yang diperolehi, begitu juga sebaliknya.

Di dalam Maqasid al-Mukallafin, Syeikh Umar bin Sulaiman al-Asyqar ketika menjelaskan penerangan Imam al-Qarafi turut menyatakan bahawa mencampurkan niat dalam ibadat tidak termasuk di bawah kategori riya’ sepertimana yang disalahfahami oleh sebahagian ulama.
Di sini boleh disimpulkan bahawa sah puasa jika seseorang itu berniat ikhlas kerana Allah SWT, dan pada masa yang sama turut berhajat untuk memperoleh kesihatan tubuh badan daripada amalan puasa tersebut.

Namun perlu ditegaskan bahawa tujuan utama seseorang itu berpuasa adalah sebagai tanda pengabdian seorang hamba kepada Allah dan juga untuk meraih takwa. Adapun manfaat kesihatan dalam ibadah puasa, ia merupakan satu bonus dan hikmah yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang taat melaksanakannya.

Marilah memperbanyakkan doa kepada Allah SWT seperti yang disebut di dalam doa Iftitah yang dibaca pada setiap kali solat agar kita beroleh ikhlas dalam setiap amalan yang kita lakukan:
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-An’am:162)

Image by rawpixel.com on Freepik

Puasa tetapi tidak solat

Yang ini bukan lagi cerita berpuasa dengan niat untuk kesihatan yang baik. Sudah terlanjur cerita tentang puasa, mari kita sentuh sedikit hal berpuasa tetapi tidak solat. Betapa ramainya orang yang berpuasa tetapi mengabaikan perintah wajib solat. Apa hukumnya berpuasa tetapi tidak solat?

Di dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menjawab persoalan tersebut dengan mengambil pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi melalui kitabnya, Fatawa Muasirah: “Orang Islam dituntut melakukan semua ibadat, iaitu mendirikan sembahyang, membayar zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji jika berkemampuan. Sesiapa yang meninggalkan salah satu ibadat ini tanpa keuzuran, dia telah melampaui batas terhadap Allah.”
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan: “Di antara hamba dan kekufuran itu ialah meninggalkan sembahyang.”

Mengenai hal tersebut ada beberapa pendapat ulama berkenaan orang yang puasa tetapi tidak solat, antaranya:
Pendapat pertama: Mereka dianggap sebagai keluar daripada Islam dan tidak sah puasa mereka. Hendaklah mereka bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Inilah pendapat mazhab Hambali dan sebahagian ulama masa kini.

Pendapat kedua: Mereka yang tidak solat tetapi berpuasa dianggap puasa mereka sah tetapi tidak diberi pahala. Inilah pendapat kebanyakan ulama Azhar seperti ‘Atiyyah Saqar, Dr. Ahmad Syarbashi, Dr. Muhemmed al-Bakri Ismail dan lain-lain. Hal ini kerana Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Siapa yang meninggalkan ucapan yang keji dan beramal dengannya, maka tiada keperluan bagi Allah dengan sebab dia meninggalkan makan dan minumnya”. (HR Bukhari dan Muslim)

Pendapat ketiga: Sesetengah ulama masih lagi mengiktiraf keimanan dan keislamannya selama mana orang itu masih mempercayai kebenaran Allah dan Rasul-Nya serta tidak membangkang atau mencela apa yang dibawa Rasulullah SAW. Mereka menyifatkan orang seperti ini sebagai fasik.

Pendapat keempat: Jika dia mengurangkan sebahagian daripada ibadatnya yang wajib kerana malas atau mengikut hawa nafsu, tanpa mengingkari atau mempermain-mainkannya dan dia juga melakukan ibadat-ibadat yang lain, dia dikira Muslim yang tidak sempurna, imannya lemah dan dan jika berterusan meninggalkannya, Allah tidak mensia-siakan amalan kebaikannya.

Pahala terhadap apa yang telah dilakukannya tetap ada, sebaliknya dia berdosa di atas ketelanjurannya. Allah SWT berfirman: Maksudnya: “Dan segala urusan yang kecil mahupun yang besar adalah tertulis.” (Surah al-Qamar: 53)
Firman-Nya lagi:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿۷﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرَّا يَرَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat pembalasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan menerima balasannya pula.”(Surah al-Zalzalah: 7-8)

Diakhiri dengan doa yang diriwayatkan oleh sejumlah salafus soleh, di mana mereka berdoa dengan doa seperti ini. Antaranya seperti yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dengan isnadnya yang zahirnya hasan, daripada Makhul, di mana beliau berdoa apabila memasuki bulan Ramadhan:
اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا
Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).” (Riwayat al-Tabarani di dalam al-Du’a (913) dan Abu Nu’aim al-Asbahani dalam Hilyah al-Auliya’)

Menurut Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hadis tersebut memberi maksud ‘اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ’ (“Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan,”) iaitu agar kita selamat daripada penyakit, kemudaratan, bencana dan musibah yang menyebabkan kita tidak mampu untuk beribadat dengan sebaik mungkin dan sepenuhnya di bulan Ramadan.

Sedangkan ‘وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي’ (“sejahterakanlah Ramadan bagiku,”) iaitu seseorang sekalipun sihat dan mampu melakukan ibadat dengan sebaik mungkin, tetapi tempat yang dihuni ketika berada di bulan Ramadan dalam keadaan peperangan atau wabak penyakit atau gempa bumi yang menyebabkan mereka tidak mampu untuk melakukan ibadat kerana musibah tersebut. Justeru, kedua-duanya kita mohon selamat dan sejahtera agar kita dapat beribadat dengan sebaik mungkin.
Maka ramailah ulama berdoa apabila masuknya Ramadan al-Mubarak atau hampir menjelmanya Ramadan, agar diberi kesihatan yang baik, dan diselamatkannya sehingga mampu melaksanakan ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain dengan sebaik mungkin.

Previous articlePenat lelah Ara Johari berbaloi, MJOL membanggakan
Next articleAir Mata Mak Engku Berlinang Atas Kebaikan DPDDM Datang Ziarah!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here