Zamani disenangi ramai kerana tidak sombong dengan orang sekeliling.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Zamani/Koleksi Syed Wafa

SUDAH banyak program realiti hiburan yang menampilkan juara berbakat bagi menghiasi industri seni hiburan tanah air. Namun kehadiran mereka tidak sedikit pun mampu menggugat populariti penyanyi sedia ada.

Buktinya, lihat sahaja Zamani Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Zamani Slam, 54, yang mula menghasilkan album bersama kumpulan Slam pada 1994. Malah lagu “Gerimis Mengundang” yang dimuatkan dalam album “Terbaik Slam” yang dilancarkan pada 1995 masih diminati hingga kini dan turut menjadi pilihan generasi baharu.

Anggota Slam masih lagi dianggotai oleh Lili (depan dari kiri), Zamani, Man, Eddie (belakang dari kanan) Ajak (tidak lagi bersama) dan Shah.

Lagu “Gerimis Mengundang” ciptaan Saari Amri itu kalau Zamani muncul di mana-mana acara dan tidak mendendangkan lagu tersebut, kira tak lengkap persembahannya. Malah lagu “Gerimis Mengundang” sewaktu menempa populariti luar biasa suatu ketika dahulu pernah dialih bahasakan kepada 21 bahasa di seluruh Asia.

Sejujurnya, Zamani atau mesra dengan panggilan Adik di kalangan teman rapat berkata, beliau juga tidak menduga masih mampu bertahan sehingga ke hari ini walaupun pernah melalui detik hitam dalam kehidupannya.

“Saya tak ada apa-apa petua atau rahsia yang menyebabkan saya masih relevan dalam bidang seni suara hingga kini. Apa yang boleh saya katakan, ini semua kuasa Allah. Dia yang bagi rezeki kepada saya dan saya amat bersyukur.

Ini adalah album studio kedua Slam yang dikeluarkan pada 1995.

“Kalau tengok pun, saya sama saja macam artis lain. Saya pun tak tahu mungkin orang suka perwatakan saya kot? Saya pun tak tahu, benda ini semua rezeki. Saya tak ada apa-apa rahsia, saya cuma cuba berbuat baik dengan semua orang,” katanya merendah diri tatkala ditanya tentang rahsia beliau bertahan dalam industri seni hingga kini.

Seandainya Zamani tidak mempunyai keistimewaan tersendiri, kemungkinan namanya tak akan menyerlah hingga kini kerana pada awal tahun 2015, beliau pernah terkait dengan kes memiliki dan mengambil dadah.

Ekoran daripada kes tersebut, Zamani dimasukkan ke pusat pemulihan setempat dan selepas beberapa bulan dirawat, penyanyi tersebut disahkan bebas daripada dadah dan mulai aktif di pentas hiburan pada 2016.

Zamani kerap menjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air antaranya majalah Hai.

Dalam satu temu bual podcast, Zamani mengaku bahawa beliau terlibat dengan dadah sejak zaman sekolah dan penyakit tulang belakangnya itu juga berpunca daripada dadah.

Sikapnya yang jujur dan tidak terkait dengan perkara kontroversi demi meraih populariti menyebabkan peminat tidak pernah berhenti menyokong beliau hingga kini.

“Awal-awal dulu selepas kes penahanan, saya rasa takut juga. Selalu tertanya-tanya, ada lagikah yang minat pada aku?. Ditambah pula dengan kehadiran bakat-bakat baharu. Biasalah, saya pun manusia juga, selalu fikir habislah karier aku.

Pernah tampil dengan album solo berjudul “Zamani” pada 2002.

“Sekarang ini saya tak ada rasa apa-apa dah, sebab saya dah faham situasi sebenar. Sebenarnya, saya tak bersaing dengan bakat-bakat baharu pun sebab zaman saya sudah berlalu.

“Macam saya sekarang sudah berada di satu tempat yang lain, kalau ada artis baharu yang nak berkolaborasi dengan saya, okey saja. Pada saya kita kena sokong artis baharu,” katanya yang pernah diiktiraf sebagai pemenang kategori Persembahan Vokal Di Dalam Album (Lelaki) menerusi album “Slam Live Concert Unplugged” (1996) di Anugerah Industri Muzik ke-4 pada tahun 1997.

Zamani yang pernah mengadakan persembahan di hadapan Ratu Elizabeth 11, Putera Philip, Duke Edinburg sewaktu penutup Sukan Komanwel 1998 bersama Dato’ Jamal Abdillah, Dato’ Amy Search dan Allahyarham Saleem Iklim menerusi lagu “Isabella 98” itu bukan saja popular di Malaysia, malah seluruh Nusantara iaitu Singapura, Indonesia dan Brunei apabila lagu daripada album kedua dan ketiga Slam berjaya menambat hati pendengar.

Zamani menjadi penghias muka depan majalah Hai bersama Lan A To Z, Ziana Zain dan Camelia.

Antara lagu-lagu popular dendangan Zamani bersama Slam, selain Gerimis Mengundang adalah “Kembali Terjalin”, “Kembali Merindu”, “Tak Mungkin Berpaling”, “Nur Kasih”, “Jika Kau Rasa Getarnya”, “Buat Seorang Kekasih”, “Kurnia”, “Mentari Muncul Lagi”, “Rindiani”, “Syair Si Pari-Pari” dan “Kala Hujan” tak pernah jemu didengar.

Zamani yang baru mengadakan Konsert Slam Bersama Orkestra Filharmonik Malaysia atau Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 22 Februari lalu, mengakui dua minggu sebelum konsert berlangsung, beliau sering rasa tekanan.

“Konsert pada Februari lalu di DFP bukan yang pertama tapi dah dua kali Slam buat persembahan di situ. Cuma kali ini saya menyanyi dengan Orkestra Filharmonik, memanglah rasa berdebar sebab kita tahu MPO itu tarafnya tinggi.

Zamani dan Nur Juliana Abdul Rani disatukan sebagai suami isteri pada 20 September 2019.

“Alhamdulillah, waktu persembahan semuanya okey dan saya yakin sebab dah berlatih banyak kali. Tapi dua minggu sebelum konsert bermula, saya rasa tertekan. Bukan apa saya takut tak boleh nak memberi tapi pada hari kejadian tu saya yakin.

“Sebenarnya saya dah pernah menyanyi dengan orkestra tapi MPO ini kita tahu world level. Kerja dengan mereka itu yang buat saya rasa takut. Tapi alhamdulillah, semua okey. Kalau diundang lagi untuk menjayakan persembahan dengan MPO, memang saya tak tolak,” katanya.

Jelas Zamani, selepas ini beliau dan anggota Slam bakal mengadakan konsert bersama dengan Exists di Malaysia dan Singapura. Memandangkan dua kumpulan itu cukup digemari oleh peminat di Indonesia, penganjur yang sama juga berusaha untuk membawa mereka ke sana.

Zamani adalah pemenang ketiga program Gegar Vaganza musim kelima pada 2018.

“Sebenarnya, selama ini saya kerap juga diundang mengadakan persembahan tanpa Slam dan anggota lain faham. Kalau ada peluang, saya memang akan selitkan kumpulan Slam tapi penganjur tak berapa setuju dengan harga yang ditetapkan. Berkumpulan ni bajet kena lebih sikit.

“Dalam apa hal pun saya tetap mengutamakan Slam kerana semua itu boleh diatur. Begitu juga Shah ada beritahu yang Slam akan ada single baharu, insya-Allah pada tahun ini juga. Ada kena mengena dengan konsert yang baru lepas, mungkin kita buat orkestra,” katanya memberi sedikit petunjuk untuk lagu yang bakal Slam keluarkan nanti.

Dalam pada itu Zamani yang diurus oleh isterinya, Nur Juliana Abdul Rani selaku Pengurus Peribadi juga memberitahu bahawa, beliau ada mendapat pelawaan daripada Haqiem Rusly untuk berduet bersama.

Sedia berkolaborasi dengan mana-mana artis yang sudi.

“Sebenarnya lagu baharu Haqiem yang berjudul “Kahwin Dua” tu, dia ada ajak saya berduet tapi masalahnya orang rumah tak berapa setuju. Jadi saya tak kisahlah. Bila saya tak boleh, dia akan buat yang lain untuk saya. Sekarang ini saya sedang tunggu material daripadanya,” jelasnya.

Zamani yang bakal menjayakan acara Ijmal Cinta Ramadan 2.0 di Saloma, Kuala Lumpur pada 21 Mac ini bersama dengan Ramlah Ram, Noorshila Amin, Zur Eda, Man Bai, Ameng Spring dan Amir Ukays berkata, sekarang ini beliau merancang untuk menyanyikan semula lagu-lagu popular era 80-an untuk dimuat naik di platform media sosial miliknya.

“Setakat ini, saya belum buat apa-apa lagi kat TikTok tapi kalau pergi mana-mana orang buatkan adalah. Selagi saya ada peluang buat show lagi saya tak naklah kacau buat TikTok. Besok-besok bila saya dah kurang show, insya-Allah saya akan buat.

Zamani kerap diundang menjayakan persembahan kerana lagu-lagu dendangannya diminati ramai.

“Macam lagu “Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta” dendangan Flybaits saya sering menyanyi bila buat show, penonton di situ saja yang dapat dengar. Tunggulah apabila saya sudah dapat senarai lagu-lagu popular era 80-an, saya akan cuba buat cover version.

“Saya cukup suka dengan lagu Moses Vadham, “Ku Cari Damai Di Hati”, lagu itu saya akan rakam kat media sosial. Saya dah setup studio kat rumah untuk buat rakaman untuk media sosial. Saya dah ada team untuk bantu,” ceritanya lagi.

Tiga tahun lalu Zamani pernah menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit scoliosis dan hingga kini masih meneruskan rawatan susulan enam bulan sekali.

Banyak lagu Slam dendangan Zamani yang tak jemu didengar.

“Setakat ini alhamdulillah tapi kena pergi checkup selalu juga. Bila ada hari-harinya waktu banyak kerja, saya akan rasa sakit, pedih-pedih belakang ini tapi doktor kata pedih itu normal la. Pasal kita dah pakai besi kat belakang ini tak sama macam orang lain dah.

“Kalau hujan atau kilat tak ada rasa apa-apapun, cuma bila lalu kat pintu pemeriksaan di lapangan terbang akan berbunyi. Petugas di Malaysia tahu, masa kat Singapura saya pernah kena tahan dan disuruh buka kasut semua. Saya ada kad pengesahan dari doktor dan waktu itu saya akan tunjuklah kad tersebut kepada pegawai bertugas,” kata pemenang ketiga program Gegar Vaganza musim ke-5 pada 2018.

Previous articleThai Charoen Seafood rai anak-anak yatim
Next articleRina EVA senang ditemani suami!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here