WAJAH jelita seniwati Normadiah dengan nama asalnya, Edith Sumompouw berasal dari Menado dan dilahirkan pada 14 Ogos 1932.

Oleh: SYED WAFA
Foto: KOLEKSI SYED WAFA

APABILA sebut nama Normadiah tidak boleh tidak para peminat filem Melayu mempunyai pandangan stigma terhadap seniwati yang hebat ini.

Walaupun seniwati ini yang memulakan kerjaya seninya ketika berhijrah ke Singapura pada tahun 1940-an sebagai guru tari dan penyanyi kumpulan bangsawan telah membintangi lebih 50 filem dan tidak sampai lima filem beliau melakonkan watak ibu tiri yang garang dan gundik yang kejam, namun ia meninggalkan kesan di hati para peminat filem Melayu sehingga hari ini kerana lakonan hebatnya itu.

NORMADIAH…pada awal kemunculannya dalam bidang seni.

Normadiah mula berlakon dalam filem “Seniwati” arahan A. R Tompel pada tahun 1953. Meskipun kemunculannya sekadar pelakon tambahan tetapi itulah bermula detiknya sebagai pelakon yang mana setelah itu satu demi satu filem beliau lakonkan antaranya “Sengsara, Siapa Salah” (1953), “Perjodohan, Panggilan Pulau” dan “Roh Membela” (1954).

Namun kemunculannya dalam “ Semerah Padi” (1956), “Lela Manja” (1959) dan “Panji Semerang” (1960) meninggalkan kesan yang mendalam bagi para peminat filem Melayu sehingga beliau ‘dicop’ sebagai pelakon jahat!

NORMADIAH bersama suami keduanya, Syed Hassan ShahabZ
Mereka mendirikan rumahtangga pada tahun 1954 dan bercerai pada tahun 1960.
NORMADIAH bersama suaminya Syed Hassan Shahab.
Perkahwinan mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Sharifah Hasnor dan Syed Ekzan.

Dalam “ Semerah Padi,” Normadiah sebagai Galak, isteri curang terhadap suaminya, Kachiwa (Omar Suwita). Bersama kekasihnya, Jejaka (A. Rahim), Galak telah membunuh suaminya dan akhirnya mereka berdua disula kerana berzina.

Filem “Panji Semerang” menampilkan Normadiah sebagai Paduka Liku, gundik yang jahat dan sentiasa mahukan beliau dan anaknya, Puteri Galuh Adjeng (Dayang Sofia) mendapat perhatian melebihi daripada Puteri Galuh Chandra Kirana (Saadiah) anak kepada Gusti Prabu Daha dan Permaisuri Puspa Ningrat (Gusti Ratu lakonan Seniwati Habsah).

NORMADIAH turut berlakon dalam filem “Semerah Padi”dengan bintang utama
Nordin Ahmad, Saadiah, P. Ramlee, Salleh Kamil, Daing Idris, A. Rahim, Shariff Dol, Musalmah dan Mohd. Hamid.
FILEM “Kaki Kuda” dibintangi oleh Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Normadiah, Saloma dan Mustarjo diarahkan oleh Kirdar Sharma.
BERDIRI dari kiri: Saloma, Normadiah, P. Ramlee dan Neng Yatimah sedang menbuat persembahan dalam satu majlis yang diadakan.
NORMADIAH turut berlakon filem “Raja Laksemana Bintan” dengan bintang utama Ahmad Mahmud dan Rosnani.

Bagaimanapun kemunculan Normadiah sebagai Dang Suri, ibu tiri yang kejam dan isteri yang curang dan sering menyeksa anak tirinya Lela ( Habibah Haron/ Lela kecil dan Zaiton, Lela dewasa) dan adiknya, Manja (Bad Latiff/ Manja kecil dan Aziz Jaafar, Manja dewasa) meninggalkan kesan mendalam di hati para peminat filem Melayu ketika itu.

Sebabnya apabila perbuatan Dang Suri yang curang diketahui oleh suaminya, Sang Naka (Salleh Kamil) bersama kekasihnya Panglima Harimau Berantai (A. Rahim) mereka telah membunuh Sang Naka.

LAKONAN Normadiah sebagai ibu tiri yang kejam dalam filem “Lela Manja”membuatkan beliau dibenci.
BAT Latiff dalam satu babak filem “Lela Manja” didera ibu tiri yang kejam lakonan Normadiah.
NORMADIAH bersama Habibah Haron dan Bat Latiff dalam satu babak filem “Lela Manja.”

Sifat kejamnya terhadap anak tiri dan bersama kekasihnya, Dang Suri sanggup membunuh suaminya membuatkan Normadiah ‘dicop’ sebagai pelakon paling jahat dan kejam sehingga dibenci para peminat.

Adalah difahamkan kebencian para peminat filem Melayu ketika itu bukan setakat dalam filem malah hingga terbawa-bawa hingga di luar filem yang mana kadangkala ada yang sanggup meludah pelakon berkenaan apabila bertemu di luar.

NORMADIAH turut berlakon dalam filem “Megat Terawis” dengan bintang utamanya Hashimah Yon, Ahmad Mahmud dan Jins Shamsuddin.

Kebencian para peminat hingga beliau dicop sebagai ibu tiri yang kejam adalah kejayaan Normadiah malah ada yang menganggap itulah sebenarnya sifat Normadiah.

Bagaimanapun jika anda mengenali Allahyarham Seniwati Normadiah, anda akan tahu hati budi isteri kepada Allahyarham Seniman dan Pengarah, Aziz Jaafar ini adalah seorang isteri yang baik budi bahasanya dan ibu yang penyayang kepada anak-anaknya, Azlina dan Liza Aziz serta Sharifah Hasnor, Syed Eksan (anak melalui perkahwinan keduanya dengan Syed Hassan Sahab).

HARI bahagia…Normadiah dan Aziz Jaafar. Mereka berkahwin pada tahun 1961.
Gambar: Tuan Johari Shariff.
PASANGAN romantis dan bahagia…Normadiah dan Aziz Jaafar.

Sebelum berkahwin dengan Aziz Jaafar, Normadiah pernah berkahwin dua kali yang mana perkahwinan pertamanya dengan Abdul Rahman berakhir dengan perceraian.

Setelah bercerai Normadiah berkahwin dengan Syed Hassan berdarah kacukan Arab Palembang dan pernah bekerja sebagai Penolong Pengarah di Shaw Brothers. Melalui perkahwinan ini, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Sharifah Hasnor dan Syed Ekzan.

DARI kiri: Normadiah, Hashimah Yon dan Rahmat Rahmat dalam satu babak dari filem “Sri Tanjong” arahan Jamil Sulong yang diterbitkan pada tahun 1961.
Filem ini turut dibintangi Ahmad Mahmud, Bat Latiff, A. Rahim, Haji Mahadi, Omar Suwita, Malek Sultan Muda, Shariff Dol, M. Rafee, Mustarjo, H. M Busra, Habsah, Saamah, M. Zain.
NORMADIAH dan Hashimah Yon ketika di Congo pada tahun 1961.
NORMADIAH dan Ahmad Mahmud.

Perkahwinan ketiga Normadiah dengan Aziz Jaafar pada 1961 kekal sehingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Melalui perkahwinan ini mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Azlina dan Liza Aziz. Mereka berdua dikenali sebagai penyanyi hebat mengikut jejak langkah Normadiah dan suaminya, Aziz Jaafar.

Wafa (Penulis) yang berpeluang mengenali beliau amat menghormati dan meminati Seniwati Normadiah kerana sifat antagonis beliau hanya di dalam filem sahaja.

NORMADIAH melakonkan watak ibu malang yang ‘dibenci’ anak sendiri dalam “Si Tanggang.”
Filem ini dilakonkan Jins Shamsuddin, Zaiton, Sarimah, Haji Mahadi, S. Kadarisman, Salleh Kamil dan Rahmah Rahmat.
NORMADIAH melakonkan watak ibu malang yang dalam filem “Si Tanggang”, dalam satu babak bersama Bat Latif.

Realitinya apabila berjumpa dan berbual dengannya, Wafa amat kagum dan menghormatinya kerana beliau adalah seorang isteri yang baik, ibu yang penyayang dan Seniwati yang low-profile walaupun beliau terkenal sebagai seniwati hebat.

Malah ketika menjenguk beliau dan anak-anaknya di rumahnya di Subang Jaya, Wafa terkejut kerana Normadiah dan keluarganya adalah pencinta kucing. Keluarga mereka sanggup membuat rumah kucing (seperti rumah burung) yang banyak dengan sebuah rumah khas untuk seekor kucing yang mana di bawahnya longkang untuk memberi keselesaan kepada kucing peliharaan mereka yang belasan ekor (ketika itu).

NORMADIAH bersama Seniwati Siput Sarawak.
NORMADIAH bersama Sarimah, Rahmah Rahmat dan Saadiah bergambar kenangan bersama Tunku Abd Rahman semasa pembukaan Rumah Umno, Singapura pada tahun 1965.

Selama lima dekad dalam dunia filem, Normadiah yang mempunyai kumpulan penari Normadiah Dancer, telah membintangi lebih 50 filem dengan filem terakhirnya “Layar Lara” (1997) tampil khas dalam babak menarik filem berkenaan.

Seniwati Normadiah meninggal dunia kerana kencing manis dan apendiks pada usia 67 tahun di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada 8 Ogos 2000.

CINTA dan kasih sayang…Normadiah dan Aziz Jaafar kekal bahagia sehingga nafas terakhirnya.
KELUARGA bahagia… Normadiah dan suami, Aziz Jaafar bersama anak-anak mereka (berdiri dari kiri) Syed Ekzan, Azlina, Sharifah Hasnor dan Liza.
NORMADIAH bersama anak sulongnya dengan Aziz Jaafar, Azlina Aziz.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman…Amin.

PASANGAN bahagia…Normadiah dan Aziz Jaafar.
PENULIS, Syed Wafa mengabadikan kenangan bersama Normadiah.
Previous articleHidangan Set Talam Restoran Rasa Rosz dapat sambutan hangat!
Next articleSelamat Hari Wanita 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here