Oleh: Khadijah Ibrahim
PASTI ada di antara anda yang merupakan penonton setia drama ‘Dendam Seorang Suami’ yang bersiaran pada jam 6 petang, setiap Isnin hingga Jumaat di Slot Tiara, Astro Prima sejak 3 Mac lalu.
Tidak dinafikan drama 50 episod, arahan Riza Baharudin itu sedikit sebanyak membuatkan penonton tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya dan di waktu yang sama ‘benci’ dengan karakter Izara, lakonan Sweet Qismina.

Mengaku tidak pernah bawakan watak sebegitu, Sweet mengakui beliau berasa tekanan-tekanan tersendiri dalam meneroka watak seorang Izara.
“Saya risau sangat dan takut tidak dapat bawa sebab pada saya, watak ini kalau salah ‘portray’, akan nampak dia hanya menggedik, mengada dan over tanpa sebab dan saya tidak mahukan itu.

“Alhamdulillah, lepas banyak kajian dibuat dan saya cuba memahami Izara, saya dapat simpulkan yang dia memang ada Borderline Personality Disorder (BPD) atau Kecelaruan Personaliti Pinggiran,” ujarnya meluahkan pemahaman dirinya tentang karakter Izara.
Berasa kasihan dengan Izara, Sweet melihat empati ini wujud kerana Izara merupakan seorang yang tidak dapat melawan mengawal penyakit BPD dan Post Traumatic Stress Disorder.

Menurut Sweet, jika kita benar-benar memahami mereka yang menghadap penyakit ini, kita memang akan kasihan kerana orang itu sendiri tidak mahu perkara ini berlaku ke atas diri mereka sendiri.
“Kalau nak faham Izara betul-betul kena tunggu episod akan datang. Sebab semuanya akan terungkai. Kalau dilihat episod-episod akan datang, kita boleh nampak perangai serta cara yang Izara akan buat pelbagai cara untuk pisahkan Faris dan Rayhana.
“Makin lama dia makin benci Rayhana, dan tuduh Rayhana menjadi punca kehancuran rumah tangga dia. Dia akan jadi lebih trauma takut kehilangan Faris,” katanya yang mengaku banyak hal yang dipelajarinya.

Tegas isteri kepada pelakon Adam Lee itu jika tidak melakonkan watak Izara, mungkin beliau tidak tahu tentang wujudnya penyakit BPD.
“Kalau saya tidak bawakan watak Izara, saya tidak akan tahu wujudnya BPD. Kalau kita jumpa dengan orang yang mengalami sakit mental, kita perlu untuk faham dan tahu apakah jenis depresi yang mereka hadap tanpa menghakimi perilakunya dahulu.
“Kita juga perlu ada kesabaran yang tinggi untuk kemahami dia. Kalau tidak mampu mahu hadap pasangan yang ada penyakit mental, dua sahaja pilihan, jangan beri harapan dan jangan bersamanya atau pilihan kedua sabar serta tolong dia dengan ikhlas,” ujar Sweet mengungkap perilaku BPD di sebalik Izara.

Dalam drama bersiri yang diproduksikan oleh MIG ini, Izara divisualkan bertemu dengan doktor mental untuk menyelesaikan masalahnya.
Berdasarkan pengamatan dan penelitian terhadap watak Izara, Sweet mempunyai nasihat kepada mereka yang berhadapan dengan masalah mental ini.
“Kalau anda rasa atau memang sudah di diagnose dengan isu mental, jangan simpan sendiri. Kongsi dan luahkan. Jangan duduk sendiri dan percayalah akan jumpa orang yang betul-betul memhami anda.

“Dan buat para penjaga yang berdepan dengan pesakit sebegini, anda sudah menyelamatkan nyawa orang tanpa sedar, terima kasih sebab tdak semua orang mampu menghadap mereka,” sebuah catatan penghargaan Sweet buat mereka.
Sweet yang sentiasa manis tetapi tiba-tiba menukar warna portfolio genggaman watak menyatakan harapannya terhadap drama ‘Dendam Seorang Madu’ itu.
“Saya harap banyak lagi pengajaran dalam episod-episod akan datang dapat ditonton serta momentum dan plot twist perjalanan cerita ini akan menarik hati penonton yang mengikut dari episod awal. Terima kasih buat semua yang menonton dan sokong karya kami,” ujarnya dalam tutur dan wajah sentiasa manis.

Drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd. ini telah mendapat sentuhan daripada pengarah drama popular Malaysia, Riza Baharuddin yang berjaya mengangkat drama ‘Andai Tiada Dia’ sebagai drama nombor satu dalam sejarah kandungan Melayu Astro (2024).
Barisan pelakon yang membintangi drama ini adalah Hannah Delisha (Puteri Rayhana), Redza Rosli (Faris Alfian), Sweet Qismina (Izara) dan Emelda Rosemila (Hanum). Runut rasmi bagi OST drama ini berjudul “Tipu Helah” dinyanyikan oleh Hannah Delisha turut mengiringi para penonton sepanjang drama ini bersiaran.
‘Dendam Seorang Madu’ mengisahkan tentang Putri Rayhana, seorang gadis hidup sebatang kara bersama neneknya yang garang dan ibunya yang sakit gila berusaha mencari jalan untuk menyambung pelajaran bagi mengubah nasib keluarga mereka.

Namun dia terpaksa akur dengan kehendak neneknya yang ingin mengahwinkan dia dengan Faris Alfian, anak kepada seorang CEO syarikat besar demi menampung kos rawatan ibunya. Faris Alfian pula terpaksa menurut kehendak ibunya, Hanum yang mengatur perkahwinannya supaya dia dapat menyandang jawatan CEO.
Namun segalanya terbongkar selepas perkahwinan mereka, apabila Faris sebenarnya sudah bernikah secara rahsia dengan Izara, pembantu peribadinya dan meminta untuk Rayhana merahsiakan perkara tersebut daripada ibunya.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.