Oleh: Khadijah Ibrahim
KALAU sebut nama Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, pasti ada yang tertanya, siapa tu? Lain pula reaksinya kalau sebut nama Yonnyboii. Sebenarnya, kedua-dua nama itu adalah milik seorang individu yang dikenali sebagai rapper, penulis lagu dan penerbit rakaman di Malaysia.
Yonnyboii, 27, memulakan kerjaya muzik pada usia remaja dengan melancarkan pita adunan atau mixtape pertamanya pada 2016. Mixtape adalah kompilasi muzik pelbagai sumber yang dirakam dan dihimpunkan dalam satu medium. Setiap lagu yang terkandung dalam himpunan tersebut disusun dalam turutan dikehendaki artis atau pernebit berdasarkan tema tertentu.

Kemudian artis berasal dari Setapak, Kuala Lumpur itu mendapat perhatian ramai apabila memuat naik videonya di saluran YouTube. Pada 2019, Yonnyboii yang mempunyai pendidikan dalam bidang animasi itu tampil dengan single sulung berjudul “Takut” bersama Caprice.
Rupa-rupanya Yonnyboii mula menulis lagu sejak usia 13 tahun gara-gara tidak mempunyai ramai kawan. Suami kepada Nik Nazirah Nik Narriman itu mengakui beliau suka menyendiri kerana pernah menjadi mangsa buli semasa zaman kanak-kanak dek berkelakuan pelik dan berbeza daripada orang lain kerana gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).
Selain berkolaborasi dengan Caprice, pada tahun yang sama juga beliau tampil dengan single “Aku” menampilkan Ismail Izzani, “Sakit” serta “Cemburu” bersama Zynakal.

Pada tahun 2020, Yonnyboii muncul dengan single berjudul “Salahku”, “Kelabu” bersama Azlan The Typewriter, “3 Kucing” dengan Ariff Bahrain serta Adam E, “X Missing You” berkolaborasi dengan Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir serta Tuju.
Boleh dikatakan setiap tahun, ada saja karya yang dihasilkan oleh Yonnyboii termasuklah lagu runut bunyi untuk filem ‘Mechamato Movie’ pada 2022 yangberjudul “Temanku”. Pada tahun 2024, Yonnyboii bekerjasama dengan Luca Sickta, Kmy Kmo untuk lagu “Perlu” dan lagu “Nadi” bersama dengan Jobranko.
Penyanyi berbakat ini juga pernah mencipta lagu untuk Andi Bernadee berjudul “Penat”, “Dap Dap Dap” (Allahyarham Siti Sarah) dan menulis lirik untuk lagu “Impikan”serta “Bad” nyanyian kumpulan Dolla.

“Untuk acara ‘Latihan Pestapora Malaysia’ yang bakal berlansung pada 26 Julai ini di Surf Beah,Sunway Lagoon, saya akan menyanyikan lagu baharu yang akan keluar dalam waktu terdekat ini.
“Kalau boleh saya nak mempromosi lagu baharu ini kerana ada seorang legenda yang berduet dengan saya. Saya buat lagu itu dengan artis tersebut dan ini kali pertama kami bekerjasama. Kalau tak pilih dia memang silap besar,” kata Yonnyboii yang enggan mendedahkan siapa pasangan duetnya itu.
‘Latihan Pestapora Malaysia’ bukan sekadar persembahan pentas biasa. Iaadalah platform untuk kolaborasi budaya Nusantara yang diraikan melalui muzik. Lebih istimewa, ia turut membuka peluang kepada peminat untuk merasai previu kepada edisi utama Pestapora di Jakarta pada September nanti.

Selain Yonnyboii, acara tersebut turut dimeriahkan oleh Bittersweet, Bunkface, Dolla, SonaOne, Salammusik dan ramai lagi. Festival ini menjanjikan pelbagai genre seperti pop, rock, alternatif, hip-hop hingga ke indie untuk peminat yang dahagakan pengalaman muzik serumpun.
Manakala artis Indonesia yang terlibat untuk ‘Latihan Pestapora Malaysia’ yang pertama kali diadakan, ialah .Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas.
Penerima anugerah Album Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-23 menerusi album “Yonny (Deluxe Version)” pada 2022 itu mengakui sejak menimang cahaya mata sulung, Kairo, pada Julai 2023, kegiatannya agak terbatas.

Ujar Yonnyboii, beliau sangat gembira dengan kemenangan yang diraih kerana album tersebut dibuat dalam keadaan serba kekurangan.
“Saya sangat gembira dan tak sangka menang kerana saingan sangat hebat. Album ini dihasilkan dalam tempoh dua bulan dan ini adalah album paling cepat saya pernah siapkan.
“Proses pembikinannya saya yang buat sendiri. Saya buat lagu sendiri dan susunan muziknya saya minta bantuan pasukan saya. Rakaman lagu ini dibuat di rumah saja, namun saya bangga dengan album ini selepas susah payah yang dilalui,” katanya terus terang.

Ujarnya, selama setahun lebih, masanya lebih kepada Kairo kerana mahu melihat anaknya itu membesar di depan mata. Lagipun Yonnyboii dan isteri tidak yakin untuk menyerahkan anak untuk dijaga oleh pembantu.
“Saya ambil masa lama untuk keluarkan single baharu kerana selama setahun setengah saya fokus kepada anak dan masa saya lebih kepada dia. Umur anak setahun sembilan bulan, nak masuk dua tahun dah.
“Sekarang anak sudah besar sikit dan saya sudah ada masa lapang untuk berkarya. Bila jadi ayah lagi banyak tanggungjawab. Buat masa sekarang saya nak ada dengan dia (anak) saja. Mungkin next time saya tak banyak masa dengan dia seperti sekarang ini.
“Memang saya sering bawa anak ke majlis sebab perkara begini tak akan berulang lagi apabila anak sudah besar. Dalam masa empat tahun ini saya nak fokus kepada anak berbanding karier saya. Tapi tak semestinya saya akan tinggalkan karier saya kerana dalam masa yang sama saya akan cuba untuk berkarya juga,” katanya tentang aturan yang dibuat bagi memastikan fokus pada keluarga dan muzik berjalan serentak.

Akui Yonnyboii, meskipun tampak beliau sering menghabiskan masa bersama anak, namun urusan kerjaya tetap berjalan lancar seperti biasa.
“Saya masih buat muzik, saya ada studio sendiri Budak Bro Studio yang baru dibuka. Apabila ada studio sendiri, sekarang ini tumpuan saya lebih kearah pembikinan lagu untuk artis lain dan label lain selain fokus untuk keluarga saya.
“Tak semestinya kalau saya tak keluarkan muzik atau single, saya tak buat muzik. Saya cuba cari ruang untuk mencari rezeki dengan cara lain kerana sekarang ini saya lebih kepada kerja-kerja di belakang tabir. Kalau boleh saya nak keluarkan banyak lagu, tak kiralah untuk diri sendiri atau orang lain.
“Saya bersyukur sangat kerana isteri tak pernah menghalang kerjaya saya, dia adalah tulang belakang saya paling kuat. Dia yang banyak menolong saya sewaktu saya pergi buat persembahan dan banyak memberi semangat kepada saya.

“Kalau saya pergi buat persembahan ke luar negara sekalipun dia mesti ada. Kalau dia tak ada saya rasa susah hati. Kami macam belangkas, kalau nak ambil saya kena ambil satu set terus termasuk anak,” katanya sambil ketawa.
Ujar Yonnyboii, beliau tidak kekok atau rasa ganggu apabila anak sentiasa berada disampingnya. Hatinya akan mula risau kalau insan-insan tercinta tidak berada di depan mata.
“Kalau terlampau sibuk atau susah nak bawa anak, saya tinggalkan sekejap. Kalau show di luar pun kalau boleh saya akan bawa anak juga. Sebab boleh je isteri dan anak duduk di hotel. Kita orang susah sikit nak tinggalkan anak sebab susah nak percaya pada orang lain.
“Memang tak guna maid sebab banyak sangat isu takut dengan kes culik, kes pukul dan orang jaga anak tak betul. Kalau sibuk macam mana pun kami cuba dan kalau tak boleh bawa, tinggalkan anak dengan mentua saja sebab saya lebih selesa tinggalkan anak dengan orang yang kita kenal.

“Walaupun rutin hidup terpaksa berubah, saya tak kisah kerana dapat menimba pengalaman baharu. Selepas bergelar bapa, saya cuba menjadi yang terbaik dan alhamdulillah, isteri dan mentua banyak menolong. Ini pengalaman baharu, sesuatu yang kita tak belajar tapi menyeronokkan. Saya harap dapat melihat anak membesar dengan bak,” katanya yang pernah mencipta lagu khas untuk isteri berjudul “Niki”.
Yonnyboii yang mempunyai kelab peminat yang digelar Yonnyverse berkata, beliau mempunyai impian untuk membuat persembahan khas kepada penyokong-penyokongnya.
“Saya ada berhasrat untuk membuat persembahan khas untuk kelab peminat seperti mengadakan gig kecil-kecilan. Mahu acara itu tampak intim supaya boleh berinteraksi lebih dekat dengan mereka,” ujarnya dalam satu temu bual.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.