Joey bukan sekadar menyanyi, dia juga boleh mencipta lagu dan menulis lirik.

Oleh:Khadijah Ibrahim
Foto:Ehsan Joey Daud/Koleksi Syed Wafa

HAMPIR 30 tahun tidak merakam lagu, kini Joey Daud muncul dengan single berjudul “Wamwamsam”, yang dilancarkan secara rasmi pada 20 Mei lalu.

Kali terakhir Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud, 52, merakam lagu adalah pada1996 untuk album kedua yang berjudul “Joey”. Manakala album sulungnya yang bertajuk “Beradu Suratan” dihasilkan pada 1994.

Kedua-dua album Joey diterbitkan di bawah label Luncai Emas. Sdn. Bhd., kerana dia memulakan kerjaya sebagai penyanyi rakaman yang bernaung di bawah syarikat tersebut.

Antara album solo awal Joey Daud.

Jelas Joey, untuk kembali merakam lagu selepas begitu lama menyepi, tidak dinafikan yang dia merasa gementar. Perasaan itu menguasai dirinya dan juga merasa tidak yakin jika ada lagi yang masih menyokongnya sebagai penyanyi.

“Sebenarnya saya berdebar ni menunggu reaksi orang ramai. Tak tahulah orang boleh lagi menerima saya sebagai penyanyi atau tidak sebab umur pun dah meningkat. Kalau
ditakdirkan lagu ini tak boleh jalan, mungkin ini yang terakhir saya rakam suara sebab fobia itu masih ada lagi.

“Setiap kali keluarkan album atau lagu, saya akan fobia kerana kedua-dua album saya sebelum ini ada kisahnya. Entahlah, setiap kali keluarkan album asyik kena banned saja, walaupun album itu sampai ke Indonesia.

Bersama Naqui sewaktu menyertai program ‘Famili Duo’.

“Alhamdulillah, album kat Indonesia terjual hampir 800,000 unit tetapi waktu itu ada rusuhan di sana dan banyak bangunan dibakar termasuk BMG Indonesia yang mengedar album saya terbakar jadi apa pun saya tak dapat termasuk duit. Kat Malaysia release tak sampai seminggu dah kena banned.

“Album saya kena banned (diharamkan) sebab sifu saya ada buat kenyataan yang lantang dan tempiasnya kena pada album saya yang dikeluarkan oleh Luncai Emas, tu yang kena banned.

“Apabila kedua-dua album kena banned, saya rasa bukan rezeki saya kot. Saya tak rasa putus asa untuk rakam lagu lagi tapi rasa sangkak dan anggap itu bukan laluan saya. Lepas itulah saya mula berlakon dalam tahun 2000,” cerita Joey tentang pengalaman lalu yang masih menghantui fikirannya.

Pada majlis pelancaran lagu “Wamwamsam” baru-baru ini.

Ujarnya lagi, kehadiran lagu “Wamwamsam” mungkin kerana dia mahu kembali ke arena seni suara. Malah katanya, lagu ini pun atas permintaan juga kerana watak Daud M ini ramai yang minta dia nyanyi balik.

Selain itu, kata Joey, orang yang memberi kekuatan kepadanya untuk tampil dengan single ini adalah sifu Dato’ M.Nasir yang memaksa dan memujuk dia untuk rakam lagu ini.

“Saya pun berbincang dengan isteri yang merupakan tulang belakang saya itu dan selalu
memujuk saya untuk rakam lagu. Kalau ikutkan sampai sekarang saya tak kuat untuk merakam lagu tapi atas sokongan anda semua, insya-Allah saya akan terus menghibur orang ramai sehingga kiamat jika diterima, ” katanya.

Menyahut permintaan itu, Joey kata, dia perlu memikirkan apa konsep yang nak diketengahkan sebab sudah lama tidak keluarkan lagu baharu.

Mendengar lagu “Wamwamsam” seolah-olah mendengar Daud M yang menyanyi.

“Nak keluarkan lagu ini banyak cabarannya, selain daripada rasa kurang keyakinan. Pertama saya kena fikir dari segi bajet, apa konsep yang nak ketengahkan sebab saya sudah lama tak keluar lagu. Takkan saya nak keluarkan lagu yang biasa-biasa saja, itu yang saya kena fikirkan.

“Bila dah jadi, kena fikir pula apa misi dan visi untuk masa akan datang. Itu yang perlu diatur, alhamdulillah harap aturan itu menjadi kerana bajet yang dikeluarkan pun kira-kira, RM60,000,” katanya.

Bercerita lanjut tentang single baharunya itu, kata Joey, “Wamwamsam” bukan sekadar sebuah lagu biasa. Sebaliknya, lagu ciptaannya itu merupakan karya komedi pop rock eksperimental yang penuh warna, jenaka dan makna mendalam.

Tambahnya, lagu tersebut mengangkat tema wawasan dan pentingnya pendidikan sebagai akar kepada pembentukan diri dan masa depan. Di sebalik irama yang rancak dan lirik
penuh sindiran sinikal yang menggelitik, tersembunyi mesej kuat untuk semua lapisan masyarakat dari pelajar sekolah rendah hingga ke pembuat dasar negara.

Video muzik “Wamwamsam” dihasilkan dalam bentuk filem pendek.

Lagu hasil ilham Joey ini diperkayakan lagi dengan kolaborasi bersama barisan komposer muda di bawah naungan Luncai Emas iaitu Ilham Nasir dan Hidayat Nasir yang membawa nafas baharu dengan sentuhan pop dan susunan muzik yang berani serta unik.

“Saya hasilkan lagu ini berdasarkan pengalaman hidup, pemerhatian sosial dan kenangan lama. Wawasan bukan sekadar kata tapi ia adalah panduan hidup. Wamwamsam mungkin kedengaran lucu, tapi maknanya mendalam,” kata Joey.

Bagi menambahkan lagi kekuatan “Wamwamsam” sebagai karya yang inklusif dan bersifat kebangsaan, lagu ini turut menampilkan segmen rap khas oleh A.D, anggota kumpulan hip hop kreatif dari Sabah, Isohbatos.

“Sentuhan A.D membawa elemen segar dan unik, dengan gaya rap berbahasa Melayu Borneo yang mencerminkan semangat rakyat Malaysia dari timur.

Lukisan mural Joey yang dihasilkan di bangunan di Muar.

“Kolaborasi saya dengan A.D menjadi jambatan yang menghubungkan pasaran muzik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Bukan lagu untuk satu kawasan saja, ini lagu seluruh Malaysia. Apabila A.D masuk studio dan bawa gaya dia yang tersendiri, kami tahu lagu ni akan jadi sesuatu yang luar biasa,” ujar Joey yang gemar melakukan perkara yang tidak dapat dijangka.

Menambah keterujaan pelancaran single tersebut, video muzik rasmi “Wamwamsam” pula
dihasilkan dengan konsep sinematik ala filem pendek, sekali gus menjadi teaser eksklusif kepada filem yang sedang dibangunkan iaitu ‘Daud M’, filem susulan berdasarkan watak popular yang dibawa Joey sebelum ini.

Apa yang lebih mengujakan, video muzik dan filem ini diarahkan oleh Amen Khalid, anak kepada Allahyarham Mamat Khalid, yang mewarisi sentuhan magis ayahnya dalam menyampaikan kisah rakyat dengan cara yang lucu, sinikal dan penuh nilai.

Video muzik “Wamwamsam” membawa penonton menyusuri kisah seorang pelajar kampung yang berwawasan tinggi, berjuang menentang masyarakat yang statik dan kekangan sistemik demi menuntut ilmu dan perubahan.

Diwarnai dengan visual dramatik, suasana sekolah retro, guru-guru eksentrik dan sindiran sosial yang tajam, ia pasti mengundang tawa, air mata dan perenungan.

Lukisan ini hasil lakaran Joey yang mempunyai cerita di sebaliknya.

Tegas Joey, “Wamwamsam” lebih dari sekadar hiburan kerana ia adalah panggilan kepada generasi muda untuk bangkit dengan ilmu dan wawasan. Lagu ini menyingkap kepincangan masyarakat dengan cara jenaka tetapi menyedarkan, satu pendekatan seni yang jarang ditemukan hari ini.

Kelahiran lagu ini membuktikan Joey bukan hanya pelawak atau pelakon, tetapi seorang seniman sejati yang berani meneroka sempadan genre dan medium. Dengan pengaruh budaya tempatan, nostalgia sekolah, dan mesej yang relevan, “Wamwamsam” dijangka menjadi fenomena tersendiri.

“Alhamdulillah, penerimaan orang untuk watak Daud M yang saya bawa itu satu momen yang sangat saya hargai sewaktu bersama arwah Mamat Khalid. Tak sangka, lawak Daud M ini amat menjadi.

“Kalau orang dengar lagu ini orang akan dengar Daud M yang menyanyi kerana lagu ini adalah runut bunyi (OST) untuk filem ‘Daud M’, insya-Allah Disember 2025 baru mula penggambaran filem.

“Video muzik ini dibuat beberapa bulan lepas dan idea pun baru juga. Lagu saya hasilkan sendiri, sementara lirik saya bersama Ilham M.Nasir dan gambar otak itu adalah cover album yang saya lukis sendiri. Tajuknya Road To Wamwamsam,” jelasnya lagi.

Antara mural yang dilakar oleh Joey dan dia berhasrat untuk mengadakan pameran lukisannya sendiri.

Kata Joey, di awal video muzik tersebut, dia sudah tunjukkan adab dan ilmu yang penting. Jelasnya, setinggi mana pun kerjaya seseorang itu, kalau tanpa adab dan ilmu, insan tersebut tidak akan menuju ke wawasan yang diinginkan.

Sinonim dengan watak Daud M

Joey yang mula berlakon pada tahun 2000 atas pelawaan AR Badul, kini amat sinonim dengan watak Daud M. Watak tersebut mula melekat pada dirinya selepas berlakon filem ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’ arahan Allahyarham Mamat Khalid yang ditayangkan di pawagam pada 2021.

Selain filem tersebut, watak Daud M juga terlibat dalam filem ‘Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa’, ‘Kampong Pisang Berbuah Dua Kali’ (2022) dan ‘19 Puasa Playboys Of Plestik Hitam’ (2024). Malah dia juga pernah membawa watak tersebut menerusi drama bersiri ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ yang disiarkan di Astro Citra pada 2020 – 2021.

“Tidak dinafikan watak Daud M sangat besar impaknya pada kerjaya lakonan saya sampaikan nama Joey Daud sudah hilang. Kat luar pun orang cakap bahasa M dengan saya. Mula-mula tu agak susah juga nak bercakap bahasa M ini, apatah lagi menyanyi.

“Tak sangka watak Daud M bercakap bahasa M yang berbeza daripada pertuturan biasa itu menjadi ikutan. Saya tak kisah kalau watak Daud M membayangi nama Joey Daud. Kalau itu membawa saya untuk lebih bahagia dan budak-budak pun suka kenapa tidak. Pernah juga secara spontan tercakap bahasa M,” katanya sambil ketawa.

Bersama isteri dan anak yang merupakan pendorong Joey untuk terus berkarya.

Joey yang bakal memulakan penggambaran untuk filem baharu pada Jun ini berkata, dia tidak ada masalah untuk bekerja dengan Amen Khalid, anak arwah Mamat Khalid.

“Kerja dengan Amen, rasa okey saja sebab dia sentiasa ada di belakang arwah abang Mamat dulu. Memandangkan Amen ini orang muda jadi fahamannya lain dan lebih teruja melakukan kerja-kerjanya.

“Saya selalu jumpa dan berbincang untuk filem ‘Daud M’. Seperti dalam video muzik “Wamwamsam”, M.Nasir berlakon sebagai pengetua sekolah dan untuk filem ini nanti, sifu akan jadi bapa saya,” katanya yang bakal tampil dalam tiga buah filem yang mengetengahkan watak yang berbeza.

Selain fokus kepada dunia lakonan dan komedi, Joey yang pernah menyertai program realiti seperti ‘Maharaja Lawak Mega’, ‘Juara Parodi’, ‘Muzikal Lawak Superstar’,‘Mega Spontan’ dan ‘Famili Duo’ musim keempat bersama Naqiu itu berkata, dia sedia untuk menghasilkan lagu kepada mereka yang memerlukan khidmatnya.

Untuk pengetahuan, suami kepada Watie Sadali yang dinikahi pada 1992 itu pernah mencipta lagu untuk kumpulan Fahrenheit berjudul “Riak” (1995), “Jalan-Jalan”nyanyian Wings (1996), “Tertanya-Tanya” dendangan Ruhil Amani (1997), “Apa Saja” yang dirakam oleh Dato’ Amy Search (1997), “Bertemu Tak Bersatu”, nyanyian Ways (1998) dan menulis lirik untuk lagu “Lepaskanmu” dendangan Sweet Child pada 2016.

Suka melakukan perkara yang tak dijangka.

“Saya boleh saja buat lagu atau tulis lirik untuk orang lain sebab, dua-dua pekerjaan itu pernah saya buat. Tambah-tambah sekarang ini, saya nak mula balik dalam bidang nyanyian, jadi tak ada masalah untuk hasilkan karya kepada orang lain,” ujar Joey yang di awal kemunculannya pernah menganggotai kumpulan Mistaken Identity di Johor.

Malah pertemuan Joey dengan M.Nasir pun bermula sewaktu kumpulan tersebut menyertai pertandingan ala Battle of The Band yang mana juri semasa itu adalah kenalan rapat kepada komposer dan penyanyi tersohor itu.

Selepas M.Nasir bersetuju untuk mengambil Joey sebagai artis Luncai Emas, Mistaken Identity bersetuju melepaskan Joey menjadi artis solo. Malah Joey juga berkesempatan menjadi penyanyi untuk kumpulan Exists selepas Ezad Lazim keluar dari kumpulan tersebut.

Satu lagi kelebihan Joey adalah dalam bidang lukisan. Untuk lagu “Wamwamsam”, dia telah melukis gambar otak sebagai muka depan album tersebut. Selain itu, lukisan besar yang Joey telah lakarkan setakat ini adalah 58 mural di Muar, Johor.

“Jika anda lihat, otak yang saya lukis itu ada dua warna kerana secara metaforanya, kita ibarat macam pokok. Kalau pokok yang baik dan disiram dengan baja sebab tu bayangnya (gambar otak sebelah hijau) adalah jalan sebab kita sendiri yang mencorakkannya nak ke
arah mana,” jelasnya tentang maksud di sebalik lukisan otak tersebut dan bercadang untuk mengadakan pameran lukisan jika diberi peluang.

Previous articleImpian Killa Driz tercapai menerusi “Last Time”
Next articleWatie Sadali seronok berlakon

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here