SENIWATI legenda Sophia Ibrahim yang akan sentiasa dirindui peminat setia filem Melayu

Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa

APABILA sebut nama Sophia Ibrahim bagi para peminat filem Melayu era 1960-an pasti terbayang di mata anda seraut wajah jelita milik seniwati berbakat yang pernah mewarnai dunia filem ketika itu.

Lakonannya sebagai penari joget kemudian penyanyi bernama Melati dalam filem “Dajal Suchi” (1965) sudah cukup membuktikan beliau bukan setakat berwajah cantik dengan memiliki ‘pinggang kerengga’ malah lakonannya sebagai ibu yang lupa diri setelah berjaya sebagai penyanyi telah meletakkan Sophia Ibrahim di tempat yang istimewa di hati para peminat filem Melayu.

Sophia Ibrahim pernah dimahkotakan sebagai ‘Miss Stop Press’ anjuran akhbar NST.

Kemudian pada tahun sama beliau muncul dalam filem “Bumiputra” diikuti “Gadis Langkawi” (1966).

Jika kehadiran beliau dalam dunia filem kerana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang membawanya berlakon dalam filem “Ragam P. Ramlee” sebagai Safiah dalam segmen ‘Mintak Nombor Ekor,’ lakonan terakhirnya pada era berkenaan juga dengan filem P. Ramlee.

“Dr. Rushdi” lakonan Sophia Ibrahim sebagai Mariana, isteri Dr. Rushdi (P. Ramlee) yang ‘diabaikan’ bukan sahaja membuktikan bakatnya malah telahan P. Ramlee yang beliau akan menjadi seniwati filem Melayu yang popular tidak pernah salah!

“DAJAL Suchi” filem pertama memberi peluang Sophia Ibrahim sebagai pelakon utama.
Turut berlakon dalam filem ini Mahmud June, Ali Rahman dengan pelakon kanak-kanak, Abdul Ghani Aziz sebagai Sulaiman (anak Melati yang cacat.)
FILEM “Dr. Rushdi” dilakonkan P. Ramlee, Sarimah, Sophia Ibrahim, Ed Osmera, Noor Azizah, Ibrahim Jonid dan Idris Hashim.
Filem terbitan Merdeka Film Prouction pada tahun 1970 diarahkan oleh P. Ramlee.
Filem

Walaupun setelah filem itu, Sophia Ibrahim atau Safiah Ibrahim turut berlakon dalam filem “Puteri Impian” sebagai Permaisuri/ Bonda (1997) dan dua filem pada 1998 “Iman Alone” (Hajjah Takyah) dan “Puteri Impian 2” diikuti “Cinta 200 Ela” (2002), “Pontianak Harum Sundal Malam” (2004) dan pada 2021 “Budak Kripto” namun beliau tidak menafikan tanpa P. Ramlee mungkin beliau sekadar dikenali sebagai penyanyi kelab malam sahaja.

Menjejaki perjalanan seninya, walaupun Sophia Ibrahim hanya berpeluang berlakon dalam dua filem arahan P. Ramlee namun bagi Wafa kedua-dua filem itu meninggalkan kenangan tersendiri buatnya.

SOPHIA Ibrahim sebagai Mariana dan P. Ramlee sebagai Dr. Rushdi. Mereka adalah pasangan suami-isteri dalam filem “Dr. Rushdi.”

Sebabnya sehingga hari ini ia berjaya mengekalkan beliau sebagai satu diantara ramai seniwati yang diasah bakatnya oleh Seniman Agong itu dan tidak perlu dipertikaikan lakonannya.

Malah menurut Sophia Ibrahim, pengalaman berlakon filem arahan Allahyarham meninggalkan banyak kenangan dalam perjalanan seninya.

SOPHIA Ibrahim bersama Allahyarham P. Ramlee dan Allahyarham Seniwati Fazlyaton.

Wafa (Penulis) mengenali Seniwati Sophia Ibrahim sejak lebih 20 tahun lalu apabila menjadi wartawan dan Editor Majalah Oh-Gee serta menguruskan majlis bersama seniman dan seniwati anjuran Restoran Saloma milik Tan Sri Joho ketika itu yang sering berpeluang berjumpa beliau pada majlis-majlis yang melibatkan artis legenda Malaysia dan Singapura

Mengenali ‘seorang’ Sophia Ibrahim, pasti anda terkejut kerana jika melihat di layar perak sifat sombong lakonannya membuatkan penonton tertipu tetapi mendekati Sophia Ibrahim secara ‘in-person’ beliau adalah seorang yang peramah dan minat menyanyi terutama lagu-lagu Allahyarham Puan Sri Saloma dan P. Ramlee.

SOPHIA Ibrahim…bukan sahaja berbakat tetapi mempunyai wajah yang sungguh jelita

Selalunya pada majlis-majlis tersebut, Wafa tidak akan melepaskan peluang berbual dan pada waktu yang sama kami berdua sering berkongsi cerita tentang dunia seni hari ini.

Pada 25 April lalu, Wafa berpeluang berjumpa Sophia Ibrahim yang lebih mesra dipanggil ‘mummy’ pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran sebuah persatuan usahawan yang diadakan di FINAS dan seperti biasa kami sempat berbual dan bertanya khabar beliau mengenai kerjaya seninya.

PADA awal kehadirannya dalam dunia filem…Sophia Ibrahim dikenali sebagai Seniwati jelita ‘berpinggang kerengga’ yang begitu digilai oleh peminat

Seperti biasa sebagai Seniwati yang telah menceburi bidang lakonan sejak zaman P. Ramlee di Studio Merdeka, Hulu Kelang, beliau sedih dan terkilan dengan sikap beberapa syarikat penerbitan drama tempatan apabila menawarkan beliau berlakon dengan bayaran tidak masuk akal, sambil berkata;

“Sekarang agak sukar untuk mencari rezeki terutama dalam bidang seni. Mummy ni bukanlah jenis yang demand tetapi patut-patutlah bayarannya. Kadangkala Mummy sedih bila melihat sikap sesetengah syarikat penerbitan menawarkan ‘daily payment’ dengan bayaran yang tersangat rendah!

“Mummy ni bukan jenis yang demand tetapi kadang-kadang bayaran yang mereka offer macam pelakon ekstra yang baru muncul dalam bidang lakonan.

DI AWAL kemunculannya…Sophia Ibrahim juga sering dipilih menjadi ‘Cover Girl’ majalah antaranya Majalah Mastika Filem.

“Mummy tidak mahu menadah tangan meminta simpati sebaliknya dengan bakat anugerah Allah, Mummy mahu berlakon. Tetapi janganlah bayaran macam budak tadika (terlalu rendah).

“Bagi Mummy selagi masih bernafas dan boleh berjalan Mummy mahu berkerja (berlakon). Mummy tidak mahu meraih simpati tetapi janganlah menghina kami seniwati lama dengan bayaran sekecil itu,” kata beliau sebak.

SOPHIA Ibrahim bersama Seniman Tony Azman.

Apabila ditanya berapakah yang ditawarkan oleh syarikat penerbitan dengan nada yang amat perlahan bagaikan berbisik beliau memberitahu Wafa.

Apabila mendengar bayaran yang sekecil itu untuk seorang Seniwati, tiba-tiba perasaan sedih dan kesal menyelubungi perasaan Wafa.

Ketika itu terdetik di hati Wafa, kalau di Hollywood semakin berumur aktor dan aktress mereka dibayar dengan lumayan tetapi di Malaysia bayaran yang mereka ‘offer’ bagaikan menghina seniwati dan seniman kita.

SOPHIA Ibrahim yang digelar ‘si pinggang kerengga’
SAAT bahagia…Sophia Ibrahim bersama bekas suami, Ya’akob Khamis.

Mengapakah ini terjadi? Kenapa ada favourtism dari segi bayaran antara seniwati dan seniman dahulu berbanding pelakon sekarang yang dikatakan ‘beratus ribu’ followers?

Bukan itu sahaja, malah yang buat Wafa terkilan apabila mereka telah tiada barulah mahu dihargai! Dan seperti biasa akan keluarlah kata-kata basi yang memualkan “Hari ini kita kehilangan sebutir bintang…bla…bla…bla!”

Kini, Seniwati Sophia Ibrahim telah tiada. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 77 tahun kerana sesak, di Hospital Ampang Puteri pada 5 Mei lalu.

TIGA beradik dalam bidang seni…Allahyarham Latiff Ibrahim, Allahyarham Sophia Ibrahim dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Wafa yang mendapat berita pemergian Mummy 10 hari selepas pertemuan kami di FINAS terkedu seketika dan hanya mampu sedekahkan Al-fatihah sambil berkata dalam hati;

“Berehatlah Mummy dengan tenang. Biarlah mereka yang tidak pernah hargai Mummy teruskan dengan kerja mereka untuk mengaut keuntungan dari nama-nama artis legenda…sampai bila mereka akan bertahan? ”

DALAM kenangan… Penulis, Syed Wafa dan Sophia Ibrahim pada akhir pertemuan mereka di Majlis Hari Raya di Finas, Hulu Kelang pada 25 April 2025.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Seniwati Safiah Ibrahim (Sophia Ibrahin) sentiasa dicucuri rahmat…Amin.

HAIREE Kool, 56, di pusara bonda tercinta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here