Oleh:Khadijah Ibrahim
BERHADAPAN dengan beberapa cabaran sebelum ini, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) tidak pernah mengalah. Sebaliknya, KPF terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai institusi koperasi yang berdaya tahan dan berwibawa menerusi
pelaksanaan pelan rasionalisasi terhadap tadbir urus yang cekap.
Pengerusi KPF, Dato’Mohd Banuri Aris berkata, prestasi kewangan KPF kini berada pada landasan yang lebih baik dan sekali gus ia dapat mengembalikan semula keyakinan anggota dan memperkukuh kedudukan kewangan koperasi.
“Kami yakin pendekatan rasionalisasi yang dirangka secara berperingkat serta pemerkasaan struktur pentadbiran dalaman berjaya membina semula asas kewangan yang kukuh bagi KPF,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KPF, Sakinah Salleh serta beberapa Ahli Lembaga KPF.
Sehubungan itu, katanya antara strategi pemantapan terancang dan penambahbaikan berterusan yang diatur oleh KPF adalah melaksanakan pelan rasionalisasi aset pelaburan.
Antaranya adalah penjualan aset perladangan tertentu yang dijangka selesai menjelang suku keempat 2025. Langkah kedua adalah dengan perlupusan hartanah yang tidak memberikan pulangan mampan serta penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.
“Langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk menjana semula aliran tunai tetapi juga membuka laluan kepada model perniagaan yang lebih lestari serta berdaya saing dalam jangka panjang.
“Tumpuan kami bukan sekadar menyelesaikan isu semasa tetapi juga membina masa depan yang lebih cerah untuk anggota. Walaupun berdepan permintaan tinggi terhadap pengeluaran syer, KPF tetap komited dalam memenuhi tanggungjawab kepada anggota.

“Dari tahun 2022 hingga April 2025, pihak kami telah menerima sejumlah 29,159 permohonan pengeluaran syer dengan nilai keseluruhan mencecah RM691.58 juta.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 18,783 permohonan melibatkan nilai RM319.44 juta telah berjaya diproses dan dibayar kepada anggota,” jelasnya tentang usaha KPF dalam menunaikan amanah secara bertanggungjawab.
Tambah Mohd Banuri, sebanyak 10,376 permohonan membabitkan RM372.13 juta lagi masih dalam proses dan akan diselesaikan secara berfasa dan penggiliran dengan keutamaan kepada kes kritikal seperti perubatan, haji dan umrah serta pendidikan.
“KPF perlu menguruskan pembayaran dengan teliti berdasarkan keutamaan bagi memastikan kebajikan ahli sentiasa menjadi fokus utama,” ujarnya.
Beliau turut menghargai kepercayaan Pengerusi Felda, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek yang melantik KPF sebagai ejen tunggal pembelian buah tandan segar (BTS) dan menguruskan pusat mengumpul sawit (PMS).
Katanya, kepercayaan yang diberikan pengurusan tertinggi Felda dapat membantu KPF untuk terus berkembang dan menjana pendapatan.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.