Oleh Nury Kadir

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hukum sambutan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan. Sambutan ini dilaksanakan bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

Firman Allah SWT:
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).” (Surah al-Ahqaf :15)

Ayat tersebut telah ditafsirkan oleh Imam al-Maraghi, bahawa Allah SWT memerintahkan serta mewajibkan sekalian manusia untuk berbuat baik dan berbelas ihsan kepada kedua-dua ibu bapanya dan berbakti kepada mereka semasa hayat dan juga selepas kematiannya. Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang besar kepada orang yang berbakti kepada ibu bapanya kerana ia merupakan ibadah yang paling utama untuk dilakukan, bahkan mereka yang menderhakai keduanya maka perbuatan itu termasuk dalam dosa-dosa besar.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, nas di atas menunjukkan betapa mulianya ibu. Tanpanya maka terhentilah keturunan manusia. Allah ciptakan ibu dengan sifat kasih sayang yang luar biasa dalam mengasihi anaknya. Pernah satu ketika, Aisyah R.Anha melihat seorang ibu yang memberikan tamar kepada dua anak perempuannya dan baki yang satu lagi dibelahnya dan kemudian dibahagikan kepada anaknya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Nabi SAW telah dibawa seorang tawanan di mana ia adalah seorang perempuan yang sedang menyusu. Maka apabila didapatinya terdapat seorang kanak-kanak dalam kalangan tawanan tersebut, lantas diambilnya, dipeluk dan disusukannya. Nabi SAW bersabda kepada kami:
أَتُرَوْنَ هَذِهِ طَارِحَةً وَلَدَهَا فِي النَّارِ قُلْنَا لَا وَهِيَ تَقْدِرُ عَلَى أَنْ لَا تَطْرَحَهُ فَقَالَ لَلَّهُ أَرْحَمُ بِعِبَادِهِ مِنْ هَذِهِ بِوَلَدِهَا
Maksudnya: “Menurut kamu adakah perempuan seperti ini sanggup mencampakkan anaknya ke dalam api?” Kami jawab, “Tidak mungkin kerana dia mampu untuk tidak mencampakkannya.” Maka sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya melebihi kasih sayang seorang ibu ini terhadap anaknya.” (HR al-Bukhari)

Photo by Freepik

Berbalik, pada persoalan hukum sambut hari ibu, terdapat dua pandangan menurut ulama kontemporari:

1. Haram
Penglibatan umat Islam dalam apa-apa perayaan yang menyerupai agama lain adalah dilarang menurut syarak. Hal ini berpandukan kepada hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Baginda Nabi SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ ‏
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dalam kalangan mereka.”(HR Abu Daud)

Menurut Imam al-San’ani, hadis ini merujuk kepada mereka yang menyerupai golongan fasiq, kafir atau pembuat bida‘ah pada setiap sesuatu yang dikhususkan dengan mereka seperti pakaian (syiar agama mereka), tunggangan atau perilaku mereka, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.

Selanjutnya Imam al-Damiri menjelaskan: “Sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka perlu dijatuhkan hukuman takzir (oleh pemerintah).”

Sheikh al-Bujairimi menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan mengikuti orang-orang kafir adalah melakukan apa yang dilakukan oleh orang bukan Islam pada hari perayaan mereka, dan hukum perbuatan ini adalah haram.

2. Harus
Menurut Jabatan Fatwa Jordan, sekiranya yang dimaksudkan oleh ‘Hari Ibu’ apabila mereka menghargai ibu masing-masing dan menghadiahkan ibu dengan hadiah, maka ia bukanlah termasuk dalam istilah perayaan. Bahkan ia adalah hari menghargai dan menzahirkan kasih sayang untuk ibu. Memuliakan ibu pada hari tersebut dalam pengertian ini adalah suatu adat kebiasaan yang tidak bercanggah dengan syarak yang menekankan kepentingan mensyukuri dan menghargai ibu bapa tanpa mengira masa dan tempat.

Memuliakan ibu pada Hari Ibu bukanlah dianggap satu tasyabbuh yang dilarang kerana sambutan ini tidak melibatkan upacara-upacara khusus dalam agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam. Syeikh al-Tibiy menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan tasyabbuh yang haram adalah meniru syiar agama orang kafir.

Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, pandangan tersebut tidak bertentangan dengan fatwa-fatwa ulama mazhab Syafi’i kerana maksud haram adalah jika peniruan itu berunsurkan upacara agama. Manakala, sambutan hari ibu pada zaman kini tiada kaitan dengan agama bahkan ia sekadar adat.

Tambahnya lagi, hukum sambutan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan. Seiring dengan perubahan masa, sambutan itu tidak lagi dilaksanakan untuk memperingati para dewi, bahkan semata-mata disambut bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu. Selain, untuk menzahirkan penghargaan kepada para ibu di seluruh dunia atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

Alangkah baiknya jika amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu tetapi menjadi kewajipan berpanjangan dan berkekalan. Cuba dicermati kata-kata Dr.Yusuf al-Qaradhawi di dalam Fatawa Mu’asirah. Diharap kata-kata itu akan menjadikan kita faham di manakah letaknya kedudukan seorang ibu dalam masyarakat?

“Tugas wanita juga adalah menguruskan rumah tangga dengan membahagiakan suami. Selain itu, membentuk sebuah keluarga bahagia yang berasaskan ketenangan, kemesraan dan kasih sayang. Dicatatkan, wanita yang menjadi pendamping yang baik kepada suaminya dikira satu jihad pada jalan Allah SWT.”

Sempena Hari Ibu dan hari-hari seterusnya marilah sama-sama berdoa untuk kedua-dua ibu bapa kita seperti seperti doa di dalam al-Quran.
رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’: 24)

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here