Killa Driz bersama SonaOne (kiri) dan Joe Flizzow bekerjasama dalam lagu "Last Time".

Oleh: Khadijah Ibrahim

AKHIRNYA impian penyanyi rap muda, Killa Driz untuk berkongsi studio rakaman dengan Raja Hip Hop Malaysia, Joe Flizzow serta SonaOne menjadi realiti apabila projek terbabit direalisasikan menerusi single “Last Time”.

Mungkin sudah rezeki Killa Driz kerana pada awalnya lagu “Last Time” bukan dihasilkan untuknya sebelum dihadiahkan Joe. Lebih menarik lagi, Killa Driz menulis lirik “Last Time” bersama-sama Joe dan SonaOne yang bertanggungjawab sebagai komposer, penyusun dan produser untuk keseluruhan lagu itu.

Menurut Killa Driz atau nama sebenarnya, Muhamad Idris Shah Mohd, Joe telah membimbing dan membantu beliau berkembang dan berjaya sebagai seorang artis untuk menjadi versi terbaik dirinya dalam bidang muzik.

Semestinya dia merebut peluang itu dengan hati berbunga-bunga kerana tahu hasil sentuhannya pasti padu. Setiap proses kreativiti menyiapkan lagu itu benar-benar memberinya nikmat tidak terhingga.

“Proses penghasilannya cukup organik. Saya masih ingat SonaOne menelefon saya dan menyuruh untuk datang ke pejabat Joe. Apabila saya sampai, ‘beat’ lagu itu sudah pun disiapkan.

“Joe tanya, saya sudah siap tulis lirik untuk lagu itu atau belum?. Kemudian kami tulis bersama dan saya sempurnakan bahagian rapnya.

“Asalnya lagu ini bukan saya punya dan tiada dalam perancangan sendiri pun untuk menyanyikannya. Kemudian saya teringat suatu hari itu, Joe cakap mahu hadiahkan saya sebuah lagu,” katanya.

Terharu kerana Joe Flizzow dan SonaOne sanggup berkongsi ilmu tentang muzik dengannya.

Artis naungan Def Jam SEA (Asia Tenggara) Killa Driz mengakui prosesnya amat bermakna dari pelbagai aspek untuknya secara peribadi. Bahkan, dapat menimba ilmu daripada dua sifunya itu tambah semarakkan motivasi dirinya.

“Bekerja untuk lagu ini sangat membuka minda saya. Saya berhasil menimba banyak ilmu daripada Joe dan SonaOne. Saksikan sendiri cara mereka bekerja.

“Terdapat banyak perubahan baik besar atau kecil yang dilakukan. Namun saya bersyukur bahagian vokal yang awal-awal dibuat kekal digunakan juga kerana lebih jujur. Kami juga ada menambah lapan bar,” ceritanya lagi.

Jelas Killa Driz, “Last Time” adalah sebuah lagu berkisar perlakuan membandingkan masa lalu dan sekarang. Jalan ceritanya melambang perihal mendewasa dan menjadi diri sendiri.

Dalam pada itu, SonaOne menjelaskan konsep klasik dan mengetengahkan fesyen disuntik untuk video muzik lagu ini. Ringkas namun penuh kelas, dia percaya konsep itu sempurnakan lagi “Last Time”.

“Konsep asalnya adalah berdasarkan fesyen merentasi zaman, bermula dari masa lalu. Kemudian saya fikir menarik untuk menampilkan dan menukar pakaian yang berbeza dari pelbagai era.

“Kami juga mengekalkan konsep dengan visual yang berlatar belakangkan dinding putih. Kami mengekalkan elemen klasik, sama seperti dahulu ketika TV hanya hitam dan putih,” jelas SonaOne.

Selepas kejayaan lagu terdahulunya termasuk “RAP$TAR” dan “Cuci Mata”, Killa Driz kian menambat hati pencinta muzik tempatan dan nusantara. Dia antara pelapis muda yang tegar memartabatkan lagi genre terbabit.

Dia juga sudah ada perancangan besar akan datang. Misinya tidak lain untuk terus mengukuhkan nama baik pada karyanya serta kehadirannya dalam industri muzik tempatan serta antarabangsa.

“Saya bakal melancarkan album pertama pada tahun ini di bawah Def Jam SEA dan juga naikkan lagi penjenamaan saya,” katanya.

“Last Time” kini boleh didapati di semua platform digital dan video muziknya juga boleh ditonton di YouTube rasmi Killa Driz.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here