MEMILIKI wajah tampan…Mustapha Maarof sering diberi peranan sebagai anak raja dan Sultan.

Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa

APABILA bercakap mengenai Allahyarham Datuk Mustapha Maarof sesuatu yang tidak boleh dinafikan beliau hadir dalam bidang lakonan bukan bersandarkan bakat semata malah karisma yang dimiliki membuatkan ramai peminat filem Melayu pada era 1950-an sehingga ke hujung usianya meminati seniman ini yang sering diberi watak sebagai anak raja ataupun Sultan.

Ketika itu, tanyalah para peminat filem Melayu terutama wanita mengapa dan kenapa mereka meminati seniman yang seorang ini. Bukan sahaja bakatnya malah ketrampilannya serta karisma yang dimiliki membuatkan beliau diminati dan disayangi para peminatnya!

MAAROF Zakaria adalah ayah kepada Mustapha Maarof.
MUSTAPHA Maarof berposing dengan kereta sport kesayangannya … Austin Metropolitan.

Bersandarkan karismanya itu, Mustapha Maarof dikatakan mempunyai aura sebagai anak raja atau Sultan dalam beberapa filem lakonannya.

Selama 58 tahun dalam industri filem bermula dengan filem pertama “Bunga Percintaan” (1951) dan yang terakhir dalam “Lembing Awang Pulang ke Dayang” (2009), beliau telah membintangi 45 filem.

SELAIN Mustapha Maarof sebagai Tun Zainal, filem “ Hang Tuah” dengan pelakon utamanya… P. Ramlee, Saadiah, Ahmad Mahmud, Haji Mahadi, Daeng Idris, Zaiton dan Yuaof Latiff.
SATU babak dalam filem “Hang Tuah”, Mustapha Maarof sebagai Tun Zainal bersama seniwati Zaiton.

Daripada 45 filem itu, Mustapha Maarof berlakon sebagai anak raja dalam enam filem dan dua filem lagi beliau melakonkan watak sebagai Sultan!

Filem pertama dan keenam yang meletakkan beliau sebagai anak raja adalah dalam filem “Hang Tuah” (1955 – terbitan Shaw Brothers) arahan Phani Majumdar diikuti filem “Keris Sempena Riau” (1961) yang mana beliau melakonkan watak sebagai anak raja bernama Tun Zainal. Filem terbitan Merdeka Film Productions arahan L. Krishnan ini diedarkan oleh Shaw Organisation.

Filem “Keris Sempena Riau” Mustapha Maarof berlakon sebagai anak raja…Tun Zainal.
Turut berlakon dalam filem ini ialah Abdullah Chik, Kasma Booty, Salmah Ahmad, Nyak Othman, AR Tompel dan Rahimah Alias.
SELAIN Mustapha Maarof, filem “Raden Mas” turut dibintangi M. Amin, Latifah Omar, Nordin Ahmad dan Siti Tanjong Perak.

Sementara itu, Mustapha Maarof muncul sebagai anak raja dalam lima filem dan sebuah filem sebagai Sultan dalam terbitan Cathay-Film Productions.

Filem-filem yang beliau lakonkan watak sebagai anak raja terbitan tahun 1959 iaitu “Raden Mas” sebagai Tengku Bagos arahan L. Krishnan. Pada tahun yang sama, Mustapha Maarof sekali lagi melakonkan watak sebagai Putera Raja dalam filem “Bawang Puteh Bawang Merah” arahan S. Roomai Noor.

KENANGAN…Al-fatihah…Seniman hebat berdiri dari kiri – Datuk Aziz Sattar, Datuk Ahmad Mahmud dan Salleh Kamil.
Duduk: HM Busra dan Mustapha Maarof.
ANTARA pelakon utama filem “Bawang Puteh Bawang Merah”… Mustapha Maarof, Latifah Omar, Umi Kalthum dan Siti Tanjong Perak.

Pada tahun 1961, Mustapha Maarof melakonkan watak anak raja sebagai Tun Aman dalam filem “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang” arahan KM Basker. Diikuti watak Tengku Persada dalam filem “Yatim Mustafa” arahan BN Rao.

Pada tahun 1966 dengan filem arahan Nordin Ahmad, “Naga Tasek Chini,” Mustapha Maarof diberi tanggungjawab melakonkan watak Sultan Cahaya Putra Shah.

ANTARA babak filem “Bawang Puteh Bawang Merah”… Mustapha Maarof bersama Latifah Omar,

Sementara filem terakhir lakonannya “1957: Hati Malaya” (2007) arahan Shuhaimi Baba, walaupun sebagai Bintang Undangan namun wataknya sebagai Sultan Selangor benar-benar menampilkan karismanya sebagai Seniman!

Mengikuti perjalanan seni Mustapha Maarof, sesuatu yang membanggakan walaupun usianya telah mencecah 73 tahun ketika menjadi bintang undangan dalam filem tersebut namun kehadirannya benar-benar mencuri perhatian para penonton!

SURAYA Harun sebagai Kembang dan Mustapha Maarof membawa watak Badai dalam satu babak filem “Udang Di Sebalik Batu” 1966
Dalam filem berkenaan dialog Kembang (Suraya Harun) paling berkesan; “Kalau kau cuba lari, aku tetak dengan parang ini…”
MUSTAPHA Maarof bersama S. Roomai Nor.

Pernah mendapat pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Allahyarham Mustapha Maarof adalah anak kepada peguam Melayu, Maarof Zakaria yang mengasaskan Bank Kebangsaan Melayu pada tahun 1947. Nama Jalan Maarof di Bangsar diberi nama sempena nama Allahyarham bapanya sebagai mengenang jasa yang menubuhkan bank berkenaan.

Sejarah mencatatkan Maarof yang ketika itu berusia 43 tahun diculik pada Khamis, 4 Disember 1947 ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur menuju ke rumah ibunya di Seremban Negeri Sembilan.

WAJAH tampan…memberi peluang Mustapha Maarof sering melakonkan watak anak raja dan Sultan dalam filem-filem lakonannya
SENIMAN dan Seniwati hebat dari Cathay- Film…Mustapha Maarof dan Latifah Omar.

Selepas tiga hari diculik, mayatnya ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati, digantung pada sebatang pokok dalam hutan, berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada Sabtu, 7 Disember 1947.

Sehingga kini, kes bunuh Allahyarham tidak pernah diselesaikan dan menimbulkan persoalan, siapa yang membunuh, kenapa mangsa dibunuh dan siapa dalangnya.

MUSTAPHA Maarof dan isteri pertamanya, Che Zainab.
MUSTAPHA Maarof bersama isterinya, Suraya Harun.

Selain berlakon filem, beliau yang memulakan kerjaya seninya pada tahun 1951 juga berlakon ratusan drama terbitan RTS (TV Singapura) dan RTM (TV Malaysia) disamping menerbitkan drama dan iklan komersial serta video korporat dibawah syarikat penerbitan miliknya, Warna Motion Pictures.

Sepanjang kerjayanya, kejayaan paling bermakna bagi Allahyarham Mustapha Maarof apabila beliau menerima Anugerah Veteran pada Festival Filem Malaysia ke-10 pada tahun 1992.

HARI bersejarah buat Raja Sehari 1967…Mustapha Maarof dan Roseyatimah.
TURUT hadir Seniwati Umi Kalthum dan Penerbit popular RTS, Zain Mahmood.

Pada 18 Jun 2010, Mustapha Maarof menerima Anugerah Tokoh Perfileman FINAS 2010. Dengan anugerah tersebut beliau menerima cek bernilai RM30,000, selempang, pingat dan sijil Tokoh Perfileman FINAS.

Sebelum berkahwin dengan Suraya Harun dan Seniwati Roseyatimah, Mustapha Maarof pernah berkahwin tiga kali dengan isteri pertamanya, Che Zainab yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan pada pertengahan tahun 1950-an. Beliau bekerja di Gay World, Singapura. Bagaimanapun mereka bercerai pada tahun 1960.

SENIWATI Suraya Harun bersama Roseyatimah yang pernah menjadi isteri beliau.
POPULARITI Mustapha Maarof dan Hashimah Yon sebagai seniman dan seniwati 1960-an membuatkan mereka sering dipilih menjadi Cover majalah antaranya
Mustika Filem.

Selepas itu, Mustapha Maarof berkahwin buat kali kedua dengan Zalekha, anak Aman Belon dan kemudian berkahwin buat kali ketiga dengan Che Zainab yang merupakan bekas isteri pertamanya.

Sebelum itu, Mustapha Maarof juga pernah bertunang dengan Saloma.

PASANGAN bahagia: Mustapha Maarof dan isteri tercinta, Roseyatimah ‘berpisah mati.”
MUSTAPHA Maarof, Roseyatimah bersama anak sulung mereka, Azlynna.

Beliau berkahwin dengan Suraya Harun yang merupakan isteri keempatnya pada tahun 1962. Bagaimanapun rumahtangga yang dibina hanya bertahan tiga tahun dengan dikurniakan seorang anak, Suzlynna.

Selepas dua tahun bercerai, Mustapha Maarof berkahwin dengan Seniwati Roseyatimah pada tahun 1967 dan merupakan perkahwinan kelimanya. Mahligai bahagia mereka hanya bertahan 20 tahun apabila pasangan bahagia ini ‘berpisah’ setelah isteri tercinta menghembuskan nafas terakhir kerana barah payudara pada 14 Disember 1987 setelah tiga hari minta ‘discharge’ dari pihak hospital.

PASANGAN bahagia…
Dari kiri: Seniman Aziz Jaafar, Roseyatimah, Mustapha Maarof dan Seniwati Normadiah.
FILEM “ 1957: Hati Malaya” turut dibintangi Mustapha Maarof, Rusdi Ramli, Maya Karin, Chekem Mirza, Sharifah Amani, Adlin Aman Ramlie.
Filem ini diarahkan oleh Shuhaimi Baba.

Melalui perkahwinan kelima ini, pasangan bahagia ini dianugerahkan tiga anak iaitu Azlynna, Mohamad Rezainuddin dan Mohammed Khairuddin. Bagaimanapun Mohammed Khairuddin meninggal dunia akibat denggi ketika berusia tiga tahun.

Mustapha Maarof dimasukkan ke Pusat Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 November 2014 kerana kesukaran bernafas.

MUSTAPHA Maarof bersama anak tunggalnya bersama Suraya Harun, Suzlynna, suaminya penyanyi kumpulan Flybaits, Alfredo Valentina dan anak tunggal mereka.
MUSTAPHA Maarof tetap segak walaupun sudah berusia.

Bagaimanapun beliau menghembuskan nafas terakhir di Wad Unit Rawatan Rapi (OCU), Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju pada jam 8.38 pagi 15 Disember 2014.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan bersebelahan pusara isterinya, Allahyarham Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang pada 15 Disember 2014.

Al-fatihah buat mereka yang telah ‘pergi.’ Berdiri dari kiri: Wartawan Mustafa AR, Mustapha Maarof dan Wartawan Aimi Jarr. Depan: Seniwati Latifah Omar.
MUSTAPHA Maarof menziarah pusara isteri tercinta, Allahyarham Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Seniman Datuk Mustapha Maarof sentiasa dicucuri rahmat…Amin.

PUSARA Allahyarham Mustapha Maarof terletak bersebelahan dengan pusara Allahyarham isterinya, Allahyarham Roseyatimah.
PENULIS, Syed Wafa merakamkan memori bersama Mustapha Maarof.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here