MENJADI kebiasaan saya bangun 5 pagi, solat Tahajjud. Sambil menunggu solat Subuh, bergolek-golek atas katil. Nak sambung tidur, mata tak boleh lelap, berdebar memikirkan banyak kerja yang tertunggak. Capai telefon bimbit, buka emel. 8,400 emails… Adui…Mesti banyak junk email juga ni. Dalam keluhan, satu persatu email dibuka dan diahih-agihkan. Mana yang junk, mana yang penting.

Tak mungkin dalam hidup ini kita boleh menjadi sempurna. Terlalu banyak perkara yang wajib dikelolakan. Anak-anak, suami, hal pejabat, hal rumah tangga. Dari apa dalam peti sejuk, sampailah ke polisi insurans anak-anak. Warna pakaian suami pun kita kena pilih. Jadinya, membuat keputusan yang cepat, mudah serta bermanfaat untuk semua, itu adalah tanggungjawab harian kita.

Cinta? Suatu perkara yang saya bersyukur ke hadrat Allah kerana mendapat pasangan yang sangat bertanggungjawab. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Perbalahan itu perkara biasa dalam rumah tangga. Tak bergaduh maka tak cinta. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Saya tak boleh nak bayangkan sekiranya saya masih degil dengan pilihan hati ketika muda. Waktu muda memang ramai peminat. Dah tua ni pun masih ramai terkejar-kejar… Maka wajib kita menjaga adab sopan, menjaga maruah suami apabila keluar bekerja. Kita wanita, suami beri peluang menjana pendapatan, di beri kebebasan untuk bersahabat, maka kita wajib menjaga akhlak kita sebagai isteri, sebagai ibu. Jangan bila suami tidak beri perhatian sedikit, mencari pasangan di luar untuk memuaskan nafsu.

Apabila kita dipertemukan oleh pelbagai pilihan, dan pilihan itu datang meyerah diri dan mudah bagi kita, besar kemungkinan kita salah memilih pasangan, dan begitu mudah untuk kita menduakan pasangan. Cinta itu buta. Hawa nafsu lagi buta dari cinta. Kerana cinta yang berpasakkan pada hawa nafsu, segalanya akan binasa. Masa depan kita, ketenangan dan kebahagiaan diri kita terletak pada pilihan pasangan hidup kita.

Seawal umur belasan tahun, saya dididik bahawasanya tiada apa yang mustahil untuk dicapai dalam hidup. Jika kita sentiasa berusaha dan sentiasa belajar untuk memajukan diri. Bekas teman lelaki yang cuba untuk membuktikan bahawasanya tempat Wanita hanyalah di dapur, bahawa Wanita ini wajib mengikut kata lelaki, bahawa Wanita tidak harus terlalu berjaya dan bijaksana, mereka semua telah saya tinggalkan. Saya bukanlah pasangan yang sesuai buat mereka. Saya mencari seseorang yang boleh saya hormati, dan beliau juga harus menghormati saya sebagai Wanita.

Betul, Wanita harus mengikut kata suami dan harus tahu tanggungjawab pertama adalah rumah tangga. Oleh kerana itu, saya sentiasa berdoa dengan Allah untuk ditemukan dengan pasangan yang lebih hebat daripada saya, supaya saya dapat mengikuti jejak langkah beliau sebagai khalifah dan sebagai ketua keluarga. Saya meminta suami yang bijaksana dan lemah lembut dalam pemikirannya, tetapi tegas dalam pekerjaannya. saya meminta suami yang baik hatinya dan akhlaknya supaya saya dapat menjaga rapat ahli keluarga tanpa halangan darinya.

Salahkah kita Wanita mahukan itu? Saya tidak mahu menjadi Wanita yang mengikut suami secara melulu, tanpa halal haram. Suami main kayu tiga, tapi kita wajib mengikut perintahnya. Sambil bagi nafkah, bagi penyakit kelamin pada kita. Suami yang tidak memberi nafkah, nak hulur RM100 pun payah, tapi kita wajib mengikuti halangannya yang tidak mahu kita bekerja mencari rezeki.

Maka ketenangan, kebahagiaan, kejayaan kita sebagai Wanita sebenarnya tertakluk kepada pilihan pasangan kita. kepada yang single and available, sentiasalah berdoa untuk mendapat pasangan yang terbaik, sentiasa redha dan memahami kekurangan kita sebagai Wanita.

Doa saya pada suatu ketika dahulu, “Ya Allah… Segala pilihan hatiku tidak dapat membimbingku kearahMu. Segala pilihan hatiku, gagal dalam memberi ketenangan kepadaku. Maka aku serahkan hatiku sepenuhnya kepadaMu. Ya Allah… Kau berikanlah pasangan yang baik buatku, pasangan yang mendekatkan aku kepadaMu, pasangan yang mencintai Aku sepertimana kau cintai diriku. Aku serahkan hatiku kepadaMu, kerana Kau yang Maha Mengetahui, lagi Maha Mengasihani”.

Tanpa suami yang menyokong kita, amat sukar untuk Wanita mencapai kejayaan dalam kerjaya. Kahwinlah dengan lelaki yang baik, atau remain single forever.

Hidup kita adalah pilihan kita…

Nukilan Oleh Dato’ Sri Rozita Ramelan

 

Previous article
Next articlePasar Seburuk-Buruk Tempat Di Dunia (Kita dengar Nasihat Rasulullah…) [BHGN 2]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here