Akui perlu kuat dari segi mental untuk lalui pertandingan GV dan kes perceraiannya.

Oleh: Khadijah Ibrahim

MESTI ada yang berpendapat, Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan, 39, sengaja mencari publisiti dan sebab itu, pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam bersedia untuk mencabar diri dalam program realiti Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang akan bermula pada 2 November ini.

Jelas anak bongsu daripada lapan adik-beradik yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, dia mendapat tawaran untuk menjadi peserta GV12 sebelum masalah rumah tangganya berlaku lagi.

“Apabila nama saya ada dalam GV, saya rasa sangat dihargai dan satu peluang yang tak patut saya lepaskan. Tahun lepas saya ada cuba dan sempat pergi audition tapi tak terpilih. Bila tahun ini dapat apa salahnya saya cuba.

Sewaktu AF6 bersama Stacy sebagai juara, Riz tempat kedua dan Nubhan di tempat ketiga.

“Saya rasa Gegar Vaganza ini adalah satu peluang yang baik untuk saya sebab ramai yang masuk GV adalah antara artis yang sudah lama terlibat dalam industri seni.

“Jujur saya cakap, ini bukan benda yang mudah untuk saya sebab berlaku serentak, masalah rumah tangga dan acara GV. Sekarang ini saya terpaksa fokus kepada kehidupan dan GV walaupun kes mahkamah masih lagi berterusan.

“Saya harap perkara ini dapat dikawal dengan baik dan fokus saya kepada GV ini bukan satu perkara yang main-main. Apa yang berlaku kepada saya pun amat serius. Jadi bila semua berlaku serentak saya memang terpaksa kuatkan mental dan saya kena teruskan perjuangan saya,” kata penyanyi yang pernah berlakon dalam filem “Lagenda Budak Setan” menerusi watak Sapi pada 2010.

Nubhan yang memiliki suara gemersik dan mengetengahkan irama Pop Melayu Moden dalam muziknya, pernah tampil dengan album sulung berjudul “Langkah Nubhan” pada Disember 2010 dengan beberapa lagu hit seperti “Oh Juwita”, “Seadanya Aku”, “Aku Atau Dia” dan “Mata Hati” serta sebuah lagu mandarin “Ai Mei Chuo”.

Nubhan bersedia untuk mencabar dirinya dalam pertandingan Gegar Vaganza musim ke-12 tahun ini.

Ujarnya, walaupun berhadapan dengan masalah peribadi, perkara itu bukanlah penghalang untuknya kembali aktif sebagai anak seni setelah sekian lama menyepikan diri kerana sibuk dengan perniagaan.

“Saya rasa kalau perkara-perkara macam ni tidak boleh untuk dijadikan sebagai satu penghalang kepada saya sebab nyanyian adalah juga karier saya. Kerana karier ini juga banyak perkara yang perlu saya lakukan.

“Masa saya sertai AF dulu tak ada sebarang masalah, cuma selepas keluar AF, ayah saya meninggal tapi itu dah habis. Saya tak nafikan apa yang berlaku ini mungkin beri tekanan, tapi saya harap doa daripada semua orang agar urusan saya dipermudahkan,” katanya penuh harapan.

Nubhan yang senang berpegang pada prinsip, jangan mudah mengalah akan meneruskan perjuangannya dalam Gegar Vaganza yang turut disertai oleh Dato’ Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Korie, Rahmat Ekamatra, Mark Adam, duo pop Freshies (Ejie dan Shima) dan SHY8 atau Usop Wilcha, hadir sebagai peserta wildcard musim ini.

Nubhan akui berkat doa Mak Jenny, dia mampu berada di kedudukan sekarang.

Manakala, dari Indonesia pula, diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) dan Iskandar Ismail mewakili Singapura.

“Walaupun sekarang ini tampak kehidupan saya macam tegang, saya tidak akan tarik diri daripada GV sebab prinsip saya adalah jangan mudah mengalah. Kalau saya mudah mengalah tak mungkin saya bertahan sehingga sekarang ini, dari segi perniagaan, kehidupan saya selama 10 tahun yang telah saya lalui itu.

“GV adalah satu platform baharu untuk saya dan tiba-tiba dilanda perkara macam ini, alhamdulillah saya ada famili dan kawan-kawan yang menyokong serta beri semangat kepada saya. Saya juga tidak mahu mengecewakan peminat-peminat saya yang dah lama menunggu kemunculan saya dan saya tak nak perkara itu menjadi penghenti kepada semangat juang saya,” kata Nubhan yang menjadikan anak-anak sebagai kekuatannya.

Bersyukur dengan apa yang berlaku

Apabila berlaku kes perceraian antara Nubhan dengan Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, ramai yang meletakkan kesalahan di bahu Nubhan. Meskipun ramai yang menuding jari kepadanya, Nubhan tetap tenang kerana baginya, mereka yang memberi komen tidak berada di kedudukannya.

“Mereka tidak tahu apa yang berlaku, mereka tidak tinggal sebumbung dengan saya. Tapi apa pun kecaman dan tohmahan yang mereka lemparkan kepada saya itu, saya maafkan mereka semua. Saya tidak ada menyimpan apa-apa perasaan marah atau dendam kerana saya tahu media sosial tidak dapat kita kawal.

Bersama isteri dan anak-anak sebelum berlakunya kes perceraian.

“Untuk saya menceritakan apa yang berlaku sebenarnya, saya rasa biar saya dan dia saja yang tahu. Saya tidak mahu mencetus apa-apa, biarlah saya simpan rapat-rapat,” katanya yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 16 Oktober lalu bagi prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya dan 2 Disember depan untuk perbicaraan pertama bagi kes pengesahan lafaz cerai mereka.

Nubhan yang mengendalikan bisnes jenama Omak Jenny yang mengeluarkan Sambal Pedas, Masak Lomak Daging Salai dan Sambal Tempoyak menyangkal dakwaan yang mengatakan ibunya, Badariah Omar atau Mak Jenny sebagai punca rumah tangganya bergolak.

“Ingin saya jelaskan yang Mak Jenny tak tahu apa-apa, jangan kaitkan mak saya dalam isu perceraian ini. Sehari sebelum saya pergi mahkamah, saya beritahu mak, “mak esok adik naik mahkamah, cerai. Mak cuma cakap, mak tak campur urusan rumah tangga anak-anak, korang dah besar pandai-pandai kau la. Saya cuma minta doa mak.

“Kalau ada yang nak boikot produk Mak Jenny, siapalah saya nak halang. Saya percaya rezeki semuanya aturan Allah, saya terima apa yang berlaku ke atas saya ini adalah satu dugaan untuk saya. Saya rasa mak saya memang tak tahu apa-apa dan dia sendiri pun tak tahu yang dia dikecam juga.

“Sebenarnya kadang-kadang video yang saya buat dengan mak, dia tak tengok pun. Dia jadi diri sendiri, tak harap apa-apa pun. Kalau sesiapa yang rasa nak berbuat sedemikian, saya tak boleh paksa, saya tak boleh marah tak boleh hentikan apa-apa. Saya hanya boleh berharap dan doa, semoga Allah lancarkan saja jalan walaupun di GV atau perniagaan Mak Jenny,” katanya terus terang.

Nubhan kini merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Nubhan yang dilabel ‘anak mak’ berkata, dia bukan menempel 24 jam dengan maknya. Namun sebagai anak lelaki, tegas Nubhan, tanggungjawabnya kepada mak tak akan putus dan begitu juga dengan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

“Tanggungjawab saya sebagai anak lelaki kepada mak tak putus, saya sebagai suami dan bapa, tanggung jawab saya kepada mereka tetap ada. Jadi bab tanggungjawab adalah satu kemestian bagi saya.

“Kalau tanpa doa mak, siapalah saya. Dan mungkin orang tengok saya banyak konten dengan mak tapi saya bukan hari-hari dengan mak. Mak Jenny ada perniagaan dan produk dan mungkin secara tak langsung benda itu dijadikan satu point atau bahan untuk mengatakan saya ini anak mak.

“Dengan perniagaan itu, mak saya dapat merasakan satu nikmat yang lain selepas membesarkan kami lapan beradik. Apabila sekarang apa yang mak saya nak, saya dapat tunaikan di usia mak yang sudah senja, saya rasa itu satu kebahagiaan.

“Semua yang terjadi sekarang ini pun atas doa mak, siapalah kita tanpa doa ibu bapa kita. Tapi bukanlah bermaksud saya menempel dengan emak saya 24 jam, tidak. Sayakan anak lelaki, saya jalankan tanggungjawab saya,” cerita Nubhan tentang tanggungjawabnya sebagai anak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here