Sudah jelas, kucing boleh dibela walaupun Rasulullah SAW tidak pernah membela haiwan tersebut. Apabila sudah boleh bela timbul pula persoalan lain iaitu bulu kucing yang tertanggal najis seperti dibicarakan oleh tokoh agama terkenal dalam media sosial.
Malah terdapat dakwaan, mengatakan bahawa sesiapa yang solat dan terdapat lebih daripada tiga helai bulu kucing di pakaiannya maka solatnya tidak sah. Alamak! jenuhlah pula hendak kira bulu kucing tertanggal melekat pada baju. Sementara selesai mengira bulu kucing, waktu solat pun berakhir. Maka keputusannya tidaklah solat, alasannya banyak bulu kucing melekat pada baju. Bertambah pening dibuatnya dengan kenyataan di media sosial.
Sebenarnya, pendapat tiga helai bulu kucing tidaklah kuat kerana tidak diasaskan kepada dalil. Sebaliknya, pendapat yang menyatakan tidak batal disokong dengan dalil. Menurut ulama bermazhab Syafie, bulu kucing yang tercabut daripada binatang yang haram dimakan, bulu itu adalah najis. Oleh kerana kucing adalah binatang yang haram dimakan, maka bulu yang tercabut semasa kucing itu masih hidup adalah najis.
Namun bulu kucing itu adalah najis yang dimaafkan kerana kucing adalah binatang peliharaan dan sukar untuk dikawal. Kebarangkalian bulunya bertabur merata-rata adalah sukar dikawal. Oleh itu, jika badan, pakaian atau tempat sembahyang terkena bulu kucing, maka solat yang dikerjakan adalah sah.
Hal itu dijelaskan dalam hadis Nabi SAW dari Kabshah binti Ka’ab Ibn Malik melaporkan: “Pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu saya menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian datang seekor kucing dan ia menjilat air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu menjilat air daripada bekas tersebut.” Kabshah meneruskan kata-katanya, Abu Qatadah perasan yang saya memandang kepadanya lalu dia bertanya, “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Saya menjawab, “Ya.” Abu Qatadah menjelaskan, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu.” (Hadis shahih diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Tirmizi, al-Nasa’i, dan Ibn Majah).
Imam at-Tirmizi berkata hadis itu hasan shahih dan pendapat kebanyakan ulama di kalangan sahabat Nabi, tabiin dan selepas mereka seperti Imam Syafie, Imam Ahmad dan Ishak berpendapat bekasan kucing tidaklah mengapa.
Sebenarnya isu ini menjadi khilaf di kalangan ulama. Mengikut kenyataan Ibn Qudamah “Setiap haiwan hukum bulunya, kulitnya, peluhnya, air matanya, dan air liurnya adalah hukum berdasarkan jilatannya pada bersih atau najis”.
Mengenai bulu kucing, pendapat mufti bagi negeri-negeri lain juga senada dengan mufti Wilayah Persekutuan iaitu tidak ada perbalahan. Di sini, dipetik sedikit pendapat yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Pahang, menyentuh mengenai perlukah tangan dan baju yang terkena bulu kucing dibasuh.
Antara lain Mufti Pahang berpendapat, tangan dan baju tidak perlu dibasuh kerana bulu kucing termasuk dalam kategori najis yang dimaafkan. Namun dari sudut kebersihan ianya perlu dibasuh terlebih dahulu kerana dibimbangi terkena jangkitan kuman dari kucing tersebut yang boleh menyebabkan demam dan batuk serta penyakit-penyakit yang tidak diingini.
Terdapat hadis yang menyatakan mengenai kucing bukan tergolong dari haiwan yang najis iaitu dari Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu.” (at-Tirmizi)
Kucing merupakan haiwan peliharaan yang berkeliaran di merata-rata tempat dan sentiasa ada bersama tuannya. Oleh itu, sukar untuk mengawal bulu-bulunya. Bulu kucing juga dikategorikan sebagai ‘Umum al-Balwa’ iaitu perkara kesukaran umum yang tidak dapat dihindarkan. Menurut mazhab Syafie, bulu kucing merupakan kategori najis yang dimaafkan kerana kucing adalah haiwan peliharaan yang sukar dikawal. Maka jika pakaian, badan dan tempat solat terkena bulu kucing, solat yang dilakukan hukumnya adalah sah.(https://mufti.pahang.gov.my)
KUCING KESAYANGAN NABI SAW?
Malah seperkara lagi yang perlu diambil perhatian oleh wanita yang suka memelihara kucing, hati-hati apabila membuat kenyataan bahawa kucing adalah bintang kesayangan Nabi SAW.
Di media sosial popular cerita tentang kucing Rasulullah SAW bernama mu’izzah atau muezza yang amat disayangi Baginda. Soalnya benarkah Nabi SAW ada memelihara kucing?
Tidak terdapat walau satu pun riwayat yang shahih menunjukkan bahawa Rasulullah SAW pernah membela atau memiliki seekor kucing bernama Mu’izzah meskipun kisah berkenaannya begitu popular dalam kalangan masyarakat. Bahkan kebanyakan kisah-kisah Rasulullah SAW bersama kucing adalah tidak ada asalnya di dalam kitab-kitab yang muktabar, meskipun ia masyhur kedengaran.
Menyandarkan hal ini kepada Rasulullah SAW dikhuatiri termasuk dalam perbuatan berbohong atas nama Rasulullah SAW yang amat tegas ancaman dan larangan terhadapnya berdasarkan sabda Baginda. Maksudnya; “Sesungguhnya pendustaan ke atas aku tidak sama seperti pendustaan ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja maka siap sedialah tempat duduknya di dalam neraka.” (Riwayat Al-Bukhari)
Kalau kita suka bela kucing maka tidak perlulah mengaitkan bahawa haiwan tersebut binatang kesayangan Nabi SAW dan Baginda ada membela kucing bernama Mu’ezza. Cukuplah mengatakan bahawa memelihara kucing itu harus dan berlaku ihsan adalah wajib manakala menzalimi serta menyakitnya adalah haram.
Permasalahan kucing hanya perkara kecil tetapi apabila diviralkan di media sosial, ia menjadi isu yang diperbesarkan. Tindakan viral media sosial seumpama virus yang menyebar ke seluruh pelosok alam tanpa dapat dibendung.
Sebagai wanita, kena banyak ilmu apatah lagi untuk menjawab pertanyaan anak-anak tentang isu remeh temeh ini. Jawablah bersandarkan nas dan dalil kerana ia lebih mudah berbanding logik.
Mungkin penerangan dari ustaz dan ustazah itu panjang tetapi video itu disunting setakat hukum haram dan najis saja. Berhati-hati apabila like dan share tanpa membuat rujukan kepada sumber-sumber yang lebih tepat serta boleh dipercayai.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.