GAMBAR ATAS: Siti Nurhaliza hadiahkan ‘Sitism’ buat peminat tersayang.

Oleh Nafsiah Jani

WANG memang cukup ‘berhantu’. Jika tidak pandai mengawal perbelanjaan, seseorang itu boleh menghabiskannya dalam sekelip mata. Bukan itu saja, kini nilai wang juga semakin kecil jika dibandingkan dengan harga barangan sekarang.

Namun ini tidak menjadi masalah kepada penyanyi Datuk Sri Siti Nurhaliza, 44, yang tidak menghadapi masalah kewangan disebabkan sejak muda lagi ibu bapanya sudah mengingatkan Siti tentang menjaga kewangan dan mendahulukan perkara yang sepatutnya untuk dibayar.

Siti Nurhaliza bersama komposer- komposer yang terlibat dalam penerbitan album SITISM

“Siti bertuah kerana sejak berkecimpung dalam bidang ini dan menubuhkan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd., kakak Siti, Saidah dan akauntan kami selalu ingatkan Siti untuk tun inaikan tanggung jawab membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan zakat. Ialah kita hanya kerja menyanyi, manalah nak ingat semua benda,” kata ibu kepada Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa ini.

Menyentuh mengenai perbelanjaan dirinya sendiri, kata Siti Nurhaliza lagi,“Tengok pada keadaan. Siti sebenarnya bukan seorang yang boros tetapi bersederhana ketika membeli sesuatu barangan. Kalau benda yang Siti nak beli itu adalah satu keperluan, Siti tak kisah untuk berbelanja…walaupun ianya mahal.

“Siti juga bertuah kerana lepas kahwin, suami Datuk K banyak bagi nasihat kepada Siti dan dia juga banyak membantu Syarikat dan Siti untuk mengawal kewangan dengan baiknya.

“Begitu juga dengan mak Siti, Mak Salmah, sering ingatkan Siti jangan lupa bayar zakat, lhdn dan juga buat simpanan untuk masa depan. Mak memang banyak ingatkan Siti dan Mak Salmah adalah seorang Mak yang terbaik.

Menurut Siti dia selalu melihat apa yang berlaku dan menjadikan pengalaman pahit artis lama yang susah dihari tua membuatkan dia selalu berhati-hati ketika berbelanja.

“Siti rasa, ada masanya nanti akan berlaku pertukaran zaman kegemilangan. Ada orang suka dan ada juga waktunya rezeki itu akan ditarik Allah dalam sekelip mata. Itu sebabnya Siti kena sentiasa beringat-ingat.

“Macam Siti dengan anak-anak, Siti tak terlalu manjakan mereka. Tapi ayah mereka (Datuk K) selalu ingatkan Siti tak perlu berkira berbelanja untuk anak-anak. Apa salahnya beli baju yang berjenama untuk anak-anak, sebab kita mampu,

“Siti lebih suka berbelanja bawa anak bercuti. Siti nak cipta kenangan manis bersama mereka. Sekurang-kurangnya bila besar nanti mereka ada kenangan manis bersama ibu bapa mereka berjalan dan bercuti ke sana dan ke sini. Itu sebabnya bila kena kerja diluar negara, macam ke Korea baru-baru ini, Siti bawa anak-anak sekali,’’ ujarnya lagi.

Album SITISM

Mendekati usia 28 tahun perjalanan karier di dalam bidang seni suara, penyanyi Dato’ Sri Siti Nurhaliza kini tampil dengan album solo ke-20 berjudul Sitism.

Caver album ‘Sitism’ yang unik.

Album ini yang dilancarkan sepenuhnya pada 8 September lalu mengandungi 12 lagu.

“Album ini mempunyai makna yang tersendiri bagi Siti kerana dapat bekerjasama dengan penerbit, pencipta lagu dan penulis lirik lama dan Baharu. Gabungan ini memberikan warna tersendiri bagi Sitism dan diharap dapat memenuhi citarasa peminat Siti yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.

“Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album. Apabila digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalamnya,” kata Siti lagi.

Menurut Siti, dia pernah hampir putus asa ketika proses rakaman album Sitism sekitar awal tahun lalu.

“Tiga bulan Siti ambil masa nak siapkan album ini. Siti alami sakit tekak yang teruk, suara jadi serak dan ia menjejaskan peti suara. Sebagai penyanyi, suara adalah aset utama. Siti risau sangat risau jika masalah kesihatan ini tidak pulih.

“Dalam tempoh itu, hanya Allah SWT saja yang tahu betapa susahnya hati dan Siti tetap berusaha untuk siapkan album ini. Masa tu Siti terfikir, mungkin Allah nak tarik sikit nikmat suara ini? Walaupun rasa sedih, namun satu tahap Siti redha dan cuba juga berfikiran positif,”kata Siti ketika ditemui pada sidang media pelancaran Album Sitism baru-baru ini.

Tambah Siti, dia bagaimanapun tetap tidak mahu mengalah dan berdoa agar masalah gangguan peti suaranya itu segera pulih sambil mengambil inisiatif bertemu dengan pakar kesihatan.

“Kak Rozie pengurus Siti adalah orang yang paling risau dan sentiasa pastikan Siti berjumpa dengan doktor pakar, bukan sekali tapi berkali-kali. Nak pulihkan kembali suara ini pula mengambil masa yang sangat lama, sebab itulah Siti rasa ‘down’. Bila nak sihat sikit, anak pula sakit, jadi lambatlah proses nak Kembali sihat.

“Alhamdulillah, sekarang suara dah okey dan Siti bersyukur boleh Kembali menyanyi dengan baik. Kalau tidak dulu, setiap kali nak menyanyi saja kena panaskan suara hampir setengah jam,”katanya yang turut berdoa di depan Kaabah ketika menunaikan umrah.

Tambah Siti, Album Sitism bertambah istimewa apabila dapat mengundang penyanyi rock legenda, Dato’ Awie berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih.

Sejak dilancarkan album Sitism pada pertengahan September lalu dan sehingga kini telah mendapat 1.6 juta strim sejak dilancarkan.

Album terbitan Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd. ini turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal. Album fizikal ini juga turut dijual di kedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.

Sitism memuatkan 12 buah lagu iaitu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Romansa Kita (Sharon Paul/Rozisangdewi) Dan Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya).

Manakala lagu Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King), Senyawa (Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana), Kusedari (Dato’ Sri Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).

Previous articleSemoga ‘pengakhiran’ saya dalam husnul khatimah – Malek Noor
Next articleBulu kucing adalah najis yang dimaafkan kerana kucing adalah binatang peliharaan? (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here