Photo Envato/nd3000

Oleh Asmat Fikri

Pencegahan dan rawatan Harus diingat, penyakit ini sangat berbahaya dan saban tahun kita sering mendengar kes ibu membunuh anaknya ketika di dalam pantang. Bila ditanya kebanyakan disebabkan ada suara-suara yang menyuruh berbuat demikian.

Jika berfikir secara waras dan rasional, mana mungkin seorang ibu sanggup membunuh anak yang baru menceriakan hidup mereka sekeluarga selepas mengharungi penat lelah membawa kandungan 9 bulan serta sakit bersalin belum lagi reda.

Namun, jika ianya tersurat dan penyakit yang tidak diatasi, semua itu tetap juga berlaku. Justeru, bagi mengelakkan lebih ramai yang menghidap penyakit gila meroyan selepas bersalin, beberapa pihak perlu mengambil peranan masing-masing. Ia terdiri dari keluarga terdekat, masyarakat, serta pihak berwajib seperti pakar perubatan.

1. Sokongan keluarga penting

Sebagai langkah pencegahan, sokongan padu dari suami, keluarga serta sahabat handai kepada ibu baru melahirkan adalah sangat penting. Sokongan berbentuk emosi, moral serta fizikal sangat diperlukan oleh ibu dalam berpantang. Ambil tahu masalah ibu samada dari segi kesihatan dia, keperluan atau apa juga masalah yang dihadapi.

Kadang kita tak sedar, masalah yang orang nampak remeh seperti susu ibu tidak banyak pun boleh menyebabkan ibu dalam pantang mengalami tekanan. Itu belum lagi masuk bab lain seperti perlu berjaga malam kerana anak tidak mahu tidur, sakit rengat, lapar tapi tiada yang tanya nak makan apa dan banyak lagi masalah lain.

Justeru, suami dan keluarga terutamanya perlu sentiasa mengambil berat terhadap ibu baru bersalin. Suami perlu mengambil alih tugas menyediakan keperluan anak lain jika ada, buat sementara waktu. Pastikan isteri betul-betul sihat dan gunakan kesempatan dalam pantang untuk sembuh dan sihat seperti sediakala.

Namun, jika diuji juga dengan ‘kehadiran’ penyakit seperti gila meroyan ini amat penting untuk dapatkan rawatan. Pengesanan awal ke atas ibu yang berisiko untuk mendapat penyakit mental postpartum amatlah penting agar rawatan dapat dimulakan dengan secepat mungkin.

Wanita yang dikategorikan mempunyai risiko yang tinggi termasuk mereka pernah mengalami penyakit mental postpartum, sejarah keluarga yang mempunyai penyakit mental, kehamilan yang tidak dirancang dan kepincangan rumah tangga. Sokongan emosi, rohani, fizikal dan sosial amatlah penting bagi ibu-ibu selepas bersalin sebagai satu aspek pencegahan penyakit mental selepas berkahwin.

2. Psikoterapi

Antara rawatan yang boleh dilakukan adalah berjumpa dengan pakar psikitri. Dari situ doktor bahagian psikitri akan melakukan prosedur sepatutnya dan sekaligus diagnos dapat dilakukan jika pesakit mengalami kemurungan. Begitu juga dengan rawatan selanjutnya dan ubat-ubatan yang perlu diambil. Ia perlu atas saranan pakar, bukannya kita sendiri membuat keputusan untuk badan kita.

Menurut Pakar Psikiatri Universiti Sains Islam Malaysia seperti yang pernah disebut menerusi laman The Malaysian Medical Gazette, Postpartum psychosis dan postpartum depression boleh dirawat dengan menggunakan ubat-ubat dan teknik-teknik yang selamat di bawah seliaan rapi doktor.

Isu-isu penggunaan ubat dan penyusuan ibu ditangani berdasarkan kes individu. Ada juga kes yang memerlukan pemantauan di hospital. Walau apa pun, kesihatan ibu dan bayi sentiasa menjadi keutamaan.

“Bertemu doktor psikiatri bukan bermakna anda orang gila, bukan bermakna anda lemah semangat dan bukan bermakna anda lemah iman. Tidak semestinya semua kes yang ditemui oleh doktor psikiatri adalah masalah meroyan. Yang penting, jika sangsi tentang gejala-gejala ahli keluarga yang baru lepas bersalin, bawa terus untuk penilaian. Wallahu a’lam.” jelasnya.

Photo of a smiling woman carrying her baby while sitting on a bed
Photo by Jonathan Borba on Pexels

3. Jangan bagi ruang syaitan mainkan peranan

Memang betul, kemurungan atau penyakit mental lain tidak ada kena mengena dengan tidak kuat iman atau kurang beribadah. Ia seperti penyakit lain yang boleh menyerang sesiapa sahaja tidak kira dia ahli agama ataupun tidak.

Namun, dalam kes kemurungan selepas bersalin, semua dari kita faham bahawa ibu lepas bersalin ini berada dalam keadaan hadas besar selagi mana darah nifas keluar.

Oleh hal demikian, sentiasa berzikir dan mendengar alunan ayat suci al-Quran walaupun tidak boleh membacanya. Lazimi zikir di bibir supaya diri sentiasa ingat padaNya dan yakinlah dengan janji Allah maksudnya, dengan berzikir hati akan menjadi tenang.

Mungkin tidak membantu sepenuhnya, tapi sekurang-kurang dapat meredakan sedikit kegusaran serta menenangkan hati si ibu semasa mengharungi fasa-fasa mencabar di dalam pantang. Ia juga sebagai langkah agar dapat berlindung dari gangguan syaitan dengan si ibu siapkan pendinding diri dari kalam yang disyorkan oleh Rasulullah SAW. Mudah-mudahan.

Penutup

Jadi kepada semua para ibu atau bakal ibu, hargailah kesihatan mental masing-masing. Jika ada simptom yang dirasakan lain dari yang lain semasa dalam berpantang, pastikan bertindak segera dengan mendapatkan bantuan dari yang sepatutnya. Begitu juga ahli keluarga, samada suami atau saudara keluarga lain, jika dapat dikesan ada tanda-tanda seakan di luar kebiasaan atau tidak normal isteri, pujuklah isteri dan dapatkan rawatan dengan segera.

Sesungguhnya si kecil yang baru nak mengenal dunia itu memerlukan kasih sayang yang optimum daripada seorang wanita bergelar ibu. Jangan sia-siakan masa membesarkannya dan jangan pula bertindak sesuatu di luar kawalan hingga menyebabkan kita menyesal seumur hidup. Perlu diingat juga, jumpa pakar psikiatri bukan bermakna anda tak waras atau gila.

Masyarakat juga perlu mengubah pemikiran terhadap mereka yang mendapatkan rawatan berjumpa pakar psikiatri. Usah diamal lagi budaya melabel orang itu atau orang ini gila, usah disalahkan mereka kerana penyakit mental ini adalah memang sejenis penyakit seperti sakit kencing manis, sakit jantung, sakit kanser dan sebagainya yang memerlukan rawatan dari doktor pakar.

Semoga dengan penerimaan positif masyarakat, lebih ramai lagi wanita dan orang ramai cakna tentang kesihatan mental dan bersedia untuk mendapatkan rawatan dengan kadar segera.

Previous articleAndra & The Backbone Bakal ‘Sempurna Di Kuala Lumpur’
Next articleRais Yatim kagumi teater muzikal Lantai T. Pinkie

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here