Oleh Syed Wafa
Akhirnya, selepas 17 tahun, karya agung Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said iaitu teater muzikal Lantai T. Pinkie telah dipentaskan semula di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan jayanya baru-baru ini.
Paling membanggakan sambutan begitu menggalakkan dan jualan tiket mendapat sambutan dari pengemar teater hebat ini.
Teater ini diserikan dengan kehadiran mantan Menteri Penerangan,Komunikasi dan Kebudayaan,Tan Sri Rais Yatim bersama isteri Puan Sri Maznah Rais.
Beliau amat berharap Teater DBP harus dijadikan pementasan popular yang durasi 3 ke 4 hari saja. Di Kuala Lumpur tiada ruang semai bakat teater yang sederhana untuk penggiat teater tanah air.
“Saya amat berharap ‘Bangsawan’ iaitu teater tradisional juga jangan dilupakan kerana ianya antara aktiviti seni kita yang tinggi nilainya.
“Saya juga berharap kita dapat banyak lagi mencungkil bakat baru dalam pementasan muzikal seperti teater ini. Persembahan teater muzikal ini, walaupun settingnya agak mudah tapi begitu menarik. Saya juga mengucapkan tahniah diksi bahasa baku realistik (bahasa baku yang tepat) untuk period 1963 berjaya dipentaskan dan disampaikan dengan sungguh berkesan.
“Vocalising (Lontaran suara bagi nyanyian dan dialog) sungguh baik serta rendisi muzikal jelas dengan melodi yang amat menarik. Ada beberapa lagu dalam produksi ini yang sungguh hebat dan harus dipopularkan,” komen Rais Yatim mengenai teater hebat ini.
Karya yang pernah mencetuskan fenomena di negara ini, dipentaskan secara muzikal untuk kali keenam, kekal diterbitkan oleh penerbit teater terkenl tanah air Siti Rohaya Atan serta pengarah yang sama iaitu Dr Rosminah Mohd Tahir.
Siti Rohaya Atan yang juga pemilik CTRA Production berkata, pementasan itu dibuat sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha mempopularkan karya agung Sasterawan Negara.
“Tujuan utama pementasan ini adalah untuk memperkenalkan generasi baharu kepada karya Sasterawan Negara kerana lazimnya, golongan ini tidak minat membaca… namun secara peribadi, saya suka akan karya ini kerana ia memaparkan realiti kehidupan yang sebenar,” kata Rohaya Atan.
Siti Rohaya Atan turut berharap usaha pementasan semula teater muzikal ini dihargai terutamanya daripada generasi baharu kerana ia adalah aspek penting dalam pembangunan suatu bangsa.
Kali ini, teater muzikal Lantai T. Pinkie menampilkan penyanyi dan pelakon baru, Zera Hariz sebagai watak utama T. Pinkie atau nama sebenarnya Tengku Seindahkuno, mengisahkan seorang penari remaja dan cantik di Singapura yang menjadi rebutan ramai pengunjung di Bunga Joget Moden pada zaman 1950-an selepas Perang Dunia Kedua.
Menurut penulis karya hebat ini,Sasterawan negara iaitu Datuk Seri A. Samad Said yang lebih mesra dipanggil Pak Samad,Lantai T Pinkie adalah ilham serta pengalaman beliau ketika berada di Singapura.
Pengarah teater muzikal, Dr. Rosminah Tahir mengakui bersikap terbuka sekiranya ada pihak yang membandingkan Zera dengan tiga lagi watak T. Pinkie sebelum ini yang diterajui artis berbakat besar seperti Tiara Jacquelina (1997), Nasha Aziz (2000) dan Vanidah Imran (2006).
“(Perbandingan) itu, saya alu-alukan kerana daripada situ, kita dapat lihat masyarakat mengikuti perjalanan naskhah ini dan secara tidak langsung, menyokongnya. Silakan, saya tiada masalah.” kata Rosminah Tahir jujur.
Selain Zera teater ini turut dijayakan Faysal Saad, Nabila Huda, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Tamimi Siregar, Linda Nanuwil, Carolyne Kamba, Zaifri Husin, Serra Kamal, Ewan Fauzi, Zuhairi Ibrahim, Syahril Kadir dan lain-lain.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.