Image by Freepik

Oleh Asmat Fikri

Tahukah kita, penggunaan pencuci bahagian intim yang tidak sesuai boleh mengganggu fungsi bakteria semula jadi di kawasan faraj? Ini disebabkan pencuci itu boleh mengganggu keberadaan bakteria semula jadi yang dikenali sebagai Lactobacillus.

Lactobacillus merupakan sumber utama asid lactic yang mengekalkan PH bahagian faraj antara 3.5 hingga 4.6 iaitu dalam persekitaran keasidan. Keadaan berasid ini mampu melindungi faraj daripada jangkitan kuman.

Namun, apabila menggunakan pencuci bahagian intim yang tidak sesuai, ia boleh mengubah persekitaran yang berasid seterusnya membunuh normal flora yang sedia ada di situ. Keadaan ini mendorong kepada pertumbuhan organism komensal yang lain secara berlebihan sehingga berlakunya jangkitan.

Bahaya Penyakit Keputihan

Penyakit keputihan adalah berpunca daripada jangkitan kuman terutamanya oleh Gardnerella vaginalis, Trichomonas vaginalis dan Candida albicans. Penyakit keputihan yang tidak dirawat akan mengundang kepada pelbagai komplikasi yang merbahaya.

Jika lewat ditangani, bukan sahaja berpotensi menyebabkan kemandulan dan kehamilan di luar rahim, tetapi boleh menyebabkan penyakit kanser rahim yang boleh membawa kematian.

Penyakit keputihan yang tidak diambil perhatian pada jangka masa yang lama, lebih sukar untuk diberikan rawatan. Ini adalah hasil daripada penambahan sifat kerintangan bakteria atau kulat terhadap antibiotik atau antifungal.

Wanita yang mempunyai sistem daya tahan badan yang rendah, berisiko menjadikan keputihan menjadi lebih serius hingga boleh mengancam nyawa. Jangkitan yang bermula pada bahagian faraj boleh menyebabkan infeksi sekunder. Kuman tersebut boleh memasuki saluran darah akibat aktiviti menggaru yang menghasilkan pembentukkan luka. Gejala ini dikenali sebagai kandidiasis invasif yang sangat merbahaya dan memerlukan rawatan rapi.

Image by Freepik

Cara mencegah Penyakit Keputihan

Walaupun keputihan ini sering berlaku pada setiap wanita dewasa dan yang telah berkahwin, namun ianya masih boleh dicegah agar tidak memudaratkan. Pastikan kebersihan menjadi keutamaan, gaya hidup yang selamat dan sihat. Pastikan aspek-aspek tersebut diamalkan bagi memastikan kita sentiasa sihat luaran dan dalaman.

Sebagai langkah pencegahan daripada penyakit keputihan, berikut adalah amalan-amalan yang disarankan kepada semua wanita:-

  • Sentiasa memastikan bahagian faraj berada dalam keadaan bersih dan kering.
  • Elakkan penggunaan pembersih faraj yang menganggu kestabilan PH atau menyebabkan kegatalan.
  • Sentiasa menukar atau mengganti tuala wanita semasa menstruasi (haid).
  • Gunakan pelapik seluar dalam (panty liner) pada saat yang diperlukan sahaja.
  • Elakkan juga pemakaian seluar dalam yang ketat dan diperbuat daripada kain satin.
  • Jangan menggunakan sebarang produk wangian seperti bedak atau ubat sembur pada bahagian faraj.
  • Elakkan pengambilan ubat secara berterusan tanpa nasihat doktor.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.
  • Amalkan gaya hidup sihat dengan mengelakkan aktiviti seks rambang atau hubungan kelamin dengan lebih daripada seorang.
  • Elakkan kehadiran benda asing di dalam faraj seperti kondom yang tertinggal selepas aktiviti seks.
  • Basuh bahagian sulit dengan air yang bersih dan buang air kecil selepas aktiviti seks.
  • Berjumpa dengan pegawai perubatan dengan segera dan melakukan pemeriksaan vagina jika terdapat sebarang tanda-tanda yang dinyatakan di atas.
  • Lakukan aktiviti yang menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan seperti melancong.

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat seluruh wanita di luar sana. Ingat! Kebersihan perlu diutamakan. Pastikan setiap wanita menjaga ‘aset’ di bawah dengan sebaiknya demi keharmonian rumah tangga dan juga agar tidak menyesal di kemudian hari jika berlaku sesuatu yang memudaratkan.

Cegahlah sebelum terlambat. Ibu juga perlulah sentiasa mengingatkan dan mengajar anak-anak tentang pentingnya menjaga kebersihan faraj ini seawal usia mereka remaja lagi.

Jika menyedari terdapat sesuatu yang di luar kebiasaan, pastikan mendapat rawatan doktor dengan kadar segera agar pencegahan dapat dilakukan. Sayangi diri dan keluarga anda.

Previous articleSebaknya…’Dan Di Senja Itu’ kisah kasih sayang anak buat Zulkifli Zain
Next articleApabila anak lelaki didandan sebagai perempuan (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here