Oleh Nury Kadir
Dalam surah al-Ghafir ayat 60, Allah berfirman bermaksud, “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa (permohonan) kamu.”
Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya mengatakan bahawa pada ayat ini adalah dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf di antara orang Islam. (Tafsir Ibn ‘Asyur).
Ulama berpendapat doa bukan sekadar meminta, sebaliknya merupakan pengakuan diri akan kehambaan, kehinaan dan keburukan. Ar-Razi dalam al-Tafsir al-Kabir aw Mafatih al-Ghayb, mengatakan, dengan tidak berdoa seolah-olah seorang itu terlalu angkuh untuk menunjukkan kehambaan. Manakala Ibn Hajar al-A’sqalani dalam Fathu al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari, doa juga bertujuan untuk menzahirkan rasa rendah diri, kekurangan, tunduk dan kepatuhan kepada Allah SWT.
Selain itu, menurut Ibn Kathir dalam tafsir al-Quran al-‘Azim, doa adalah sebahagian daripada rahmat dan kemurahan Allah. Allah SWT mempercayakan hamba-hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya, lalu memastikan bahawa doa-doa mereka dikabulkan. Hal ini secara jelas menggambarkan kepentingan ibadah berdoa. Bahkan, menjadi suatu tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya (www.muftiwp.gov.my).
Kadang-kadang kita selalu tertanya-tanya adakah doa yang dipanjatkan dimakbulkan Allah? Rasanya macam tidak, sebab yang diminta masih tidak muncul di depan mata. Apabila berdoa, buang jauh-jauh fikiran negatif dan berburuk sangka dengan Allah.Percayalah janji Allah itu benar, cuma kita yang tidak mengetahui cara Allah SWT menerima doa hamba-Nya sehinggakan menyangka bahawa Allah tidak menerima doa kita.
Jawapan yang dititipkan di dalam www.muftiwp.gov.my. mengenai persoalan tersebut bermula dengan hadis daripada Abi Said al-Khudri bahawa Rasullulah SAW bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahim, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak dan Allah akan menjauhkan darinya kejelekan.” (Riwayat Ahmad)
Ada tiga cara Allah SWT menerima doa hamba-Nya yang disebut di dalam hadis itu.
Pertama:- Allah SWT akan memberikan kepada hamba-Nya di dunia sepertimana yang diingini oleh hamba tersebut. Adapun bagi cara ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu terus dimustajabkan permintaan tersebut dan juga ditangguhkan kepada tempoh waktu tertentu.
Kedua:- Allah SWT akan menyimpan doa tersebut di akhirat kelak kerana Allah Maha Mengetahui bahawa hamba tersebut memerlukannya di sana.
Ketiga:- Allah SWT akan menjauhkan hamba tersebut daripada perkara yang buruk atau musibah yang berlaku kepadanya.
Di dalam berdoa perlu ada adabnya supaya doa menjadi mustajab. Antaranya ialah, kita perlu yakin bahawa Allah SWT mendengar setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya. Kedua, memuji Allah sebelum berdoa.
1. Berdoa dengan penuh harap dan yakin
Bersangka baik dengan Allah ketika berdoa agar permintaan itu dimustajabkan. Demikian juga, seseorang itu perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap (agar doa dimustajabkan) dan juga perasaan takut (dari doa tertolak).
Ini berdasarkan firman Allah SWT, maksudnya: “Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut.” (Surah al-Anbiya’, ayat 90).
Ayat di atas ini, sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan. Nabi Ayyub AS berdoa kepada Allah SWT untuk diberikan kesembuhan daripada penyakit yang dideritainya, lalu Allah mustajabkan doanya. Nabi Yunus AS berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah mustajabkan doanya. Berikutnya, Nabi Zakaria AS juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah SWT memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya AS sebagai anak. Ketiga-tiga Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah SWT.
Begitu juga berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.” (Riwayat al-Tirmizi)
Kemudian perhatikan pula hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan.” (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Ya’la dalam Musnadnya).
2. Memuji Allah sebelum berdoa
Sebelum memohon sebarang hajat, mulakan dengan puji-pujian kepada Allah. Contoh terbaik puji-pujian sebelum memanjatkan doa adalah bacaan surah al-fatihah yang dibacakan oleh seseorang. Ia berdasarkan sebuah riwayat yang panjang daripada Abu Hurairah, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW menceritakan berkenaan bacaan al-Fatihah di dalam solat. Lalu Allah SWT membahagikan solat kepada dua bahagian, untuk diri-Nya dan untuk para hamba-Nya.
Jelas dalam surah al-Fatihah, terdapat lima pujian daripada ayat pertama hingga ayat ke-lima kepada Allah SWT. Kemudian pada ayat yang ke-enam, ia diikuti dengan permintaan atau doa yang pertama iaitu:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Maksudnya: “Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus.” (Surah al-Fatihah: 6)
Demikian juga seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang menceritakan berkenaan doa Nabi Ibrahim AS, baginda memulakan dengan katanya:
الَّذِي خَلَقَنِي فَهُوَ يَهْدِينِ (78) وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ (79) وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ (80) وَالَّذِي يُمِيتُنِي ثُمَّ يُحْيِينِ (81) وَالَّذِي أَطْمَعُ أَن يَغْفِرَ لِي خَطِيئَتِي يَوْمَ الدِّينِ
Maksudnya: “Dialah Tuhan yang telah menciptakan aku maka Dia jugalah yang memberikan petunjuk. Dialah Tuhan yang memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang memberikan kesembuhan. Dan Dialah Tuhan yang mematikan aku kemudian menghidupan semula (diriku). Dan Dia jugalah Tuhan yang sangat aku harapkan supaya Dia mengampunkan kesalahan-kesalahanku pada hari akhirat.”(Surah al-Syu’ara:78 – 82)
Kesemua ungkapan di atas ini, jika diteliti ia adalah suatu puji-pujian seorang hamba kepada Tuhannya. Maka Nabi Ibrahim AS tidak terhenti sekadar lima pujian ini, bahkan baginda menyambungnya dengan lima buah permintaan kepada Allah SWT melalui firman-Nya:
رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ (83) وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ (84) وَاجْعَلْنِي مِن وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ (85) وَاغْفِرْ لِأَبِي إِنَّهُ كَانَ مِنَ الضَّالِّينَ (86) وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ
Maksudnya: “Tuhanku, berilah hikmah kepadaku dan golongkanlah diriku bersama dengan orang-orang yang soleh. Berilah kepadaku lisan yang benar buat orang-orang yang terkemudian. Dan jadikanlah aku di antara mereka yang mewarisi syurga al-na’im. Dan ampunkanlah bapaku, sesungguhnya dia tergolong dalam kalangan mereka yang tersesat. Dan janganlah Kau hinakan aku pada hari kebangkitan.” (Surah al-Syu’ara’ ayat 83-87).
Justeru, dapat kita fahami bahawa petunjuk al-Quran di dalam berdoa adalah memulakannya dengan ucapan pujian-pujian kepada Allah SWT. Selain itu, perkara yang dilarang ketika berdoa juga perlu diambil berat.
Berikut adalah hadis yang menjelaskan berkaitan larangan Nabi SAW ketika berdoa kepada Allah SWT. Hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Janganlah seseorang kamu berkata: Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunilah aku sekiranya Engkau mahu, Ya Allah Ya Tuhan kami, kasihanilah aku sekiranya Engkau mahu. Akan tetapi hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dalam meminta kerana sesungguhnya Allah sama sekali tidak ada yang memaksa.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Imam Ibn Abd al-Bar menyatakan tidak dibenarkan seseorang itu berdoa dengan lafaz tersebut dalam memohon kepada Allah berkaitan hal agama dan dunia kerana itu termasuk di dalam ucapan yang mustahil. Adapun Imam al-Nawawi menyatakan hukum bagi orang yang berdoa sedemikian adalah makruh tanzih.
Selain itu, hadis ini juga memberi gambaran bahawa seseorang itu perlu bersungguh-sungguh dalam berdoa. Pada masa yang sama mengharapkan agar Allah SWT menerima doanya dan janganlah ada rasa putus asa dengan rahmat Allah kerana dia sedang berdoa dengan Yang Maha Pemurah sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Batthal.
Seseorang itu perlu ada kesungguhan dalam berdoa kepada Allah SWT. Di samping, sifat yakin bahawa Allah SWT akan menjawab segala doa yang telah kita panjatkan kepada-Nya cuma cara Allah SWT menerima doanya adalah pelbagai, sebagaimana yang telah dijelaskan pada awal artikel. Ini kerana, keyakinan amat perlu dalam berdoa kepada Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Doalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu yakin bahawa Allah SWT akan memustajabkannya.”(Riwayat al-Tirmizi)- Imam al-Nawawi menilai sanad hadith ini adalah dhaif.
Allah SWT pasti akan memustajabkan setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya tetapi dengan cara yang berbeza. Sekiranya kita mengetahui akan hal ini, maka tidak akan timbul lagi sangkaan bahawa Allah SWT tidak menjawab atau mendengar doa-doa hamba-Nya. Tambahan pula, doa bukanlah sekadar untuk meminta, bahkan ia merupakan satu ibadah serta tanda bagi hamba itu dalam menzahirkan sifat khudhu’ (ketaatan), Tazallul (kehinaan) dan juga iftiqar (keberhajatan) kepada Allah SWT.
Jadi, jangan pernah jemu untuk berdoa kerana manusia adalah makhluk yang lemah, tanpa Allah kita bukan sesiapa. Doalah apa sahaja yang baik-baik, berbisik, merayu dengan Allah kerana Dia Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Saat paling hampir hamba dengan Sang Penciptanya adalah ketika sujud kerana itu saat mustajab doa. Kerana ketika itulah kita merasakan diri sebagai seorang hamba.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.