Oleh Syed Wafa

Penyanyi legenda irama Malaysia, Datuk Yusni Hamid 72 tahun, tidak sabar untuk beraksi di Simfoni Budaya:Keroncong & Ghazal bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pada 2 mac akan datang di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Menjadi antara penyanyi yang terkenal dan sering membawa lagu berirama keroncong,Yusni Hamid mengakui genre itu makin kurang diminati, berbanding dendangan tradisional lain.

Malah, akui Yusni Hamid lagi, jika tiada usaha memartabatkan irama itu, tidak mustahil keroncong yang suatu ketika dahulu cukup diminati, bakal lenyap ditelan zaman.

Yusni Hamid atau nama sebenar, Aisah Mohd Shariff, berpendapat, demi kelangsungan melodi indah itu, perlu ada inisiatif diambil pihak bertanggungjawab untuk menyuburkan keroncong, termasuk mempromosikan irama itu secara berterusan.

“Apa yang dilakukan oleh MPO adalah satu useha yang amat saya hargai dalam memartabatkan keroncong dan ghazal terus hidup di tanah air tercinta ini.

Antara artis yang terlibat dalam konsert hebat ini.

“Saya tak sabar untuk beraksi di pentas DFP yang hebat ini dan menghiburkan peminat muzik keroncong khasnya,” kata beliau bersungguh-sungguh.

“Ada yang berpendapat irama keroncong hanya untuk orang tua sahaja. Saya tidak setuju dengan pandangan itu kerana genre muzik ini sesuai untuk orang muda, sama seperti lagu tradisional lain.

“Cuma, kita kena pandai mempromosikan keroncong agar anak muda dapat menghargainya.

“Antara usaha boleh diambil adalah menganjurkan pertandingan lagu keroncong. Kalau kita boleh anjurkan pertandingan nyanyian lagu tradisional, kenapa kita tak boleh adakan pertandingan sama untuk irama keroncong?” katanya dipertemuan eksklusif bersama Ladybosz baru-baru ini.

Selain Yusni, konsert ini turut menampilkan artis berbakat besar Haziq Rosebi dan Asmidar serta dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose ini akan menyaksikan rangkuman tradisi dan muzik yang harmoni dalam satu keraian budaya yang sungguh gemilang.

Layari perjalanan indah apabila irama keroncong dan ghazal bergabung dengan keunggulan muzik MPO melalui karya malar segar antaranya Sayang Di Sayang, Bisikan Hati, Dari Hati Ke Hati, Jauh Di Mata, Penawar Rindu, Seri Mersing, Empat Dara, Juwitaku Sayang dan banyak lagi.

Tambah penyanyi bersuara merdu ini, usaha untuk memartabatkan irama keroncong boleh dilakukan dengan memperbanyakkan lagu ciptaan baharu, bukan sekadar bergantung kepada lagu lama sahaja.

“Salah satu faktor menyebabkan irama ini kurang diminati adalah kerana tidak banyak lagu ciptaan baharu dihasilkan.

“Mungkin selepas ini, kita kena perbanyakkan lagi penghasilan lagu seperti ini.

“Selain itu, saya lihat kita ketandusan penyanyi irama keroncong dalam kalangan lelaki,” katanya kecewa.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan persembahan hebat ini, tiket boleh didapati menerusi www.mpo.com.my

Previous articleFestival Supalapa bakal gegarkan Genting!
Next articlePernahkah Allah tidak menjawab doa hamba-Nya? (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here