Close up photo of raisins and dates
Photo by Naim Benjelloun on Pexels

Oleh Nury Kadir

Sekarang sudah masuk bulan Syaban, tidak lama lagi Ramadan datang bertamu. Masih ada berbaki beberapa minggu lagi, masih sempat lagi bagi yang belum qada puasa Ramadan tahun lalu untuk melakukannya.

Sebenarnya paling mudah untuk qada puasa adalah sewaktu dalam bulan Syawal disekalikan dengan puasa enam. Tapi, namanya pun raya kalau tidak sebulan bukan raya. Setiap hari ada jemputan rumah terbuka, jadi bila masanya hendak qada puasa. Bertangguh dari sehari ke sehari akhirnya bertemu Syaban tahun berikutnya baru teringat puasa masih tidak diganti lagi.

Bulan Syaban ada 30 hari tolak cuti datang haid tujuh-sepuluh hari tinggal 20 hari sahaja masa yang ada untuk mengganti puasa. Sempat atau tidak soalnya? Ada yang ambil mudah tidak sempat tidak menjadi soal, boleh sambung qada puasa Ramadan tahun lepas selepas Ramadan tahun ini. Adakah kita boleh lakukan seperti itu?

A woman wearing hijab serving the food on the table
Photo by Thirdman on Pexels

Jawapan yang diberikan di dalam www.muftiwp.gov.my. diibolehkan untuk menggantikan puasa pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali pada hari yang diharamkan berpuasa selagi tidak memasuki bulan Ramadan tahun berikutnya.

Hal ini berdasarkan hadis tentang perbuatan Aisyah R.A menggantikan puasa Ramadan, beliau berkata, maksudnya: “Aku ada puasa daripada bulan Ramadan yang wajib diganti, tetapi aku tidak mampu untuk menggantikannya kecuali pada bulan Syaban kerana kesibukan melayani dan berkhidmat untuk Rasulullah SAW.” (Riwayat Muslim)

Pun begitu, disunatkan menggantikan puasa sesegera mungkin kerana dikhuatiri tidak sempat menggantinya sehingga tiba Ramadan akan datang. Lebih-lebih lagi jika tiada halangan untuk menggantikan puasa tersebut.

Imam al-Ramli menjelaskan, jika seorang itu melewatkan ganti puasa tanpa sebarang keuzuran dan tidak menggantikannya sehingga tiba bulan Ramadan seterusnya, itu adalah satu perbuatan yang berdosa dan dia wajib menggantikannya serta membayar fidyah secupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.

Wajib bagi seorang Muslim menggantikan puasa Ramadan yang ditinggalkan disebabkan keuzuran yang dibenarkan oleh syarak atau ditinggalkan dengan sengaja sebagaimana yang jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT:
Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (Surah al-Baqarah:184)

NIAT PUASA QADA

Masalah pertama sudah selesai, sekarang hendak qada puasa macam mana pula niatnya? Waktu bila niat perlu dipasang dan dilafazkan? Mengenai hal niat pula boleh dijelaskan dalam dua keadaan sebagaimana menurut pendapat ulama iaitu:

PERTAMA – Niat bagi puasa Ramadan dan puasa wajib yang lain hendaklah diniatkan pada malam hari berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Sesiapa yang tidak berniat untuk berpuasa (keesokan harinya) di malam hari, maka tidak sah puasanya.” (Riwayat al-Nasaie)

Menurut Mazhab al-Syafie, disyaratkan seseorang untuk berniat pada waktu malam bagi puasa Ramadan dan puasa fardu yang lain seperti puasa ganti. Hal ini, disebutkan dalam kitab al-Muqadimah al-Hadramiah, (Rukun puasa) Pertama: Niat bagi setiap hari puasa. Diwajibkan untuk berniat pada waktu malam bagi puasa fardu dan tidak bagi puasa sunat. Sah niat tersebut jika diniatkan sebelum tergelincir matahari. Di samping itu, diwajibkan untuk ta’yin (menentukan jenis puasa seperti puasa Ramadan), tanpa diwajibkan untuk menyebut fardu bagi puasa fardu.

Secara mudahnya boleh difahami, diwajibkan untuk berniat bagi puasa fardu pada waktu malam. Manakala bagi puasa sunat boleh untuk berniat pada siang hari sebelum tergelincir matahari jika sekiranya tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Tuntutan niat ini ialah merujuk kepada berniat di dalam hati. Justeru, apabila seseorang sudah meletakkan azam di dalam hati dan fikirannya tentang hakikat puasa tersebut, maka niat tersebut sah. Hal ini, sepertimana yang disebutkan di dalam kitab Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja bahawa, (Rukun puasa) pertama: Berniat pada waktu malam setiap hari bagi puasa yang fardu. Tempat niat ialah di dalam hati.

Oleh itu, hendaklah didatangkan dalam fikiran hakikat puasa tersebut iaitu perbuatan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari serta melakukan kewajipan yang mana ia sebahagian daripada amalan bulan Ramadan, kemudian berniat bahawa dia akan melakukan perkara yang dibayangkan tersebut.

Namun, jika sekiranya seseorang melafazkannya, maka hukumnya adalah sunat supaya lisan dapat membantu untuk menetapkan niat di dalam hati. Perkara ini seperti yang dinyatakan dalam kitab Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja bahawa, tidak memadai menyebut niat di lidah sahaja tanpa meniatkannya di dalam hati. Begitu juga, tidak disyaratkan untuk melafazkan niat secara qatie namun hanya disunatkan sahaja supaya lidah dapat membantu dalam berniat di dalam hati.

Justeru, hukum melafazkan niat adalah sunat sahaja bagi membantu hati untuk menetapkannya. Adapun syarat niat yang wajib ialah menetapkannya di dalam hati.

KEDUA – Jika sekiranya seseorang itu berniat untuk menggantikan puasa bagi puasa fardu yang ditinggalkan pada tahun-tahun sebelumnya, maka lafaz niatnya tidak menggunakan lafaz أَدَاءِ (tunai) bahkan disebut قَضَاءِ (ganti) pada lafaz niatnya.

Sheikh al-Islam Zakaria al-Ansari menjelaskan hal tersebut, (Bagi puasa Ramadan) hendaklah diniatkan puasa keesokan hari bagi menunaikan fardu Ramadan tahun ini kerana Allah SWT. Lafaz Ramadan ditambah di dalam niat supaya dapat dibezakan dengan selainnya. Namun, jika sekiranya puasa fardu Ramadan selain tahun ini, maka ia tidak lain tidak bukan menjadi qada (ganti).

Namun begitu, tidak diwajibkan untuk menyebut sama ada أَدَاءِ (tunai) ataupun قَضَاءِ (ganti), jika tidak menyebutnya maka tidak menjadi masalah. Memadai berniat dengan menyebutkan lafaz fardu sahaja mengikut pandangan yang paling sahih mazhab al-Syafie.

Menurut Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Maani Alfaz al-Minhaj, apa yang jelas tentang pandangan yang paling sahih ialah disyaratkan menyebut fardu sahaja, tanpa disyaratkan untuk menyebut lafaz أَدَاءِ (tunai) dan lafaz ‘kerana Allah SWT’.

Oleh itu, lafaz niat bagi puasa ganti yang lengkap ialah seperti berikut:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ لِلَّه تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa esok hari bagi qada (menggantikan) fardu puasa bulan Ramadan kerana Allah.”

BERSAMBUNG
*Bolehkah hanya bayar fidyah tanpa qada puasa…jawapanya pada keluaran akan datang.

Previous articleNeo pertaruh ‘Oh Ibu’ untuk kerjaya seninya
Next articleKebaikan dan khasiat Sirih Cina

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here