Neo, bakat baharu yang dicungkil oleh LY.

Oleh: Wawa Najwa

SETIAP hari ada saja bakat baharu yang tampil mencuba nasib sebagai penyanyi dan salah seorang daripadanya ialah Neo, 14, yang berasal dari Sabah.

Bakat Neo atau nama sebenarnya, Mohammad Sharul Neo Morsidy dicungkil oleh penerbit muzik dan komposer terkenal LY atau Rozman Shafie.

LY bersama isterinya, Baiduri sejak era 1990-an berjaya menghasilkan pelbagai lagu malar segar dan masih menjadi siulan di kalangan pencinta muzik tanah air.

Mempertaruhkan single ‘Oh Ibu’, ciptaan Cinderella.

Sebagai langkah awal, Neo diberi tanggungjawab untuk menyanyikan lagu ‘Oh Ibu’, ciptaan sepenuhnya oleh Cinderella. Jangan keliru ya, lagu ‘Oh Ibu’ tidak ada kaitan dengan ‘Untukmu Ibu’, dendangan Mamat Exists, ciptaan Rahim Othman itu.

Menurut Neo, lagu ‘Oh Ibu’ karya Cinderella itu digubah khas untuknya kerana lirik ditulis berdasarkan pengalaman sebenar kisah dirinya.

“Lagu ini ditulis berdasarkan pengalaman sebenar kisah hidup saya. Penulis mengambil masa untuk mengenali saya dan ibu. Setiap bait lirik lagu ini ditulis agar dapat menyampaikan rasa yang sebenar mengenai perjuangan seorang ibu dan anak dalam kehidupan seharian.

“Melodi lagu ini disesuaikan dengan luahan lirik agar dapat melontar perasaan dan menterjemahkannya melalui persembahan vokal rap yang beremosi,” jelasnya.

Neo tetap mengutamakan pelajaran walaupun sudah bergelar penyanyi.

Tambah Neo lagi, selepas siap lagu dan lirik, susunan muzik dihasilkan tetapi tidak dapat memenuhi kehendak penerbit iaitu LY. Atas cadangan Bapak Jusak Irwan Sutiono agar susunan muzik digubah oleh muzik ‘arranger’ Indonesia.

“Di Indonesia susunan muzik ini dua kali diubah oleh LY supaya sesuai dengan saya dan bentuk muziknya kontemporari mengikut pasaran masa kini.

“Vokal dirakam sebanyak tiga kali di Studio LY Music Factory untuk mendapatkan yang terbaik daripada saya. Lagu ‘Oh Ibu’ tetap memerlukan penghayatan biarpun ia bergenre rap.

“Saya suka berjenaka, tapi tiba-tiba perlu fokus dan serius menyampaikan lagu ini. Sebagai penyanyi baharu saya cuba memberikan nyanyian yang terbaik tetapi masih gementar kerana ini kali pertama kami bekerjasama,” katanya.

Tambahnya, lagu ‘Oh Ibu’ yang bergenre rap itu mempunyai melodi yang memerlukan penghayatan dan mempunyai nada rendah dan tinggi selain mencipta gaya nyanyian yang boleh membezakan karektornya dengan penyanyi lain.

Lagu ‘Oh Ibu’ adalah kisah Neo sendiri.

Berkongsi mengenai video muzik (MV) dan konsep yang diketengahkan, Neo berkata MV memaparkan kedua ibu bapanya.

“MV ini sengaja diperlihatkan begitu kerana lagu ini sebenarnya untuk mereka. Konsep yang dipaparkan pula adalah kekeluargaan dan emosi. Lirik lagu ini penuh dengan perasaan, sama ada dari hati saya dan juga dari hati ibu saya. Ada beberapa klip yang memaparkan saya bersama keluarga dan ada juga yang memaparkan saya seorang diri.

“MV ini dirakam di luar dan juga dalam studio. Proses penggambaran selama tiga hari. Kru yang terbabit semuanya baik dan saya sempat disapa oleh pengikut media sosial saya sewaktu penggambaran MV ini,” ceritanya ceria.

Sebagai pendatang baharu, Neo berharap agar lagu pertamanya berjaya menarik minat masyarakat dan mendapat tempat di hati pendengar di samping menghayati maksud lagu ‘Oh Ibu’.

Lagu ‘Oh Ibu’ kini boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music dan video muzik juga ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.

Previous article‘My Lovely Driver’ tampilkan kelainan Trisha Ooi
Next articleRamadan Semakin Hampir, Jangan Lupa Qada Puasa (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here