Oleh Nury Kadir
Tinggal sepuluh hari sahaja lagi sebelum Ramadan bertamu. Selain qada puasa, kita juga mesti ambil tahu tentang fidyah kerana ia adalah perkara yang perlu dilakukan bagi yang meninggalkan puasa Ramadan.
Puasa Ramadan adalah puasa yang wajib ditunaikan pada waktu yang ditetapkan. Sebagaimana firma Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183, bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Namun sekiranya tidak mampu untuk berpuasa atas sebab keuzuran seperti sakit, musafir, haid, tua dan sebagainya maka wajib untuk menggantikannya semula pada hari yang lain. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.
Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Tetapi barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan maka itu lebih baik baginya dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”
Bolehkah kalau kita dengan sengaja tidak mahu menggantikan puasa dan memilih untuk bayar fidyah sahaja?
Ini huraian jawapan yang diberikan di dalam www.muftiwp.gov.my, golongan yang meninggalkan puasa dan hanya perlu membayar fidyah sahaja tanpa perlu qada puasa tersebut ialah golongan yang tidak mampu untuk berpuasa secara berterusan. Sepertimana yang dijelaskan dalam firman Allah SWT di awal artikel.
Golongan tersebut adalah mereka yang tidak mampu berpuasa kerana lanjut usia dan sakit kritikal. Mereka juga tiada harapan untuk sembuh dan apabila berpuasa akan menimbulkan kesukaran yang tidak mampu ditanggungnya. Menurut pandangan yang kuat di sisi mazhab al-Syafie, diwajibkan ke atas mereka untuk membayar fidyah sahaja satu mud bagi setiap hari yang ditinggalkannya tanpa perlu qada puasa tersebut.
Imam Syamsuddin al-Ramli dalam kitabnya, Nihayatul Muhtaj, pandangan yang kuat (dalam mazhab al-Syafie), wajib dikeluarkan fidyah satu mud bagi setiap hari bagi sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan kerana lanjut usia dengan menjadi orang tua yang tidak mampu untuk berpuasa pada bila-bila waktu pun. Jika dia mampu untuk berpuasa pada waktu-waktu tertentu, maka wajib ke atasnya untuk melakukan apa yang dia termampu pada ketika tersebut. Begitu juga seperti golongan yang tidak mampu untuk berpuasa wajib sama ada puasa Ramadan dan selainnya kerana sakit yang berkekalan dan tiada harapan untuk sembuh atau disebabkan kesukaran menimpanya yang tidak mampu untuk ditanggung.
Seterusnya dijelaskan juga bahawa, kewajipan menggantikan puasa bagi orang yang meninggalkan puasa kerana sakit bergantung kepada dua keadaan:
1. Sakit yang ada harapan untuk sembuh
Pesakit yang diharuskan berbuka puasa dan mempunyai harapan untuk sembuh adalah diwajibkan menggantikan puasa yang ditinggalkan apabila dia sudah mampu berpuasa.
2. Sakit yang tiada harapan untuk sembuh
Manakala pesakit yang tiada harapan untuk sembuh dan memang tidak mampu berpuasa, hukumnya tidak wajib berpuasa dan tidak wajib juga menggantikannya. Sebaliknya wajib membayar fidyah bagi bilangan hari berpuasa yang ditinggalkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT, maksudnya: “dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (Surah al-Baqarah:184)
Jika pesakit itu disangkakan tidak akan sembuh kemudian sembuh maka tetap tidak diwajibkan qada kerana telah diwajibkan fidyah. Ini adalah pendapat muktamad mazhab al-Syafie.
Imam al-Ramli berkata, “sesungguhnya pesakit itu tidak wajib untuk qada, sekiranya dia kembali mampu untuk berpuasa kerana puasa telah gugur daripadanya, sewaktu dia tidak dipertanggungjawabkan untuknya, sepertimana pendapat paling sahih dalam al-Majmu kerana dia pada permulaannya diwajibkan membayar fidyah, bukan sebagai ganti untuk puasa.”
Berkenaan keterangan di atas, al-Syabramallisi menyatakan bahawa menggantikan puasa adalah tidak wajib sekalipun fidyahnya masih berbaki belum dibayar.
Imam Ibn Hajar al-Haitami pula berhujah, “Dan jika dia kembali mampu selepas itu untuk berpuasa, maka dia tidak wajib untuk qada seperti mana yang dinyatakan oleh majoriti ulama.”
Manakala bagi wanita hamil dan menyusukan yang meninggalkan puasa Ramadan perlu qada tanpa bayar fidyah atau bayar fidyah tanpa qada. Dalam hal tersebut, keempat-empat mazhab fiqh Islam (Imam Syafie, Hambali, Hanafi dan Maliki) bersepakat bahawa jika seorang wanita hamil atau yang menyusukan anak berbuka puasa, dia tetap wajib untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan, tanpa mengira sama ada mereka berbuka kerana bimbangkan kesihatan diri sendiri atau kesihatan anak. Para ulama hanya berbeza pandangan tentang kewajipan untuk membayar fidyah dalam isu ini.
Meskipun ada pandangan daripada Ibn Umar dan Ibn Abbas yang hanya mewajibkan kedua-dua golongan itu membayar fidyah tanpa perlu qada puasa, namun pandangan ini dikira lemah dan bertentangan dengan pandangan ulama-ulama daripada empat mazhab. Bahkan menurut riwayat yang dibawa oleh Imam al-Baihaqi, sebenarnya Ibn Umar tetap mewajibkan wanita hamil berbuka untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan.
Qada Puasa Kerana Was-was
Bagi yang sihat, qada puasa wajib dilakukan jika meninggalkan puasa secara sengaja atau melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini berdasarkan perbuatan Aisyah yang diriwayatkan oleh Abu Salamah, maksudnya: “Pernah ada puasa daripada bulan Ramadan yang sepatutnya aku ganti. Aku tidak mampu untuk menqadanya kecuali pada bulan Syaban. Juga daripada (bersama) dengan Rasulullah SAW.” (Riwayat Muslim)
Namun tidak semua yang malas menggantikan puasa Ramadan yang ditinggalkan. Ada juga terlebih rajin dan merasakan puasa Ramadannya yang lepas tidak sempurna atau mungkin terbatal tanpa sengaja. Oleh kerana risau sangat puasanya tidak sempurna maka setiap hari diniatkan puasa qada untuk menggantikan 30 hari puasa Ramadan yang dirasakan was-was tentang kesempurnaannya. Betulkah cara yang dlakukan itu?
Inilah jawapannya, jika ragu-ragu atau was-was terhadap puasa yang telah dilakukan pada Ramadan yang lepas, maka tidak perlulah diganti.Ini kerana ianya tetap sah. Ini berdasarkan kaedah :الأصل بقاء ما كان على ما كان
Maksudnya: ”Asal (bagi satu hukum) adalah mengekalkan sepertimana ia.”
Sehubungan dengan itu Mufti Wilayah Persekutuan (www.muftiwp.gov.my) menasihatkan agar jangan berlebih-lebih dan melampau-melampau walaupun melibatkan bab ibadat. Perkara ini telah diingatkan oleh Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud :
Maksudnya: “Hancurlah orang yang melampau-lampau. Nabi SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali.” (Riwayat Muslim)
Begitu juga, jauhilah sifat was-was dan ragu-ragu. Inilah hasil dari bisikan syaitan yang akhirnya menatijahkan kepayahan dan menyebabkan kehidupan seharian menjadi rumit. Bahkan Nabi Adam a.s pun tidak terlepas daripada bisikan syaitan.
Firman Allah SWT dalam surah Toha ayat 120, maksudnya: “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
Penyakit was-was ini telah diingatkan oleh Nabi SAW dan diberikan penyelesaian oleh Baginda. Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya syaitan ada bisikan kepada anak adam dan malaikat juga ada bisikan. Adapun bisikan syaitan, ia adalah bisikan keburukan dan memalsukan kebenaran. Adapun bisikan malaikat adalah bisikan kebaikan dan membenarkan perkara yang hak.
Barangsiapa yang terlintas akan bisikan kebaikan ketahuilah ia adalah daripada Allah. Maka pujilah Allah. Sesiapa yang mendapat selain dari itu (iaitu bisikan keburukan) maka berlindunglah dengan nama Allah daripada syaitan yang direjam. Kemudian Baginda membaca : “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji.” (Surah al-Baqarah : 268). (Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra). Jika berlaku was-was, ucapkanlah أعوذ بالله من الشيطان الرجيم.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.