Oleh Wawa Najwa
Nama Eda Ezrin dan Den Manjo mungkin agak baharu bagi peminat muzik di luar Kelantan. Namun di sebelah Pantai Timur, nama Eda Ezrin dan Den Manjo adalah antara yang popular di kalangan penggemar lagu dialek atau loghat Kelantan.
Kali ini pasangan duet itu muncul dengan lagu “Cinta Setandan Pisang”, ciptaan komposer terkenal Eddie Hamid dan lirik dihasilkan oleh Mama Ana dan Fadhil Turbo. Single ini diterbitkan oleh Kijang Music.
Ini bukanlah kali pertama Eda Ezrin dan Den Manjo berkolaborasi kerana sebelum ini mereka pernah bekerjasama dan “Cinta Setandan Pisang” merupakan lagu duet ketiga mereka.
Menurut Eddie, beliau mengambil masa selama sebulan untuk menghasilkan lagu yang berentak Etnik Pop Kontemprari. Meskipun kedua-dua mereka pernah bergandingan sebelum ini, namun “Cinta Setandan Pisang” merupakan lagu pertama yang mereka bekerjasama dengan Eddie.
Eddie yang juga seorang penyanyi dan popular dengan lagu “Segalanya Telah Berakhir” itu ada sebab kenapa memilih Eda Ezrin dan Den Manjo untuk menyanyikan lagu ciptaannya.
“Orang luar dari Kelantan, mungkin tak kenal mereka tapi di sebelah Pantai Timur nama kedua-dua mereka ini adalah di tangga teratas. Disebabkan populariti mereka itulah saya pilih mereka untuk nyanyikan lagu ciptaan saya.
“Mereka mempunyai suara yang baik, khususnya untuk lenggok lagu dialek Kelantan. Alhamdulillah, percubaan pertama Kijang Music untuk menampilkan mereka berhasil.
“Lagu “Cinta Setandan Pisang” antara lagu yang paling viral dan dalam masa dua minggu sahaja lagu ini telah trending di beberapa platform termasuk YouTube dan TikTok,” kata Eddie yang mengambil masa seminggu untuk menyelesaikan proses pembikinan lagu ini yang dirakam di studio K Seventh Kota Bharu, Kelantan.
Tambahnya, lagu “Cinta Setandan Pisang” ini berkisar tentang kehidupan manusia yang sejak azali bukanlah insan yang sempurna.
“Kita selalu dengar peribahasa, pisang tak berbuah dua kali atau dalam setandan pisang pasti ada yang buruk. Begitu jugalah dengan kehidupan manusia, dalam sebuah keluarga pasti ada yang kurang.
“Lagu ini membawa maksud dalam setandan pisang itu bukanlah semua buruk dan begitu juga dengan manusia yang sedang dilambung cinta atau hubungan suami isteri, sebaik mana pun hubungan mesti ada sedikit kekurangannya,” jelasnya.
Eddie selaku Pengurus Kijang Music berkata, beliau mahu mengetengahkan lagu-lagu dialek Kelantan ke peringkat arus perdana kerana karya sebegitu mudah mendapat tempat di hati pendengar Pantai Timur.
Sementara itu, Eda Ezrin atau nama sebenarnya, Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 29, dan Den Manjo atau Mohd Hafizudin Md Yusof, 27, melahirkan rasa bertuah kerana diberi kepercayaan untuk merakam lagu “Cinta Setandan Pisang”.
“Ini adalah idea Abang Eddie Hamid untuk saya berduet sekali lagi dengan Eda Ezrin. “Cinta Setandan Pisang” merupakan lagu ketiga saya berduet dengan Eda Ezrin.
“Tak ada masalah sewaktu dalam studio kerana ini bukan kali pertama saya dan Eda menyanyi bersama. Semuanya berjalan lancar dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada abang Eddie. Kami ambil masa sejam lebih saja untuk selesaikan rakaman,” kata Den Manjo yang aktif sebagai penyanyi Dikir Barat.
Den Manjo, anak ketujuh daripada lapan beradik yang berasal dari Kampung Palekbang, Tumpat, Kelantan, itu mula menyanyi dari sekolah rendah.
“Mula-mula saya nyanyi nasyid, masuk sekolah menengah masih nyanyi nasyid juga. Saya mula sertai dikir barat sewaktu tingkatan empat sehingga sekarang.
“Untuk memartabatkan seni, saya akan terus perbaiki diri kerana saya nak pupuk semangat di kalangan anak-anak Pantai Timur agar jangan pandang rendah pada dikir barat,” katanya yang merupakan peminat irama dangdut dan koplo.
Sementara itu, Eda Ezrin, anak pertama dari empat beradik yang berasal dari Kampung Perol, Kota Bahru, Kelantan itu mula menyanyi sejak usia 12 tahun.
“Memandangkan saya adalah penyanyi bebas, saya boleh berduet dengan sesiapa saja asalkan serasi. Setakat ini kebanyakan lagu dendangan saya adalah dalam loghat Kelantan.
“Alhamdulillah, setakat ini bersyukur dapat bekerjasama dengan Eddie Hamid. Kalau ada rezeki saya harap lagu “Cinta Setandan Pisang” bukan setakat popular di kalangan peminat Pantai Timur saja, kalau boleh biarlah lagu itu memasuki pasaran arus perdana,” katanya penuh harapan.
Lagu “Cinta Setandan Pisang” boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Kijang Music.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.