Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Datuk D.J. Dave/Koleksi Syed Wafa
Menjelang hari raya
Berakhirnya puasa
Bergema takbir senja
Menyambut syawal tiba
Suasana riang ria
Terlihat sini sana
Menyeri malam raya
Terhias indah rupa
Oh cantik berseri-seri
Tua dan muda berpakaian serba baru
Oh sungguh meriahnya
Miskin kaya pun turut bergembira
Itulah antara bait-bait lagu popular Menjelang Hari Raya nyanyian Datuk D.J. dirakamkan pada tahun 1978. Walaupun lagu tersebut sudah berusia 46 tahun namun lagu itu terus menjadi siulan ramai dan malar segar hingga ke hari ini.
Mengulas mengenai Menjelang Hari Raya, Dave bersyukur, biarpun sudah puluhan tahun, lagu itu terus menjadi pilihan ramai dan sering diputarkan radio setiap kali menjelang Syawal.
“Komposer dahulu menghasilkan lagu mengikut kesesuaian suara penyanyi. Tidak hairan, kebanyakan lagu lama dapat bertahan, malah turut diminati pendengar muda. Itu sebabnya lagu tersebut masih dapat bertahan dan sering diputarkan setiap kali menjelangnya Hari Raya.
“Saya bertuah mendapat lagu yang cukup rasa. Lagu ini seperti ‘nyawa’ dan setiap kali musim Aidilfitri, ia antara sentuhan yang menjadi pilihan untuk menaikkan semangat berhari raya.
“Saya bersyukur, lagu itu masih bertahan hingga hari ini. Malah, kehebatan S Atan juga membuatkan barisan Saya akui, sentuhan S Atan masih relevan dan mampu membangkitkan nostalgia,” katanya yang mewarisi bakat datuk dan ibunya yang boleh menyanyi.
D J Dave atau nama barunya Irwan Shah Abdullah berkata, lagu itu mempunyai banyak memori kepada saya.
“Saya ada mak angkat di Kampung Baru dan saya selalu bersama orang-orang Melayu, itu sebabnya lepas tujuh bulan lagu Menjelang Hari Raya, saya terus memeluk agama Islam. Saya bertuah mendapat sokongan keluarga angkat dan rakan-rakan untuk lebih mendalami agama ini.
‘’Selain lagu itu, saya ada juga nyanyikan semula lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee iaitu Suara Takbir. Kini saya sedang hasilkan lagu raya untuk tahun hadapan dan liriknya akan saya serahkan kepada penulis lirik pilihan saya.
Ceritanya dah ada dalam kepala saya dan tunggu masa saja untuk disiapkan,”katanya lagi.
DJ Dave yang lahir pada 14 Februari 1948 mendapat pendidikan awal di Kampar, Perak sebelum menyambung tingkatan empat dan lima di Methodist English School, Tanjung Malim, Perak.
Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Seruling Kasih kemudian berkelana ke Kuala Lumpur bagi meneruskan pengajian tingkatan enam di sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur.
Selepas itu, DJ Dave tidak berminat menyambung pelajaran kerana sudah mendapat tawaran bekerja sebagai kerani di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur dengan gaji sebulan RM140. Sebelum itu, dia pernah bergelar guru selama sembilan bulan dan mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Matematik di sekolah menengah.
Sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, D J Dave berbangga kerana dikurniakan pingat Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sekali gus membawa gelaran Datuk sempena Istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 2023
Kerjaya Dave mula menjulang dalam arena seni suara menerusi lagu irama Hindustan seperti Maafkanlah, Ku Tak ingin Menangis Lagi dan Harum Bunga Kembang apabila dia mula menjadi artis rakaman Life Rekod pada tahun 1972.
Selain lagu hari raya, D. J Dave juga popular dengan lagu Teman Setia, Mengapa Aku, Masa Merubah Segalanya, Hanya Mimpi, Nora, Cinta Abadi, Cantik Molek Hai Buah Hatiku dan Mari Berdansa
Aktif dengan badminton dan YKAT
Dalam melalui kehidupan sehari-hari, DJ Dave lebih suka membuatkan dirinya sibuk daripada duduk membuang masa. Jadi tidak hairanlah DJ Dave begitu sihat berbanding lelaki yang seusianya.
Bagi membuatkan dirinya sihat, DJ Dave akan meluangkan masa bermain badminton tiga kali seminggu. Masa yang akan dihabiskannya untuk mengeluarkan peluh dan berlatih untuk menghadapi kejohanan ini selama selama dua jam di Dewan Selangor Badminton Associaton, Kampung Attap.
“Saya baru balik menyertai kejohanan badminton di Taiwan. Syukurlah saya dapat kalahkan beberapa pemain dapat masuk final dan akhirnya saya mendapat tempat kedua.
“Inilah rahsia saya untuk kekal cergas seperti hari ini. Dah berusia ini kita kena sentiasa berfikiran positif dan tak perlu nak fikirkan masalah,” kata bapa kepada tiga orang anak dan tujuh orang cucu ini.
Sebagai artis, DJ Dave yang juga popular menerusi lagu Ingin Bersua, Maafkanlah, Rintihan Rasa dan Di Desa Kasihku Tertumpah terpanggil untuk membantu rakan-rakan artis untuk membela nasib mereka. Disebabkan itu DJ Dave aktif selaku pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT).
Meskipun telah berusia 12 tahun, Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) tidak pernah berhenti untuk terus membantu para artis yang memerlukan.
Pengerusinya, DJ Dave berkata, Sehingga hari ini kami masih terus membantu artis dengan lapan orang mendapat pencen bulanan.
Kami berharap akan terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dari segi tajaan dana atau bantuan lain agar kebajikan artis tanah air terbela. Kami harap tidak ada artis yang terpinggir. Bukan saja artis di Semenanjung, malah kami turut membantu veteran artis di Sabah sebagai tanda penghargaan pembabitan mereka dalam bidang seni.
“Bukan itu sahaja, malah ketika negara dilanda pandemik Covid-19, kami tidak pernah berhenti membantu dan menyantuni golongan artis. Setakat ini yayasan telah membantu 1,900 insan seni dan usaha kami ini akan diteruskan.”
Selain DJ Dave, YKAT turut dianggotai Datuk M. Nasir sebagai Naib Presiden, Datuk Yusof Haslam, Datuk Nash, Datuk Nancie Foo, Dr. S. Kanagarajan, Colin Lionel Edmonds, Datuk Andrew Lim Tatt Keong dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmad Zainuddin.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.