Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

WALAUPUN dengan populariti yang dimiliki ketika berusia empat tahun setengah mampu menjadi tiket untuk beliau mencipta nama sebagai pelakon terkenal tetapi itu bukanlah janji yang pasti.

Selepas beliau berlakon dalam filem “Bujang Lapok”sebagai ‘Ayu 20 sen’ yang diingati para peminat filem pada era Studio Jalan Ampas pada tahun 1957, sebenarnya telah membuka ruang untuknya terus berlakon dan mencipta nama tetapi semua itu hanya tinggal impian!

SRI Rahayu popular dengan wataknya sebagai ‘Ayu 20 sen’ dalam filem pertama komedi muzikal “Bujang Lapok” arahan P. Ramlee.

Sebabnya, watak beliau sebagai ‘Ayu 20 sen’ dalam filem berkenaan seolah-olah adalah filem pertama dan terakhir beliau diberi watak penting yang diingati sehingga hari ini

Setelah berlakon dalam filem berkenaan, seorang pengarah dari Filipina yang tertarik dengan lakonan Ayu, menawarkan beliau berlakon dalam filem arahannya.

AYU 20 sen yang sering mengugut kakaknya, Zaiton.
SRI Rahayu dalam ‘babak pertama’ sebagai adik Rokiah di sebuah restoran dalam filem “Bujang Lapok.”

Sayangnya hasrat Ayu untuk membintangi filem “Golden Trumpet” (working title) hanya tinggal impian apabila pengarah berkenaan terlibat dalam kemalangan di Filipina yang menyebabkan isterinya meninggal dunia lalu membatalkan projek berkenaan.

Bukan itu sahaja, malah bapanya, S.Sudarmaji juga tidak membenarkan beliau berlakon dalam filem “Batu Belah Batu Bertangkup” arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong (1959).

BETAPA nakalnya ‘Ayu 20 sen’… dalam ‘tidur’ pun boleh ugut Kak Zaiton!
‘AYU 20 sen’ dalam satu babak dari filem “Bujang Lapok.”

Melalui filem itu, Ayu ditawarkan watak sebagai Pekan yang mana akhirnya watak tersebut diberikan kepada Bat Latiff.

Adalah difahamkan S. Sudarmaji tidak membenarkan Sri Rahayu berlakon dalam filem berkenaan kerana tidak mahu beliau aktif sebagai pelakon.

DENGAN ‘taglinenya’ dan signal dua jari…watak Sri Rahayu sebagai ‘Ayu 20 sen’ tetap diingati walaupun filem “Bujang Lapok” sudah melebih enam dekad!

Itulah Sri Rahayu Syed Sudarmaji, 71, yang menyantuni watak ‘Ayu 20 sen’ dan diminati ramai sehingga hari ini. Sri Rahayu, adalah anak tunggal kepada S. Sudarmaji dan Kamsini Kamijo yang dilahirkan pada 4 Jun 1952 di Singapura.

Menyingkap kembali bagaimana beliau diberi peluang berlakon dalam filem “Bujang Lapok,” sebagai Ayu yang meminta upah hanya ‘20 sen’ untuk menyimpan rahsia percintaan antara kakaknya, Zaiton dengan Sudin, tentu anda terkejut.

Sri Rahayu bersama ayahnya, Allahyarham S. Sudarmaji dan ibunya, Allahyarham Kamsini Kamijo.

Semuanya bermula kerana ayahnya, S. Sudarmaji adalah pelakon, pengarah, penulis lirik, penulis skrip yang rapat dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Adalah difahamkan, Sri Rahayu hanya diberitahu oleh ayahnya, P. Ramlee mahu mengambil beliau berlakon dan beliau bersetuju kerana sering mengikut ayahnya ke studio dan kenal dengan semua pekerja di Studio Jalan Ampas.

ALLAHYARHAM S. Sudarmaji ayah Sri Rahayu yang juga merupakan ‘orang kanan’ P. Ramlee yang berbakat dan serba boleh.

Bukan itu sahaja, malah Ayu akui ketika zaman kanak-kanak beliau sangat nakal dan sering berseluar pendek tanpa baju.

Mungkin ramai yang tidak perasan dalam filem berkenaan Rahayu bukan melakonkan satu watak sahaja sebagai ‘Ayu 20 sen’ malah beliau memainkan dua watak dengan yang pertama berambut panjang untuk babak P. Ramlee belanja Rokiah dan 10 lagi adik beradiknya makan.

SRI Rahayu di zaman remaja…memiliki wajah yang cantik menawan.

Dalam babak tersebut beliau dikehendaki melompat-lompat di atas meja makan restoran. Kemudian rambutnya dipotong pendek untuk melakonkan watak Ayu.

Rahayu hanya diberi skrip ketika di lokasi dan beliau menghafal skrip sebelum penggambaran dimulakan.

Babak pertama yang dilakonkan ketika P. Ramlee membelanja Rokiah dan 10 lagi adik-beradiknya makan dan beliau melompat-lompat di atas meja makan.

BERDIRI dari kiri: Sri Rahayu, Ribut Rahmat, Sanisah Huri dan S. Roha pada tahun 1967

Selepas babak itu, rambut Rahayu dipotong pendek seperti lelaki dan selepas itu barulah penggambaran babak ‘Ayu 20 sen’ dimulakan.

Menurut Rahayu, beliau tidak menghadapi masalah melakonkan watak tersebut kerana sewaktu kecil beliau memang tidak suka berbaju sama seperti watak ‘Ayu 20 sen’ dalam filem “Bujang Lapok!”

SELAIN berlakon Sri Rahayu juga berbakat sebagai penari.

Bagaimanapun kata Rahayu, kenangan yang tidak boleh dilupakan apabila beliau menghadapi masalah untuk berdialog kerana terlalu mengantuk semasa babak Sudin dan Zaiton berbincang mengenai perkahwinannya di bawah sampan.

“Shooting dimulakan pada pukul 12.00 tengah malam dan apabila berkali-kali kena ‘take’ P. Ramlee menghentikan shooting dan mengajak kami minum kopi ‘O’ (minuman kegemaran P. Ramlee).

“Alhamdulillah setelah minum kopi mata segar, shooting dapat diteruskan,” cerita Sri Rahayu.

KELUARGA bahagia…Sri Rahayu ( barisan tengah dua dari kiri) dan suami, Muhammad Gazi (sebelah Rahayu) bersama anak-anak dan cucu mereka.

Setelah penggambaran, Sri Rahayu harus melalui proses ‘dubbing’ (memasukkan suara) dan selalunya beliau hadir bersama ayahnya yang akan menepuk di bahagian belakang badannya apabila beliau perlu bercakap sama seperti yang dituturkan ketika penggambaran.

Selepas berlakon filem berkenaan, Sri Rahayu muncul dalam satu babak menari hula hoop dalam filem “Saudagar Minyak Urat” arahan Ramon A. Estella (1959) dan sebagai penari dalam filem “Lampong Karam” arahan S. Kadarisman (1967).

AYU 20 sen…hari ini.

Kini Sri Rahayu, 71, hidup bahagia disamping suaminya, Muhammad Ghazi,79 tahun. Mereka mempunyai dua orang anaknya, Sri Ikarostika Rahayu,50, dan Muhammad Syarzril, 41, dan beberapa orang cucu.

SYED Wafa (penulis) bersama ‘Ayu 20 sen.’
Previous articleLagu Hari Raya Datuk D.J. Dave tetap malar segar
Next articlePes Sup & Sambal Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Ayam Percik Di Aidilfitri!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here