Image by freepik

Oleh : Nury Kadir

Allah SWT meletakkan berbuat baik kepada ibu bapa setelah perintah mentauhidkan-Nya serta tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu. Berbanding bapa, Allah perintahkan berbuat baik kepada ibu, tiga kali lebih utama. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?’’ Maka Rasulullah S.A.W. menjawab:
أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
Maksudnya: “Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.” (Riwayat Muslim)

Dikutip keterangan mengenai hadis tersebut di www.muftiwp.gov.my., seorang ibu didahulukan dalam proses berbuat baiknya seorang anak itu kepada kedua ibu bapanya sebanyak tiga kali ke atas bapanya. Menurut Imam al-Haris al-Muhasibi, dalam mentafdhilkan (mengutamakan) berbuat baik kepada ibu ke atas bapa disebabkan sarihnya madlul (isi yang ditunjukkan) oleh hadis tersebut.

Manakala perkataan حُسْنِ الصُّحْبَةِ di dalam hadis tersebut membawa maksud berbuat baik, berlemah-lembut, merendahkan diri di hadapan mereka, mengasihi, memuliakan serta mentaati mereka dalam hal-hal yang makruf.

Ini dibuktikan dengan beberapa firman Allah S.W.T dalam surah al-Isra’ ayat 24, maksudnya: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan, kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka berdua mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Image by freepik

Berbuat baik kepada ibu bukan sesuatu yang sia-sia melainkan Allah anugerah dengan kebaikan yang lain ke atas kita. Sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Antaranya:

1. Peribadi Akan Menjadi Santun dan Bahagia
Firman Allah SWT, maksudnya: “Dan aku (Nabi Isa) berbuat baik kepada ibuku dan Allah tidak menjadikan aku ini bersikap keras dan derita.” (Surah Maryam:32)

Maka difahami daripada ayat di atas bahawa Allah SWT tidak menjadikan Nabi Isa AS sebagai seorang yang keras (sombong dan bongkak) dan juga orang yang menderita, sebaliknya baginda menjadi individu yang santun dan bahagia disebabkan ketaatan baginda kepada ibunya, Maryam.

2. Memperoleh Kemustajaban Doa
Hadis di dalam Sahih Muslim, dicatatkan berkenaan kisah pertemuan Saidina ‘Umar al-Khattab RA dengan Uwais al-Qarani. Riwayat tersebut adalah daripada Usair bin Jabir, katanya: ‘Umar bin al-Khattab ketika didatangi oleh serombongan pasukan dari Yaman, beliau bertanya, “Apakah dalam kalangan kamu ada yang bernama Uwais bin ‘Amir?” Sehinggalah ‘Umar menemui ‘Uwais lalu bertanya, “Benarkah engkau adalah Uwais bin ‘Amir?” Uwais menjawab, “Ya, benar.” Umar bertanya lagi, “Benar engkau dari Murad, dari Qaran?” Uwais menjawab, “Ya.”

Umar bertanya lagi, “Benarkah engkau dahulu menghidap penyakit kulit, kemudian sembuh kecuali sebesar satu dirham?.” Uwais menjawab, “Ya.” Umar bertanya lagi, “Benarkah engkau memiliki seorang ibu?” Uwais menjawab, “Ya.” Umar berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Nanti akan datang kepada kamu seseorang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan pasukan dari Yaman. Dia berasal dari Murad, Qaran. Dia menghidap penyakit kulit, kemudian dia sembuh daripadanya kecuali sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu dan sangat berbakti kepadanya. Sekiranya dia bersumpah kepada Allah, maka akan diperkenankan apa yang dia pinta. Jika kamu mampu agar dia memohon pada Allah keampunan bagimu, maka lakukanlah.” (Riwayat Muslim)

Image by freepik

Umar pun berkata, “Mohonlah kepada Allah agar Dia mengampuniku.” Kemudian Uwais mendoakan Umar dengan meminta keampunan kepada Allah. Umar pun bertanya kepada Uwais, “Engkau hendak ke mana?” Uwais menjawab, “Ke Kufah.” Umar pun berkata kepada Uwais, “Bagaimana jika aku menulis surat kepada Gabenor di negeri Kufah (supaya membantumu)?” Uwais menjawab, “Aku lebih suka menjadi orang yang lemah (miskin).”

Rasulullah SAW menyarankan Umar al-Khattab seorang sahabat yang begitu hebat untuk meminta Uwais al-Qarani yang merupakan seorang tabiin memohon keampunan Allah untuk Umar. Sedangkan Umar berada pada kedudukan yang jauh lebih tinggi dan afdhal berbanding Uwais. Hal ini tidak lain tidak bukan adalah disebabkan amalan mulia yang dilakukan oleh Uwais al-Qarani, seperti yang dikatakan oleh Nabi SAW, maksudnya: “Dia (Uwais) mempunyai seorang ibu yang dia amat taat kepadanya.”

Justeru, dapat diambil isyarat daripada hadis itu bahawa perbuatan berbuat baik dan mentaati ibu akan menjadikan seseorang itu memperoleh doa yang mustajab.

Berbalik kepada persoalan mengapa keutamaan berbuat baik kepada ibu tiga kali lebih utama berbanding ayah? Imam al-Nawawi menukilkan pendapat para ulama,”Sebab didahulukan seorang ibu (dalam berbuat baik) adalah kerana banyaknya kepenatan yang ditanggung oleh seorang ibu disebabkan anaknya. Demikian juga kerana sifat kasih dan sayangnya ibu kepada anak, serta berterusan kepayahan yang ditanggungnya sepanjang proses mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian menyusukannya, kemudian mendidik dan membesarkan anak serta sakit yang ditanggungnya sepanjang proses tersebut.” (Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi)

Image by freepik

Manakala Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari dalam syarahannya ke atas hadis ini berkata, ‘’Sebab didahulukan ibu sebanyak tiga kali ada diisyaratkan melalui firman Allah SWT, maksudnya: “Seorang manusia itu, dia telah dikandungkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kesukaran dan begitu juga dia dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kepayahan. Dan kandungan serta susuan (kepada anak) adalah selama tiga puluh bulan.” (Surah Al-Ahqaf:15)

Maka didahulukan ibu sebanyak tiga kali adalah disebabkan tiga perkara yang terkhusus dengan seorang ibu iaitu kepenatan dalam mengandungkan bayi, kesukaran dalam proses melahirkan anak, serta ujian yang dihadapi semasa menyusukan bayi.” (Mirqaat al-Mafatiih, Mulla Ali al-Qari).

Akhir sekali, tidak perlu tunggu Hari Ibu untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu, lakukannya seperti kita bernafas. Oksigen itu dihirup tidak perlu diarahkan, ia adalah semulajadi. Ibu itu adalah oksigen yang kita sentiasa perlukan, jaga dengan baik tanpanya kita bukan sesiapa. Dan, inilah doa yang kita perlu baca setiapa hari:

رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan, kasihilah keduanya (ibu bapa ku) sebagaimana mereka mendidik aku semasa aku kecil.” (Surah Al-Isra’ (24).

 

Previous articleDi sebalik kemerduan suara Rahmah Ali
Next articleTanda dan simptom kanser serviks yang ramai wanita tak tahu! (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here