Dwen lagu-lagunya sentiasa menjadi malar segar

Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Dwen/Koleksi Syed Wafa

KALAU ditanya pada generasi baharu, kenal tak dengan penyanyi Dwen? Pasti ada yang bertanya siapa tu! Generasi sekarang mungkin tidak tahu siapa Dwen, tapi yang terlibat dalam sukan taekwondo pasti mengenalinya sebagai Master.

Meskipun wajahnya jarang terpampang di dada akhbar atau laman sosial hiburan, namun dua lagu dendangannya iaitu Suatu Waktu Dahulu dan Satu Penantian yang diterbitkan pada 1980-an masih diminati hingga kini menjadi malar segar.

Dwen sewaktu zaman kanak-kanak.

Malah lagu Suatu Waktu Dahulu, ciptaan Fauzi Marzuki dan lirik oleh Datuk Habsah Hassan itu juga pernah ke pentas Anugerah Juara Lagu pertama (AJL1) pada 1986.

Dwen, 67, yang turut terlibat dalam persembahan Showcase Amal Artis Legenda 4.0 di Hotel Grand Barakah, baru-baru ini memberitahu bahawa itu adalah penampilan terakhirnya sebagai artis dan ingin terus bersara sebagai anak seni.

Lagu Satu Penantian melonjak nama Dwen di persada seni hiburan tempatan.

Menurut Dwen, kalau ikutkan beliau enggan menjayakan persembahan anjuran Nizam Laksamana Production itu kerana mahu bersara dari menyanyi, namun atas pujukan daripada Nizam, beliau turutkan juga kerana persembahan itu berkonsep amal.

Tatkala bertemu dengannya sebelum persembahan, Dwen memberitahu beliau tidak menyesal membuat keputusan untuk bersara kerana selesa menjalani kehidupan seperti orang biasa.

Lagu Suatu Waktu Dahulu layak ke AJL1 pada 1986.

Rupa-rupanya Dwen lebih senang jika orang ramai tidak mengenalinya sebagai penyanyi, cukuplah mengenalinya sebagai Ridzwan Abu Hassan iaitu nama sebenarnya atau sebagai tenaga pengajar taekwondo.

“Sepanjang saya menjadi jurulatih taekwondo pun awal-awalnya, anak didik tak tahu yang saya pernah menyanyi dan ada album.

“Mereka akan mula bertanya, adakah saya seorang penyanyi selepas dimaklumkan oleh ibu bapa masing-masing. Ada yang terus tanya saya, Sir, mak saya kata Sir ni penyanyi! Selagi boleh elak saya akan elak.

Dwen bersama rakan artis yang menjayakan Showcase Amal Artis Legenda 4.0 di Hotel Grand Barakah, baru-baru ini.

“Biasalah budak-budak sekarangkan bijak. Bila saya nafi status saya yang pernah menyanyi dulu, terus mereka buka YouTube dan tunjuk, ini Sir kan?,” katanya yang sudah lama menjadi jurutlatih seni mempertahankan diri itu.

Penyanyi yang berasal dari Sarawak dan membesar di Brunei itu memberitahu, kalau ikut perancangan beliau hanya akan menetap di Malaysia hingga hujung tahun ini.

Setuju terima pelawaan untuk jayakan Showcase Amal Artis Legenda atas ajakan Nizam Laksamana kerana membantu insan seni dan media

“Ikut perancangan, tahun ini adalah tahun akhir saya di Malaysia. Masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya balik Brunei dan pada Mei 2020 diminta datang semula sebagai tenaga pengajar untuk Independent Martial Arts Academy yang saya tubuh dulu.

“Sebenrnya taekwondo ini tidak boleh dipisahkan kerana sejak sekolah saya sudah sertai taekwondo dan saya pernah wakili Malaysia pada 1999 di Argentina, International World Taekwondo Championship. Malah ada kalangan anak-anak murid saya yang pernah wakili negara,” katanya yang merupakan suami kepada Junaidah Haji Awang Apong.

Dwen ucap selamat tinggal buat semua peminat di persembahan terakhir beliau baru-baru ini dan ternyata penonton sebak

Ayah kepada enam orang anak dan datuk kepada 15 orang cucu itu membuat keputusan untuk bersara bukan baru sekarang tetapi sudah lama.

Sewaktu namanya di puncak lagi Dwen sudah membuat keputusan dan sempat mengecapi populariti selama lima tahun saja. Pada 1996, Dwen benar-benar mengundurkan diri dari dunia glamor.

Dwen lebih selesa kalau orang mengenalinya sebagai Ridzwan Abu Hassan.

“Walaupun saya dikenali dan dapat menghibur orang ramai namun jauh di sudut hati saya terasa kosong. Atas dasar mahu mengisi kekosongan jiwa itulah saya mengambil keputusan mengundurkan diri dan mencari jawapannya iaitu agama.

“Bukan nak cari rezeki atau populariti, kalau boleh saya nak cuba low profile bila saya tak kenal. Saya suka suasana begitu. Kalau boleh orang tak kenal, bila berjalan mudah. Saya lebih senang begitu.

“Sebenarnya tawaran untuk buat persembahan memang ada, cuma saya yang menolak. Yang Nizam ini pun saya sudah menolak beberapa kali tapi kawan punya pasal, tak apalah saya tolong.

Kini bergelar “Master” dalam sukan taekwondo

“Bagi saya, kita kena akui bahawa zaman kita dah berakhir. Bagi saya, kalau sekarang ini bukan era kita, lupakanlah saja. Setiap artis ada caranya yang tersendiri, ada yang mahu dikenali tapi saya pula tak minat,” kata Dwen yang biasanya akan balik ke Brunei dalam tempoh dua tiga bulan sekali.

Kesungguhannya untuk tidak dikaitkan lagi dengan dunia hiburan menyebabkan Dwen tidak pernah mengambil tahu perihal royalti tentang lagu-lagu dendangannya itu.

Sebagai jurulatih taekwondo yang dihormati oleh anak didiknya.

Bagi Dwen, biarlah beliau mengakhiri perjalanan kehidupannya sebagai Ridzwan dan bukan artis kerana lebih senang cara begitu.

“Saya tak pernah ambil tahu pasal royalti dan tak pernah ambil sejak saya berhenti menyanyi. Setiap orang ada eranya tersendiri, bila sampai masa undur diri, kita pun undurlah dengan rela hati.

“Anak-anak kalau nak main muzik saya tak halang dan menggalakkan, terserah mereka kerana masing-masing ada keluarga,” katanya yang bersih dari kontroversi sepanjang bergelar insan seni.

Previous articleRugi Tak Datang Konsert “Walker World” Menampilkan Putri Ariani!
Next articleImpian Putri Ariani yang belum kesampaian!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here