Oleh : Syed Wafa
Foto : Megatix Malaysia
Produser muzik dan DJ popular dunia, Alan Walker bakal mengadakan konsert Walkerworld Tour 2024 di Surf Beach, Sunway Lagoon, Subang Jaya, Selangor pada 22 Jun 2024.
Kehadiran pemuzik terkenal antarabangsa itu pastinya merupakan satu berita yang ditunggu-tunggu oleh para peminat genre Electronic Dance Music (EDM), khususnya peminat setia Alan Walker.
Persembahan yang bakal diadakan itu juga akan menampilkan kolaborasi bersama seorang penyanyi Indonesia, Putri Ariani.
Alan Walker bakal mengadakan konsert Walkerworld Tour 2024 pada 22 June 2024.
Alan Walker berkata, dia sendiri yang memilih untuk berkolaborasi bersama Putri Ariani menerusi lagu Who I Am kerana terpesona dengan suara lunak gadis berusia 18 tahun itu ketika menonton program cungkil bakat di televisyen.
“Saya ketika itu menonton persembahan program America’s Got Talent (AGT) di televisyen.
“Suara dia (Putri Ariani) sangat mengagumkan dan indah yang mampu memikat jiwa, jadi saya minta dia untuk kolaborasi bersama saya dalam menyampaikan lagu Who I Am,” katanya.
Artis EDM itu berkata sedemikian pada sidang media konsert Walker World Tour 2024 di Sunway Resort, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Melangkaui sempadan melalui muzik, konsert itu juga akan membuat kemunculan penyanyi terkenal seperti Robin Packalen dan Sofiloud untuk menghangatkan lagi persembahan yang bakal dibuat.
Konsert yang dibawakan oleh Megatix Malaysia itu juga menjanjikan persembahan luar biasa kepada pendengar setia lagu Alan Walker.
“Sekarang sudah cecah 5,000 tiket yang sudah dijual, kami sasar penjualan tiket dalam 10,000 hingga 15,000,” kata Alan.
Tiket untuk Walkerworld Tour Malaysia dijual pada harga RM289 dan RM189, dan boleh dibeli menerusi https://megatix.my/#/.
Sebelum ini, Alan Walker pernah menjadi fenomena dalam dunia muzik menerusi lagu berjudul Faded pada Disember 2015.
Lagu tersebut dimainkan sebanyak 1.4 bilion kali di laman Spotify dan meraih 3.1 bilion jumlah tontonan di YouTube.
Selain itu, lagu Faded turut melayakkan artis berkenaan dicalonkan dalam anugerah The BRIT Awards (BRIT) bagi kategori Lagu Terbaik Sepanjang Tahun.
Bukan itu sahaja, Alan Walker berjaya membuat persembahan di lebih daripada 650 buah pertunjukan dan festival besar di seluruh negara.
Pengarah Megatix Sdn Bhd, Ridzuan Mohammad berkata, bagi peminat Alan Walker rugi tidak datang menyaksikan konsert hebat ini kerana menampilkan Putri Ariani yang menjadi fenomena dunia sekarang.
Menurut Datuk Shariffah Maznee Al-Attas Haji Syed Noor Osman, Pengerusi Bukan Eksekutif Magatix Malaysia, Sebahagian daripada jualan tiket akan disalurkan kepada NGO Family of Charity yang juga merupakan rakan strategik kepada Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.
“Saya amat berharap ramai yang membeli tiket untuk konsert ini kerana sambil berhibur anda juga beramal untuk membantu mereka yang memerlukan,” kata Shariffah bersungguh-sungguh.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.