Oleh : Asmat Fikri
Gemuk! Itu hanya salah satu kesan sampingan kebiasaan yang dialami para ibu yang mengambil pil perancang kehamilan. Biasanya kita akan berdepan dengan wanita yang takut gemuk disebabkan ramai dalam kalangan kenalan di sekelilingnya mengalami kenaikan berat badan berlebihan serta mendadak selepas mengamalkan pil perancang kehamilan. Namun, masih ramai tidak tahu sebenarnya terdapat pelbagai risiko dan kesan sampingan yang boleh dihadapi apabila mengambil pil perancang kehamilan.
Maka, harus dipastikan sebelum mengambil keputusan untuk mengambil pil perancang kehamilan, terlebih dahulu dapatkan nasihat daripada doktor perubatan. Jangan memandai-mandai sendiri dan jangan mencuba sesuatu yang kita tidak pasti tentangnya. Ini kerana dikhuatiri akan memudaratkan lagi kesihatan.
Biasanya pengambilan satu tablet diambil secara oral pada masa yang sama setiap hari. Ambil bersama makanan atau selepas makan bagi mengurangkan kerengsaan pada perut.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ada beberapa perkara yang harus diingatkan ketika mengambil pil pencegah kehamilan ini. Antaranya adalah:
1. Pastikan anda baca dengan teliti sisip bungkusan yang disertakan.
• Sebelum anda mula mengambil pil tersebut.
• Setiap kali apabila anda tidak pasti cara pengambilan pil tersebut.
2. Tentukan masa untuk pengambilan pil.
• Ambil pil tersebut pada masa yang sama setiap hari.
• Pil yang terlupa/tertinggal diambil boleh menyebabkan kehamilan. Semakin banyak pil yang terlupa/tertinggal, semakin besar kemungkinan anda akan hamil.
3. Perhatikan jumlah pil anda sama ada 21 atau 28 pil.
• Pek 21-pil mengandungi 21 pil aktif yang perlu diambil selama tiga minggu, dan diikuti dengan satu minggu tanpa pil.
• Pek 28-pil mengandungi 21 pil aktif yang perlu diambil selama tiga minggu, dan diikuti dengan satu minggu pil tidak aktif.
4. Tentukan:
• Masa pengambilan pil berdasarkan pek ubat tersebut.
• Urutan pengambilan pil. Kebanyakan pek ubat mencatatkan nombor urutan mengikut hari atau minggu.
5. Kebanyakan wanita mengalami pendarahan ringan/tompokan darah, atau sakit perut sewaktu pengambilan awal antara 1 hingga 3 pek pil yang biasanya akan hilang.Sekiranya sakit berlarutan, sila berjumpa dengan doktor.
6. Muntah, cirit-birit dan sesetengah ubat boleh menyebabkan keberkesanan pil pencegah kehamilan anda berkurangan. Anda disarankan untuk menggunakan kaedah kontraseptif alternatif (contoh kondom).
Kesan sampingan mengambil pil perancang kehamilan
Sebelum mengambil pil ini, KKM juga turut menyenaraikan kesan sampingan yang biasa dialami akibat penggunaan pil pencegah kehamilan. Antaranya adalah seperti berikut:
• Pendarahan vagina
Pendarahan vagina yang tidak normal atau tompokan darah mungkin berlaku sepanjang tempoh pengambilan pil pencegah kehamilan. Pendarahan kerap berlaku semasa bulan-bulan awal pengambilan pil pencegah kehamilan tetapi boleh juga berlaku apabila anda telah mengambil pil pencegah kehamilan untuk tempoh yang lama. Pendarahan yang berlaku adalah bersifat sementara dan kebiasaan tidak berkait dengan masalah kesihatan yang serius. Penting bagi anda untuk mengambil pil tersebut mengikut jadual. Jika pendarahan vagina berlaku melebihi satu kitaran atau berlanjutan sehingga beberapa hari, segeralah berjumpa doktor.
• Kanta lekap
Jika anda menggunakan kanta lekap dan mendapati terdapat gangguan pada penglihatan atau tidak dapat menggunakan kanta lekap, sila berjumpa doktor.
• Edema/bengkak badan
Pil pencegah kehamilan boleh menyebabkan edema (retensi air dalam badan) seperti sembap pada jari tangan atau buku lali dan peningkatan pada tekanan darah. Sekiranya anda mengalami gejala ini, segeralah berjumpa doktor.
• Melasma
Tompok hitam pada kulit terutamanya di kawasan muka.
• Kesan-kesan sampingan lain
Kesan sampingan lain yang mungkin dialami termasuk loya, muntah, perubahan kepada selera makan, sakit kepala, gemuruh, kemurungan, pening, keguguran rambut, ruam dan juga jangkitan pada vagina. Sekiranya kesan sampingan tersebut mengganggu anda, sila berjumpa doktor.
Penutup
Justeru, meskipun pada awalnya pengambilan pil perancang kehamilan adalah demi kebaikan bersama dalam perjalanan membesarkan zuriat yang masih kecil, tapi jangan sampai ia memudaratkan kesihatan. Pengambilan pil perancang kehamilan ini bukan tidak boleh, tapi ianya baik dan perlu dapatkan nasihat daripada doktor.
Harus diingat juga, merokok boleh meningkatkan risiko kesan sampingan pada penggunaan pil pencegah kehamilan termasuk serangan jantung, pembekuan darah dan juga strok. Risiko adalah lebih tinggi pada wanita yang telah berumur melebihi 35 tahun dan perokok tegar (15 batang atau lebih sehari).
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.