Oleh Nury Kadir
Ini pula pendapat yang dikutip dari Mufti Wilayah Persekutuan seperti yang tercatat di dalam www.muftiwp.gov.my. Secara asasnya, perkahwinan dan memiliki anak adalah suatu fitrah dan memiliki tujuan tersendiri dalam syariat. Islam juga tidak mewajibkan pasangan memiliki anak dan juga tidak melarang untuk tidak memiliki anak.
Pada dasarnya persetujuan antara suami isteri untuk childfree adalah diharuskan sekiranya terdapat kemaslahatan khususnya buat pasangan tersebut.
Pilihan ini mestilah mendapat persetujuan bersama kerana memiliki anak merupakan hak bagi setiap individu yang berpasangan. Hukum pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak ini adalah mengikut pertimbangan pada sebab dan keadaan seperti berikut:
i. HARUS-Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak atas sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak lebih-lebih lagi jika terdapat kemudaratan dan keuzuran seperti menyebabkan kematian, menyebabkan keadaan penyakit bertambah teruk dan sebagainya, maka hukumnya adalah harus dengan syarat kaedah pencegah kehamilan tidak mendatangkan mudarat dan bertepatan dengan syarak.
ii. MAKRUH-Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak seperti keinginan untuk bebas daripada sebarang tanggungjawab, maka perbuatan tersebut adalah makruh. Malahan, bagi golongan yang mengambil keputusan tersebut kerana terpengaruh dengan kefahaman childfree, sehingga menjadikannya sebagai gaya hidup terbaik yang bebas daripada sebarang tanggungjawab dan juga sebagai prinsip hidup yang menafikan fitrah manusia, maka ia merupakan satu fahaman dan budaya yang bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan bahkan tidak bertepatan dengan Sunnah Rasulullah SAW untuk meramaikan umat Islam yang berkualiti.
iii. HARAM-Manakala, pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka perbuatan tersebut adalah haram.
Nasihat Mufti Wilayah Persekutuan untuk pasangan berkahwin, anak adalah satu anugerah dan bukan suatu beban. Bahkan anak berpotensi menjadi sumber kelangsungan pahala buat ibu dan bapanya. Sebagai seorang Muslim, perkahwinan dilihat sebagai wasilah mencapai kesempurnaan agama termasuklah dalam urusan memiliki anak jika difahami dan diusahakan sebaiknya.
Fatwan Dar Ifta Mesir
Syekh Syauqi Ibrahim Alam dari Dar Ifta Mesir, mengeluarkan fatwa pada 5 Februari 2019, mengenai childfree antara isinya:
Pertama, dalam Islam tidak ada keterangan Al-Quran atau hadis yang mewajibkan pasangan suami isteri untuk punya anak.
ولم يوجب الشرع على كل من تزوَّج أن ينجب أولادًا، لكنه حثَّ عمومَ المسلمين على النكاح والتكاثر، واكتفى بالترغيب في ذلك مع بيان أنها مسؤوليةٌ على كل من الوالدَيْن
Maksudnya; Syariat tidak mewajibkan setiap orang yang menikah untuk memiliki anak, tetapi kebanyakan kaum Muslimin pada umumnya menikah dan memperbanyakan anak.
Keputusan itu tercukupi dorongan untuk melakukannya dengan penjelasan sebagai tanggung jawab ibu bapa (suami-isteri).
Kedua, adanya kesepakatan suami dan isteri tidak memiliki anak. Alasannya, menjadi ibu bapa bukanlah hal yang mudah. Terdapat tanggungjawab besar padnya. Ibu bapa bertanggungjawab menyayangi anak, membesarkan, memberikan perhatian dan mendidik anak.
Kesepakatan suami isteri untuk tidak mempunyai anak merupakan hal yang dibolehkan dalam agama. Lebih-lebih lagi jika ada alasan yang kukuh, misalnya berpenyakit, khuwatir tidak dapat menjaga, menyayangi dan mendidik anak dengan baik. Seperti mana disebut dalam teks tersebut;
وإذا غلب على ظن الزوجَيْنِ أنهما غيرُ قادرَيْنِ على هذه المسؤولية، أو قَرَّرا عدمَ الإنجاب لمصلحةٍ معينةٍ: كأن يكون في الإنجاب خطورة مثلًا على صحَّة الزوجة، أو خَافَا فسادَ الزمان على الذريَّة، فاتفقا على عدم الإنجاب، فلا حَرَجَ في ذلك عليهما؛ لأنه لم يرِدْ في كتاب الله تعالى نصٌّ يُحرِّم منعَ الإنجاب أو تقليلَه
Maksudnya: Jika pasangan berfikir kemungkinan besar mereka tidak mampu memikul tanggungjawab tersebut atau mereka memutuskan untuk tidak memiliki anak demi kepentingan tertentu. Jika melahirkan anak berbahaya bagi kesihatan isteri atau mereka takut kehancuran zaman—perubahan iklim sebab angka kelahiran, dan kedua-duanya bersetuju untuk tidak memiliki anak, maka tidak ada yang salah atau dosa dengan itu bagi mereka itu. Ini kerana tidak ada nas dalam Al-Quran yang melarang mencegah atau mengurangi kelahiran anak.
Ketiga, ketidakinginan punya anak ini, menurut Syekh Ibrahim Alam, dianalogikan dengan kes azal atau pemutusan sanggama sebelum mencapai orgasme sehingga sperma suami keluar diluar lubang vagina isteri. Azal ini terjadi di era Nabi Muhammad SAW dan para sahabat;
واتفاقهما على منع الإنجاب في هذه الحالة يُقاس على العزل, وقد اتفق جمهور العلماء على أنَّ العزلَ مباحٌ في حالة اتفاق الزوجين على ذلك
Maksudnya; Dan sepakat suami dan isteri untuk mencegah kelahiran (chidfree) pada keadaan ini diqiyaskan pada azal, dan terkait azal, para ulama sepakat bahwa sesungguhnya hukumnya adalah boleh apabila ada kesepakatan suami dan isteri.
Keempat, childfree merupakan hak suami dan isteri. Mereka boleh memutuskan untuk punya anak atau tidak. Hal itu adalah urusan individu. Dan harus dilindungi. Akan tetapi, childfree itu harus atas kesepakatan bersama, tidak boleh satu pihak sahaja.
عدمُ الإنجابِ هو حقٌّ للزوجين معًا، ويجوز لهما الاتفاقُ عليه إذا كان في ذلك مصلحة تخصُّهما، ولا يجوز لأحدهما دون موافقة الآخر، وهذا الجواز على المستوى الفردي
Maksudnya: Tidak punya anak merupakan hak suami dan isteri secara bersamaan. Dan boleh bagi keduanya untuk sepakat childfree jika itu untuk kepentingan mereka, dan tidak boleh bagi salah satu dari mereka tanpa persetujuan yang lain dan kebolehan ini merupakan hak atau urusan individu.
Semoga apa yang dicatatkan di dalam artikel ini membuka minda kepada pasangan yang memilih childfree dan kepada kita yang memberi komen tanpa ilmu. Mungkin isu childfree ini tidak ada kaitan pun dengan kita tetapi berkata-kata dengan ilmu itu lebih bermakna daripada cakap ikut logik akal. Kalau tidak tahu lebih diam.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.