Oleh Nury Kadir
Jika sehari tanpa azan, bagaimana rasanya? Bagaimana hendak solat, sedangkan kita tidak tahu sudah masuk waktu atau belum? Di luar negara terutamanya negara bukan Islam, jika tidak kedengaran azan adalah perkara biasa. Tapi sekarang bukan masalah pun, boleh dengar azan walau di mana pun anda berada sebab sudah ada pelbagai aplikasi Islamik.
Jadi, tidak ada alasan untuk kata tidak tahu waktu solat. Hidup hari ini terlalu mudah, semua bergantung kepada teknologi. Kadang-kadang membuatkan kita lupa untuk menggunakan kemahiran dan kebijaksanaan yang dianugerahkan Allah. Kecanggihan teknologi hingga kita terlupa cara untuk menentukan waktu solat secara manual.
Sebenarnya azan bukanlah menandakan masuknya waktu solat dan batasannya. Sebaliknya batasan waktu solat adalah mengikut pergerakan matahari yang merujuk kepada satu titik tertentu.
Seperti yang disebut dalam hadis daripada Abdullah ibni Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Waktu Zuhur ialah apabila matahari tergelincir sehingga bayang-bayang seseorang sama panjang dengan badannya selama waktu Asar belum tiba.Waktu Asar ialah selama cahaya matahari belum berwarna kekuningan.Waktu maghrib ialah selama mega merah belum lenyap dan waktu Isyak ialah sehingga tengah malam kedua. Waktu Subuh bermula sejak terbit fajar hingga matahari terbit. Jika matahari terbit, maka hentikanlah solat kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.” (Sahih Muslim)
Seandainya suatu hari nanti terputus isyarat radio, hilangnya capaian internet atau tidak ada bekalan elektrik, jangan pula beralasan untuk tidak solat kerana tidak ada azan. Sebenarnya azan adalah seruan menunaikan solat.
Di sini dihimpunkan beberapa artikel tentang azan yang dikutip daripada www.muftiwp.gov.my. bermula dengan bagaimana azan itu disyariatkan? Azan disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Umar katanya: Ketika orang Islam sampai di Madinah mereka berkumpul dan menantikan waktu bersolat. Tidak ada cara yang diserukan bagi solat tersebut.
Suatu hari mereka berbincang tentang perkara itu. Sebahagian daripada mereka mencadangkan loceng digunakan sepertimana loceng orang Nasrani, dan sebahagian yang lain pula mengatakan serunai digunakan seperti terompet tanduk yang digunakan oleh orang Yahudi. Umar pula berkata: Kenapakah kamu tidak menyuruh seseorang menyerukan solat? Lalu Rasulullah SAW bersabda,”Wahai Bilal, berdirilah dan serukan solat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Lafaz azan mempunyai asal usul yang menarik kerana ia adalah dari mimpi yang sama dua sahabat baginda SAW iaitu Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab. Hal ini sepertimana yang diriwayatkan dalam satu hadis yang panjang, daripada Abdullah bin Zaid katanya: “Ketika Nabi SAW meminta loceng supaya orang boleh memukulnya bagi menghimpunkan (orang ramai) untuk solat, tiba-tiba saya teringat ketika sedang tidur, seorang lelaki mengelilingi saya (dalam mimpi) dengan memegang loceng di tangannya. Lalu saya berkata: “Wahai hamba Allah, adakah kamu mahu menjual loceng tersebut?” Katanya: “Apakah kamu hendak lakukan?” Saya menjawab: “Untuk menyeru orang ramai supaya menunaikan solat.” Dia berkata kembali: “Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan cara yang lebih baik?” Saya jawab: “Sudah tentu.” Katanya: “Sebutkanlah ‘: اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ’……. (sehingga akhir azan). Tidak lama selepas itu, dia berkata lagi: “Ketika kamu berdiri untuk mengerjakan solat, sebutkan ‘، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ’ …. (hingga akhir iqamat).
Setelah terjaga, saya segera menemui Rasulullah SAW dan menceritakan mimpi ini. Lalu Baginda SAW bersabda, maksudnya: “Dengan izin Allah, ia adalah mimpi yang benar. Berdirilah bersama Bilal dan sampaikan kepadanya apa yang kamu lihat supaya dia boleh melaungkan azan kerana suaranya lebih baik daripada kamu. Lalu saya bangun bersama Bilal dan menyampaikan kepadanya. Lantas dia pun melaungkan azan.
Umar al-Khattab yang berada di rumahnya mendengar laungan azan tersebut, lalu keluar sambil menarik jubahnya. Katanya: “Demi Tuhan yang mengutus engkau dengan kebenaran wahai Rasulullah, saya juga melihat seperti apa yang dilihatnya (Abdullah). Baginda menjawab: “Segala puji bagi Allah.” (Riwayat Abu Daud)
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, pensyariatan azan walaupun daripada mimpi para sahabat mengikut sebahagian riwayat tetapi ianya tidak bercanggah dengan riwayat yang lain. Ini kerana apabila diberitakan kepada Rasulullah SAW maka Baginda SAW mengiyakannya. Ikrar Rasulullah SAW termasuk dalam hadis Nabi SAW.
Pun begitu, Rasulullah SAW tidak pernah pun melaungkan azan sepanjang hidupnya. Begitu juga dengan para ulama juga dengan para khulafa’ al-Rasyidin selepas Baginda pun tidak pernah melaungkan azan.
Menurut Imam al-Nawawi, “Sesungguhnya Nabi SAW seterusnya Khulafa’ al-Rasyidin mengimamkan tetapi tidak melaungkan azan, begitu juga tokoh-tokoh ulama yang utama selepas mereka.”
Mengapa? Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa Nabi SAW dan Khulafa’ selepas baginda mempunyai tugas yang sangat besar iaitu menyelesaikan masalah umat Islam yang lebih penting dan tugas-tugas ini tidak mungkin dilaksanakan oleh orang lain. Maka, masa mereka sangat penting dalam memenuhi segala keperluan umat. Berbeza pula dengan menjadi Imam, kerana solat itu adalah wajib dan pasti mereka akan menghadirinya.
Hujah itu disandarkan dengan kata-kata Saidina Umar, maksudnya: “Sekiranya aku mampu untuk (melakukan kerja) melaungkan azan dalam masa yang sama (melakukan tugas) khilafah, akan aku azan.” (Riwayat al-Baihaqi)
Al-Hattab dalam Mawahib al-Jalil, menyatakan sekiranya Baginda SAW melaungkan azan, yang di dalamnya terdapat kata perintah untuk menunaikan solat iaitu…
حي على الصلاة
Maksudnya: Marilah menunaikan solat
Sedangkan solat itu mempunyai waktunya yang luas, iaitu boleh ditunaikan sepanjang waktunya, seperti solat zohor yang boleh ditunaikan selagi belum masuk waktu asar. Namun, apabila yang menyeru itu adalah Nabi SAW, maka adalah menjadi suatu kesalahan apabila menolak seruan atau perintah Nabi SAW, seperti yang disebutkan melalui firman Allah SWT:
Maksudnya: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri ke luar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Nur: 63)
Maka jelaslah berdasarkan firman Allah SAW di atas, berdosalah orang yang mendengar seruan Nabi SAW tetapi tidak melakukannya. (dipetik dari www.muftiwp.gov.my)
#Untuk mengetahui lebih lanjut tentang azan, ikuti sambungan artikel akan datang adakah azan bukan sekadar seruan solat?.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.