Selepas mendirikan rumah tangga dengan Sabri Yunus, rezeki Angeline Tan semakin bertambah.

Oleh: Wawa Najwa

BANYAK ilmu yang perlu diterokai oleh saudara baharu atau mualaf selepas memeluk agama Islam. Untuk membantu mereka memahami Islam dengan lebih mudah, TV AlHijrah mengambil inisiatif menerbitkan rancangan interaktif santai yang menggabungkan agama, hiburan dan pendidikan.

Matlamat utama program ‘Angeline Tanya Abang Jawab’ sebanyak 13 episod itu adalah untuk memberikan bimbingan kepada saudara baharu untuk mendalami asas agama Islam.

Program ini akan disiarkan setiap Rabu, 8.30 malam bermula 18 September ini menampilkan pelakon Angeline Tan dan suaminya, Sabri Yunus yang saling berinteraksi melalui soalan-soalan berkaitan pelbagai isu agama, kehidupan dan sosial.

Program ‘Angeline Tanya Abang Jawab’ menampilkan Angeline Tan dan Sabri Yunus.

Angeline yang memeluk agama Islam pada 26 September 2023 dan mendirikan rumah tangga dengan Sabri pada 14 Oktober tahun lalu, mengakui banyak perkara yang perlu beliau pelajari berkaitan agama Islam.

Menariknya, setiap episod program ‘Angeline Tanya Abang Jawab’ disusun dengan kemas untuk merangkumi isu-isu yang sering dihadapi oleh masyarakat terutama golongan mualaf, seperti hal-hal kekeluargaan, akhlak, perhubungan, serta panduan dalam menghadapi cabaran kehidupan moden.

Walau diterbitkan khusus untuk saudara baharu, namun program ‘Angeline Tanya Abang Jawab’ ini juga sangat digalakkan untuk ditonton seluruh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda dan keluarga yang ingin mendapatkan pencerahan mengenai pelbagai isu kehidupan seharian dan panduan dalam menjalani kehidupan berteraskan nilai-nilai Islam.

Sabri Yunus mendirikan rumah tangga dengan Angeline Tan pada 14 Oktober 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah memikul tanggung jawab besar dalam menyantuni golongan saudara baharu di Malaysia.

“Dakwah di platform penyiaran TV AlHijrah dilihat mampu mengisi kelompongan pedagogi dalam dakwah pada zaman kini. Program ini diterbitkan untuk memberikan pandangan yang mendalam mengenai nilai-nilai keagamaan dan kekeluargaan, sambil menjadikan proses pembelajaran buat golongan mualaf menjadi lebih menyeronokkan.

“Setiap persoalan yang diajukan oleh Angeline kepada Sabri Yunus adalah persoalan yang kerap kali dibangkitkan oleh golongan mualaf seperti perihal fardu ain dan fardu kifayah, tanggungjawab dalam rumah tangga dan keluarga, kefahaman dan amalan ibadah, etika pemakaian dalam Islam, hubungan sesama Islam dan bukan Islam serta banyak lagi topik lain.

Namanzee Harris harap program ‘Angeline Tanya Abang Jawab’ dapat memberi info kepada orang ramai.

“Setiap episod program ini diharapkan dapat menyampaikan pesan-pesan kebaikan secara jelas dan mempromosikan keharmonian dalam keluarga Muslim. Dengan penggabungan elemen-elemen itu, secara tak langsung ia dapat memenuhi keperluan penonton dan masyarakat yang ingin mendalami ajaran agama Islam sambil merasai kedekatan kekeluargaan yang lebih menyenangkan.

“Dengan adanya unsur humor yang diselitkan secara bijak oleh Sabri Yunus, serta penerangan daripada barisan asatizah, kami yakin konsep kebaikan dan cinta kasih Islam akan terserap dengan lebih baik oleh penonton,” jelas Namanzee.

Beliau berkata, setiap episod program ini menampilkan segmen di mana Angeline, bersama panel pakar jemputan, membincangkan topik-topik yang relevan, memberikan perspektif yang mudah difahami serta penyelesaian praktikal berlandaskan ajaran Islam.

Program ini sesuai ditonton oleh seisi keluarga.

Barisan asatizah dan ilmuan yang terbabit dalam menjawab soalan-soalan yang ditanyakan Angeline Tan antaranya Ustaz Harryanto Rizal Rokman, Ustaz Azhar Ghazali, Ustaz Zul Ramli, Imam Muda Asyraf dan ramai lagi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya sentiasa cakna dan prihatin dalam memberikan pengisian penghayatan keagamaan kepada golongan saudara baharu.

“Alhamdulillah pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan memainkan peranan yang sangat baik.

“Hari ini dengan pendekatan semasa, TV AlHijrah juga memainkan peranan untuk menyantuni kumpulan sasar kita iaitu golongan saudara baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik, budaya dan keturunan.

Program ‘Angeline Tanya Abang Jawab’ yang disiarkan setiap Rabu menampilkan ramai asatizah dan ilmuan.

“Apabila mereka memeluk Islam, kepelbagaian ini perlu disantuni dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Begitulah juga pada aspek bimbingan Fardhu Ain, asas kekeluargaan dan perhubungan rumah tangga perlulah diberikan dengan cara yang berhikmah dan berterusan.

“Saya percaya ada soalan-soalan keagamaan, kekeluargaan dan sebagainya yang terbuku dalam hati para saudara baharu yang memerlukan pencerahan. Jadi program ‘Angeline Tanya Abang Jawab’ adalah program santai berbentuk kekeluargaan, pada masa akan memberikan bimbingan kepada saudara baharu untuk mendalami asas agama dan akhlak.

“Dalam konteks pembangunan spiritual golongan mualaf, TV AlHijrah dilihat mampu mengisi kelompongan pedagogi dalam dakwah pada zaman kini dengan terus menerus memainkan peranan penting sebagai wadah perkongsian ilmu, maklumat dan buah fikiran Islam untuk dikongsi bersama penonton,” katanya menyokong program terbitan TV AlHijrah itu.

Previous articleMawar Rashid cuba nasib sebagai penyanyi
Next articleApa Yang Kita Tahu Tentang Azan? (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here