Bagi MK, lakonan dan nyanyian menampilkan kepuasan yang berbeza.

Oleh: Wawa Najwa

SERING diundang menjadi rakan duet atau sebagai penampilan khas dalam lagu-lagu rakaman artis lain biarpun asalnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 28, adalah anggota K-Clique.

Bagi Muhammad Hairi Amin atau lebih popular dengan nama MK peluang yang mendatang kepadanya adalah satu bonus kerana secara tak langsung beliau dapat mencipta nama secara solo.

Tetap mengutamakan anggota K-Clique.

Bagi yang tidak tahu, nama MK itu mempunyai maksud tersendiri. Huruf M dirujuk kepada Muhammad iaitu nama penyanyi tersebut, manakala K pula mewakili Kamariah iaitu nama ibu tercintanya.

Anak ketujuh daripada lapan orang adik-beradik yang berasal dari Sabah itu mula menyertai kumpulan hip hop K-Clique yang ditubuhkan pada 2014 dan dianggotai oleh Noki (Ahmad Ikhwan Aji), SoMean (Muhd Syahmin Naim Igbal Khan), KDeaf (Syafieq Emir), FareedPF (Fareed Saddi), Gnello (Siddek Jasni) dan NastyNas (Nazrin Idris).

Biarpun sudah lama bergiat aktif di negeri Bawah Bayu sebagai kumpulan indie dan underground, namun nama MK dan K-Clique mula mendapat perhatian meluas di kalangan penggemar muzik tempatan selepas single keenam mereka, “Mimpi” meraih populariti di muzik arus perdana.

MK bermula sebagai penyanyi bersama kumpulan K-Clique.

K-Clique yang berpeluang mengadakan persembahan pertama di Altimate Singapore pada 2 Ogos 2019, turut mencipta rekod tersendiri apabila mereka diiktiraf sebagai Artis Tempatan Yang Paling Banyak Distrim sepanjang 2019 oleh Spotify.

Pada Oktober 2020, mereka dicalonkan bagi kategori Best Southeast Asian Act (Artis Asia Tenggara Terbaik) di Anugerah Muzik Eropah MTV 2020, namun K-Clique tewas di tangan penyanyi hip hop Vietnam, Jack.

Manakala lagu yang hanya menampilkan MK sebagai rapper tanpa kawan-kawan K-Clique yang lain ialah lagu “MalamPagi”, nyanyian Saixse dan “Peluang Kedua” yang didendangkan oleh Nabila Razali. Kedua-dua lagu menjadi tular dan sekali gus nama MK semakin melonjak.

Terbaharu, MK baru saja berkolaborasi dengan pempengaruh dan pemuzik terkenal Indonesia, Atta Halilintar menerusi single “Ashiap” yang turut menampilkan Joe Flizzow dalam lagu yang diterbitkan oleh AHHA Records.

Sering diundang menjadi rakan duet dengan penyanyi lain.

Biarpun begitu MK tidak pernah lupa asal usul kerana dalam apa jua perjalanan kerjaya seni, beliau tetap mengutamakan kumpulan K-Clique yang merupakan platform pertamanya bergelar anak seni.

Ternyata populariti penyanyi berkelulusan dalam jurusan Pengajian Perniagaan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kota Kinabalu, Sabah itu membuka banyak peluang kepadanya dalam cabang seni yang lain juga.

Selain dilantik sebagai duta dan ikon pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI bagi tahun kedua MK juga turut ditawar berlakon.

MK adalah gabungan nama Muhammad dan Kamariah, ibunda tersayang.

Menyentuh mengenai pelantikannya sebagai duta dalam bidang akademik, MK sedar ada yang mempertikai pemilihannya. MK tidak menafikan sebagai insan, beliau juga ada kekurangan.

Namun sebagai anak seni yang mempunyai diploma dalam bidang pengurusan perniagaan, beliau bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menjadi ikon kepada anak muda.

“Saya tahu ada yang mempertikaikan perkara ini hanya kerana saya seorang artis. Saya bukanlah manusia yang sempurna namun syukur diberi kepercayaan ini dan kesungguhan saya menjalankan tugas sebagai seorang ikon diterima baik oleh pelajar.

“Saya sendiri sudah membuatkan ibu bapa bangga kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Menuntut ilmu adalah sangat penting untuk semua orang kerana itu adalah salah satu tujuan hidup,” katanya dalam satu temu bual yang diterbitkan oleh sebuah akhbar.

Melakonkan watak antagonis dalam filem arahan Awie.

Menurut MK, bergelar duta dan ikon membuatkan dirinya banyak berubah menjadi seorang yang lebih baik.

“Sudah tahun kedua saya menjadi duta PTTI, tidak dinafikan tanggungjawab yang digalas itu banyak mengubah diri saya menjadi seorang yang lebih baik. Saya perlu menjadi ikon kepada golongan pelajar, jadi disebabkan itu saya sentiasa perlu menjaga tingkah laku termasuk cara penampilan.

“Saya faham tugas sebagai ikon adalah untuk menjadi contoh kepada golongan pelajar. Saya banyak berkongsi pengalaman hidup supaya mereka bersedia untuk berdepan dengan pelbagai cabaran di masa akan datang,” ujarnya yang turut dilantik sebagai Duta Jenama untuk PUBG MOBILE di Malaysia.

MK seronok berlakon selain menyanyi

MK mula terlibat dalam bidang lakonan selepas melakonkan watak Sean dalam drama “The Hotel” yang disiarkan di saluran Astro Ria pada 2021. Pada tahun yang sama juga suami kepada Siti Hajaar Sheikh Nordin itu diberi peluang muncul dalam filem pertama berjudul “Marabahaya Underground” sebagai MK.

Untuk filem arahan Helmi Yusof dan Cat Farish yang diterbitkan oleh D’Edge Communications, nama MK terpalit dengan kontroversi kerana beliau dikatakan tidak mempromosi filem tersebut.

Bersama Joe Flizzow dan Atta Halilintar untuk single “Ashiap”.

Namun selepas kes tersebut, rezeki MK dalam bidang lakonan tidak terhenti begitu saja, sebaliknya beliau terus mendapat kepercayaan pengarah dan produser untuk beraksi di depan kamera.

Selain “The Hotel”, MK juga pernah membintangi beberapa buah drama lain seperti “Oh My Hantaran”, “I Love You Stupid”, “Aku Bukan Ustazah”, “Bara Jiwa” dan “Jendela Hati”. Manakala filem lakonannya adalah “Bunga dan Kayu”, “Rompak”, “7 Minggu Sebelum Kahwin”, “Rebel:Berontak Untuk Berotak” dan “Paku Tanah Jawa”.

Selepas menimba pengalaman dalam bidang lakonan baik di kaca TV atau layar lebar, MK akui yang beliau kini jatuh cinta dengan bidang lakonan. Baginya, antara lakonan dan nyanyian mempunyai kepuasan yang berbeza.

“Kalau ditanya bidang mana yang paling saya minati, dua-duanya saya suka kerana nyanyian dan lakonan ada kepuasan dan kenikmatannya tersendiri.

Drama lakonan MK yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Kedua-dua bidang itu sangat menyeronokkan. Alhamdulillah, sejak menceburi bidang lakonan, rezeki saya tidak putus dan ada saja tawaran berlakon drama dan telefilem.

“Tapi saya tidak akan melupakan bidang nyanyian bersama K-Clique kerana bersama mereka saya memulakan kerjaya dalam bidang seni ini,” katanya yang pernah bekerja sebagai penarik kereta sebelum terlibat dalam bidang seni.

MK yang sering diberi watak lelaki romantik itu berkata, sebagai pelakon beliau mahu mencuba pelbagai watak dan menerusi filem “Rebel: Berontak Untuk Berotak” arahan penyanyi, Dato’ Awie itu yang ditayangkan di pawagam pada 2 Mei 2024.

Melakonkan watak Bono, MK berkata peluang yang diberi oleh Awie kepadanya untuk filem genre aksi itu sekali gus mencabar kemampuannya dalam bidang lakonan.

Siti Hajaar Sheikh Nordin, isteri tercinta MK.

“Bila ditawarkan watak Bono, saya sangat bersyukur kerana dapat bekerja dalam filem sulung Dato’ Awie dan mencabar diri melakonkan watak jahat dalam filem.

“Saya tidak takut dibenci penonton kerana melakonkan watak jahat kerana ia sekadar lakonan. Watak Bono menjadi penjahat kerana dia tinggal di kawasan setinggan dan terdedah dengan persekitaran yang kurang baik,” katanya kepada pihak media sewaktu ditemu bual.

Bagi MK, setiap watak yang diberikan kepadanya adalah cabaran untuk dirinya dan sebagai pelakon beliau sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.

Imbasnya sewaktu berlakon sebagai Firman Ebrahim dalam drama “I Love You Stupid” arahan Eyra Rahman yang menggandingkannya dengan Ezzanie Jasny, beliau berjaya mendapat ilmu baharu.

Sering mendapat tawaran menjadi model untuk jenama ternama.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat tawaran berlakon drama tersebut. Saya bukanlah hebat dalam lakonan, tetapi, saya suka ambil cabaran dan cuba bidang baharu. Tujuan saya berlakon bukan saja-saja.

“Sejak berlakon, alhamdulillah saya sudah dapat memperbaiki sedikit cara sebutan dan pertuturan menggunakan bahasa Melayu ‘semenanjung’. Kalau sebelum ini loghat Sabah saya memang sangat pekat.

“Saya banyak belajar sendiri melalui pendengaran selain selalu berkomunikasi dengan isteri di rumah menggunakan bahasa Melayu standard. Tapi bagi saya, kebolehan bertutur menggunakan kedua-dua bahasa ini dapat memberi kelebihan dalam kerjaya lakonan saya,” kata MK yang tidak mudah melatah apabila dikomen tentang lakonannya itu.

Previous articleJangan biasakan angkat benda berat untuk elakkan sakit belakang! (Bahagian 2)
Next articleAnne Abdullah suka membantu artis-artis!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here