Oleh : Asmat Fikri
Sakit pada bahagian belakang terutama dalam kalangan wanita amat luas spektra kesakitannya. Ini kerana terdapat banyak struktur serta organ yang berada pada sekitar kawasan tersebut. Ia juga boleh diklasifikasikan dengan lebih teliti berdasarkan lokasi sebagai contoh, punca sakit belakang sebelah kiri atas, sakit belakang badan sebelah kanan atas dan tengah.
Selain berdasarkan tempat, sakit belakang juga boleh dikelaskan berdasarkan simptom sampingan yang turut dirasai oleh pesakit, karakter, masa dan tahap kesakitan yang dialami.
Perlu untuk diketahui juga bahawa sakit belakang yang berlaku kurang daripada enam minggu dikelaskan sebagai sakit belakang akut yang mana sering berpunca daripada trauma ataupun aktiviti angkat berat ataupun terjatuh. Manakala, sakit tulang belakang yang melebihi durasi tiga bulan dianggap sebagai sakit belakang kronik.
Untuk mengatasi sakit belakang dalam kalangan wanita, beberapa langkah boleh diambil bagi mengurangkan ketidakselesaan dan memperbaiki keadaan kesihatan. Berikut adalah beberapa cara yang boleh membantu. Antaranya adalah:
Amalkan Postur yang betul. Duduk dengan betul:
Pastikan duduk dalam postur tegak dengan sokongan pada bahagian bawah belakang. Gunakan kerusi yang sesuai dengan bentuk tubuh dan berdiri dengan baik: Apabila berdiri, elakkan membongkok. Tegakkan bahu dan sejajarkan kepala dengan badan.

Senaman Regangan dan Penguatan Otot:
Latihan regangan seperti yoga dan pilates dapat membantu meregangkan otot belakang serta menguatkan otot abdomen.Senaman penguatan ini boleh difokuskan pada penguatan otot teras (core) dan belakang untuk menyokong tulang belakang dengan lebih baik.
Terapi Haba atau Ais:
Terapi sebegini seperti meletakkan pad panas atau mandi air hangat boleh membantu meredakan otot yang tegang. Dan jika sakit disebabkan kecederaan atau bengkak, gunakan ais untuk mengurangkan keradangan.
Kasut, bantal, tilam dan berat badan juga perlu ideal:
Faktor ini paling penting juga, perlu penggunaan kasut yang sesuai. Elakkan kasut tumit tinggi kerana ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan postur dan memberi tekanan pada belakang. Gunakan kasut yang lebih selesa dan rata.
Seperti kasut, pemilihan bantal dan tilam yang sesuai juga penting. Gunakan bantal yang menyokong kepala dan leher dengan baik. Tilam cukup tebal dan tidak terlalu lembut untuk menyokong badan semasa tidur.
Jika berat badan berlebihan, menurunkan berat badan melalui pemakanan sihat dan senaman boleh membantu mengurangkan tekanan pada tulang belakang.
Jangan juga merasakan kita gagah dan perkasa walaupun kita wanita. Elakkan mengangkat benda berat dengan cara yang salah. Cara yang betul adalah gunakan lutut ketika mengangkat barang berat, bukannya membongkok dari pinggang. Ini membantu mengelakkan kecederaan pada bahagian belakang.
Jika sakit berlarutan, boleh cuba dulu rawatan fisioterapi. Ia boleh membantu dengan teknik regangan yang khusus, penguatan otot, dan memberikan nasihat tentang cara menguruskan sakit belakang.
Penutup
Terdapat banyak cara untuk kita mengelakkan seseorang daripada sakit bahagian belakang. Pastikan kita sentiasa menjaga kesihatan dan elakkan dari membuat perkara-perkara yang boleh merisikokan diri sendiri. Ingat! sayangi diri kita terlebih dahulu sebelum menyayangi orang lain. Kerana jika berlaku apa-apa, diri kita sendiri yang menanggung akibatnya.
Justeru jika sakit belakang tidak berkurangan atau semakin teruk, penting untuk mendapatkan nasihat daripada doktor atau pakar tulang belakang. Mereka mungkin akan melakukan pemeriksaan lanjut seperti imbasan MRI atau X-ray untuk menentukan punca sebenar.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.