Raja Ema bersama trofi Pelakon Pembantu Filem Popular yang dimenanginya di Anugerah (ABPBH 36)

Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Raja Ema/Koleksi Syed Wafa

Setelah sekian lama menyepikan diri, dan apabila , Raja Ema, 56, diumumkan sebagai Aktres Pembantu Filem Popular di pentas Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke 36 baru-baru ini pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai kehidupannya sekarang.

Ditambah pula, kini jarang kelihatan cerita-cerita kehidupan, drama atau filem baru lakonan Raja Ema Raja Ibrahim. Ini membuatkan ramai yang bertanya adakah Raja Ema yang pernah berkahwin dengan penyanyi Sheqal pada tahun 1993 dan bercerai pada tahun 1999 kini sudah berkahwin semula.

“Umur Ema dah 56 tahun…anak-anak dah besar dan memang Ema tak ada niat nak kahwin lagi. Ema happy dengan kehidupan sekarang bersama bisnes acar, anak-anak dan kucing-kucing Ema. Pada Ema, kesunyian itu tidak pernah ujud dalam diri ini. Itu sebabnya kita kena pandai isi masa kita dan hargai diri kita.

Cover album pertama Raja Ema yang popular dengan lagu Jejaka Perasan.

“Ema tak kahwin lagi bukan sebab takut atau tidak percaya pada lelaki. Tapi Ema lebih enjoy dengan kehidupan sekarang. Buat masa sekarang, Ema nak pilih kebahagian diri sendiri.

“Sebenarnya kalau nak kahwin, kita perlu banyak kesabaran kerana kita `deal’ dengan manusia. Manusia ni pula susah nak cakap perangai mereka. Kita tak boleh sembarangan menuduh seseorang itu baik atau jahat. Kadang masa muda memang baik sangat perangainya tapi bila dah tua berubah perilakunya,” kata Raja Ema yang senang membahasakan dirinya dengan nama Ema.

Raja Ema menambah,“Kadang semua elok dan indah semasa bercinta, tapi bila dah kahwin akan berlaku benda-benda yang tak elok dan tak dijangka. Dari Ema pening-pening kepala nak fikir benda-benda macam tu, lebih baik manjakan diri sendiri dan cari kebahagiaan diri sendiri.

Raja Ema menjadi penghias kulit majalah URTV pada tahun 1992.

“Sekarang perempuan ada banyak peluang untuk majukan diri. Jangan dah kena sepak terajang ke atau apa-apa masih tunggu dan bersabar dengan sebuah perkahwinan yang cukup menyiksakan…perkara itu adalah sia-sia.”

Hasil daripada perkahwinannya terdahulu, Ema dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Putera Ammar dan Putera Ihsan.

Raja Ema penyanyi, pelakon, model dan usahawan Malaysia ini pernah mendapat gelaran Puteri Pop Malaysia 80an kerana albumnya Volume 1 (1985) dan Volume 2 (1986) pernah terjual melebihi 100,000 unit dan sekaligus mengangkat nama Raja Ema sebagai salah seorang penyanyi paling laris sepanjang era 80an.

Filem “Mawar Merah” menampilkan lakonan mantap Raja Ema.

Malah anak kepada arwah pelakon dan pelawak Yusni Jaafar ini juga pernah mendapat jolokan sebagai Cyndi Lauper Malaysia kerana seringkali tampil bergaya dengan fesyen skirt kembang ketika membuat persembahan.

Selain kejayaannya dalam bidang nyanyian, Raja Ema merupakan seorang pelakon wanita yang cukup laris pada era kegemilangannya sehingga digelar Ratu Filem Usahasama kerana pernah berlakon tujuh buah filem usahasama Malaysia-Indonesia.

Ketika ditanya mengenai perkembangan dunia lakonannya, Raja Ema yang popular dengan lagu Jejaka Idaman dan Angan-Angan berkata,“ Sebenarnya ada sahaja tawaran berlakon tapi Ema ada syarat-syarat tertentu bila nak terima tawaran mereka.

Raja Ema bergandingan dengan Mustaffa Noor dalam filem “Mawar Merah”.

“Antara syarat-syarat Ema ialah…Ema nak balik jam 10 malam, dalam seminggu nak shooting 3 atau 4 kali sahaja dan adalah juga beberapa syarat tertentu yang Ema kenakan. Mungkin disebabkan permintaan dan syarat Ema, mereka tak dapat nak penuhinya.

“Ema faham. Produksi nak cepat habis shooting dan Ema tak kisah kalau tiada tawaran. Kadang tu ada juga yang panggil, skrip pula tak siap, mereka tak dapat agak berapa scene yang akan Ema lakukan nanti dan berapa hari shooting. Kalau semua tak begitu detail, memang susahlah nak letak harga kerana ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan sebelum kontrak ditandatangani.

“Bukan Ema demand sangat dari segi harga…tidak. Cuma Ema taklah menyanyi atau berlakon sepenuh masa tapi adalah standard tertentu sebagai artis lama dengan pengalaman yang banyak dalam dunia lakonan.”

Raja Ema bersama ibunya, Yusni Jaafar yang sama-sama aktif dalam dunia lakonan.

Mengulas mengenai kejayaannya merangkul anugerah Aktres Pembantu Filem Popular (ABPBH 36), Raja Ema yang kini menetap di Melaka menambah, “Sejak pencalonan awal lagi, Ema macam tak percaya macam mana nama boleh terselit. Bila nama Ema terus membolosi senarai Top 10 dan seterusnya Top 5, Ema memang sangat terkejut kerana Ema bersaing dengan artis-artis muda dan ada ramai peminat.

“Ema memang tak sangka akan menang dan Ema gembira sangat kerana sebagai orang lama, kami masih dihargai. Sebagai mewakili orang lama dalam industri, Ema rasa sangat-sangat dihargai oleh pengundi yang mengundi. Ini membuktikan peminat pilih bakat dan bukan setakat paras rupa dan populariti semata-mata.”

Menyentuh mengenai kenangan yang tidak boleh dilupakan sepanjang bergelar artis, ujar Raja Ema lagi,“Bila difikir semula, kenangan manis…bila diberi peluang untuk menyanyikan lagu Mentari Korea yang dipetik dari album Titik Bermula bagi menaikkan semangat untuk atlit Malaysia yang bertanding dalam Sukan Olimpik Seoul 1988 waktu umur Ema 19 tahun.

Di zaman kegemilangan sering menjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air, Raja Ema bersama Datuk Jamal Abdillah menjadi cover majalah URTV.

“Dulu Ema muda lagi dan fikir menyanyi sekadar penuhi jemputan. Tapi bila dah tua ini baru Ema tahu, Ema seorang saja artis Malaysia yang dah berpeluang menyanyi di Sukan Olimpik dan belum ada sesiapa lagi artis Malaysia yang berpeluang seperti Ema. Jadi Ema anggap itu sesuatu yang cukup berharga dan membanggakan. Ibaratnya ini rezeki yang Allah bagi untuk kenangan manis seumur hidup dan Ema sangat hargainya sampai bila-bila.”

Begitulah kehebatan Raja Ema di zaman kegemilangannya. Raja Ema adalah artis pertama dipilih menjadi duta Syarikat Edaran Otomobil Nasional (EON) pada tahun 1988. Pada tahun yang sama, Raja Ema juga bergandingan dengan Datuk Jamal Abdillah menyanyikan lagu iklan Hari Raya EON yang sering disiarkan dikaca TV pada ketika itu. Tahun berikutnya pula Raja Ema bersama dengan Sheila Majid dan Liza Othman terpilih sebagai model iklan sabun Lux.

Raja Ema sering dijemput bergandingan dengan ibunya menjayakan program hiburan RTM.

Antara filem-filem yang pernah dibintanginya adalah Sayang, Mawar Merah, Pernikahan Berdarah, Omong Besar (1987), Jodoh Boleh Diatur, Antara Dua Hati, Cinta Berdarah, Sepasang Mata Maut,(1988), Api Cemburu, Kipas-Kipas Cari Angin (1989), Sejati (1990), Boss, Queen Control (1991), Sahabat, Cikgu Romantik, Tarik-Tarik, Keluarga Iskandar The Movie dan Sayu Yang Syukur (2023).

Manakala drama lakonan Raja Ema adalah 2+1, Pulangnya Kekasih, Rumah Kedai, Setia Hujung Nyawa, Terlanjur Cinta, Cinta Agra, Rindu Bertamu di Abu Dhabi, Epilog Cinta Khirana, Pulang Sayang, Janji Jaslina, Mencari Luqmanul Hakim, Cinta Iris, Dhia Sofea, Cik Cinderella dan Encik Tengku, Bunga Tanjong, Seindah Takdir Cinta dan Percayalah.

Raja Ema bersama ibunya, Yusni Jaafar bergandingan dalam sebuah program hiburan terbitan RTM.

Antara anugerah yang pernah digapai Raja Ema pada Festival Filem Malaysia (FFM) iaitu Bintang Harapan Wanita Terbaik 1987 (FFM 7) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (1989 – FFM 8). Manakala anugerah sebagai Pelakon Pembantu Wanita Popular 1988 (ABPBH) dan Aktres Pembantu Filem Popular 2024 (ABPBH 36)

Raja Ema pernah menghasilkan album, Volume 1 (1985), Volume 2 (1986), Titik Bermula (1988) dan Tidakkah Aku Menyintaimu (1989) dan album kompilasi Kenangan Manis Ema (1989), Memori Hit: Raja Ema (2007) dan Pertemuan Seribu Kenangan (2013).

Sibuk meniaga acar

Seperti artis lain, Raja Ema juga sering memikirkan mencari pendapatan bagi menampung kehidupannya jika tidak berlakon dan menyanyi lagi. Itu sebabnya Raja Ema memilih untuk membuat perniagaan makanan berasaskan acar.

Acar Raja Ema yang mendapat sambutan.

“Ema kini sibuk dengan bisnes acar iaitu meniaga acar buah, acar ikan masin sejak tahun 2020. Menu ini Ema sendiri yang masak dan jual sendiri. Setakat ini Alhamdulillah jualannya. Sekarang ini separuh masa Ema sudah terisi dengan meniaga acar.

“Sejak menang ABPBH ini, ramai yang dah tahu Ema meniaga acar. Setakat ini melalui promosi tersebut acar Ema mendapat sambutan yang cukup menggalakkan hingga tak terlayan Ema dibuatnya dan Ema bersyukur sangat-sangat.

Raja Ema menunjukkan antara acar yang begitu mendapat sambutan.

“Dah empat tahun Ema usahakan bisnes resepi acara warisan keluarga ini. Acar ini special , ia bukan macam acar di majlis-majlis orang kahwin atau acar kenduri kerana buah-buahannya Ema dah upgrade guna buah-buahan kering premium seperti buah kiwi, apricot, peach dan nenas,”kata Raja Ema lagi.

Menurut Raja Ema lagi, niatnya berniaga acar bagi memperkenalkan semula resepi-resepi lama yang semakin dilupakan.

“Mula nak meniaga itu Ema tengok makanan apa yang kurang dipasaran. Ema tengok, terlalu banyak produk berasaskan sambal dipasaran berbanding acar. Itu sebabnya Ema ambil inisiatif perkenalkan acar di pasaran.

Raja Ema sudah puas dengan populariti di zaman kegemilangannya.

“Mula tu memang susah nak perkenalkan benda baru. Tapi lama kelamaan, acar Ema seperti acar buah dan acar ikan masin dengan buah nenas mendapat sambutan yang menggalakkan.”

Ema yang mula menyanyi pada usia 16 tahun, merasakan kini pada usia 56 tahun sudah waktu untuknya berehat dan bekerja separuh masa.

Raja Ema tetap maintain dari dulu hingga sekarang

“Bila menang ABPBH…ramai kata Ema merajuk. Ema bukan merajuk. Dalam dunia ni…ada tawaran yang baik dan sesuai ada rezeki Ema akan berlakon. Ialah dah lama Ema berada dalam industri lakonan dan nyanyian ini, rasanya tak ada apa lagi yang Ema impikan lagi. Sekarang nak tumpu pada bisnes,”katanya mengenai dunia nyanyian dan lakonan tetap dihatinya.

 

Previous articlePeminat adalah tulang belakang kejayaan Khai Bahar Di ABPBH 36
Next articleItulah Langit!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here