Oleh: Nury Kadir

Agar berlawak tidak menjadi haram serta melampau dan sekadar menjadi hiburan selingan untuk membuang rasa bosan harus dipatuhi etikanya. Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah memberi garis panduan bagi gurauan yang diharuskan syarak:

1. Tidak menjadikan maruah seseorang itu sebagai gurau senda.
Firman Allah SWT, maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat: 11)
Sabda Nabi SAW: Maksudnya, “Cukup seseorang itu dianggap jahat apabila ia menghina atau merendah-rendahkan saudara Muslimnya.”(Riwayat Muslim).

2. Tidak Menipu Dalam Lawak
Daripada Bahz bin Hakim (bin Muawiyah bin Haidah al-Qusyairi) berkata: Ayahku menceritakan kepadaku, daripada datukku, yang berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Celakalah bagi orang yang bercakap suatu percakapan agar orang ramai tertawa dengan pembohongan. Celakalah baginya! Celakalah baginya!” (Riwayat al-Tirmidhi)

Syeikh Abu al-Ala al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi mensyarahkan hadis ini: “Wail bererti kecelakaan yang besar atau lembah yang dalam; li yudhika… yang daripada kata terbitan idhak (membuat orang tertawa); bihi yakni tertawa dengan perkataannya atau pembohongannya…. Mafhum daripada hadis itu bahawa jika seseorang bercakap dengan perkataan yang benar untuk berlawak dengan satu kaum maka tidak mengapa hal itu seperti mana yang berasal daripada kisah Umar RA bersama Nabi SAW tatkala baginda marah terhadap beberapa orang Ummahat al-Mu’minin (isteri-isteri Nabi). Berkata al-Ghazzali: “Justeru, perlu diketahui bahawa sisi jenaka Rasulullah SAW tidak berlaku melainkan dalam bentuk kebenaran, tidak menyakitkan hati dan tidak juga melampaui batas.”

3. Bukan gurauan dengan menimbulkan ketakutan atau kegemparan kepada orang lain.
An-nu’man bin Basyir r.a. menceritakan, “Suatu hari kami bersama Nabi SAW dalam satu perjalanan lalu salah seorang daripada kami terlelap di atas binatang tunggangannya hingga kepalanya tertunduk ke bawah. Seorang yang lain (kerana ingin bergurau) lantas mencabut satu anak panah dari bekas anak panah milik lelaki yang terlelap tadi dan menyebabkan ia terjaga kerana terkejut ketakutan. Melihat hal tersebut Nabi SAW lantas bersabda: Maksudnya, “Tidak halal bagi seseorang menimbulkan ketakutan kepada seorang Muslim yang lain.” (Riwayat ath-Thabarani)

4. Sesuaikan dengan keadaan
Jangan bergurau pada tempat yang sepatutnya bersikap serius, jangan ketawa pada tempat sepatutnya menangis. Setiap sesuatu ada ketikanya dan ada tempatnya, setiap kedudukan ada ucapan yang akan meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Antara perkara yang tidak boleh menjadi bahan gurauan adalah disebut oleh Nabi SAW dalam hadis riwayat at-Tirmizi. Daripada Abu Hurairah Nabi SAW bersabda: Maksudnya, “Tiga perkara, sesungguhnya adalah sungguh dan gurauannya juga adalah sungguh: nikah, talaq dan rujuk.”

Antara celaan Allah kepada orang kafir musyrikin ialah perbuatan mereka ketawa ketika mendengar bacaan Al-Quran sedangkan mereka sepatutnya serius ketika itu dan merenungkan kandungan ayat yang dibaca.

Firman Allah dalam surah al-Najm ayat 53-59 yang bermaksud, “Maka patutkan kamu berasa hairan terhadap keterangan-keterangan al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa mengejek-ejeknya dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kau ialah orang-orang yang sombong, angkuh lagi yang melalaikan kewajipan.”

Image by jcomp on Freepik

5. Tidak mempermainkan syiar agama
Hukum berlawak dengan menggunakan nama-nama Allah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan syiar Islam adalah perlu dijauhkan dan dielakkan kerana dibimbangi perbuatan tersebut akan jatuh kepada haram. Perkara ini jelas dapat dilihat daripada firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 70: Maksudnya, “Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.”

Begitu juga dalam Surah Al-A’raf ayat 51 Allah berfirman yang maksudnya: “(Tuhan berfirman: orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya Dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya).”

Tafsiran ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada larangan untuk mempermainkan agama dan membuat sesuatu lawak yang mempunyai kaitan dengan ajaran Islam. Hal ini bertujuan untuk menjaga kehormatan agama Islam itu sendiri sepertimana yang telah digariskan dalam maqosid Islam yang dhoruriyyat iaitu menjaga agama.

Hal itu dapat dilihat dalam firman Allah SWT seperti berikut: Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” (Surah al-Hajj:32)

Bagaimana pula berlawak dengan memakai kostum badut?

Menurut Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hukum berlawak jenaka dengan berpakaian badut adalah makruh. Walaubagaimanapun, jika ada tujuan tertentu seperti pembelajaran dan hiburan kepada kanak-kanak, ada beberapa kriteria yang perlu dipatuhi. Pertama, tidak menjadikan maruah seseorang itu sebagai gurau senda. Kedua, tidak berbohong dalam lawak. Ketiga, tidak mempermainkan syiar agama.

Manakala kostum kartun seperti Didi and Friends, Omar dan Hana, Pikachu atau Doremon, beliau berpendapat ia dibolehkan dengan syarat ianya hanya dikhususkan untuk hiburan dan pembelajaran kanak-kanak semata-mata. Selain itu, ianya bukanlah sentiasa dan kerap dengan pakaian sedemikian kerana kanak-kanak juga perlu faham bahawa karakter berkenaan hanya khayalan semata-mata. Begitu juga maskot sukan di mana hukumnya adalah harus sebagai menaikkan semangat dan hiburan kepada audien semata-mata dengan syarat-syarat seperti yang disebutkan.

Sementara itu berlawak dengan mengenakan kostum anime atau adiwira pendapatnya adalah berlainan sedikit. Beberapa aspek perlu dipertimbangkan sebelum mengatakan ia boleh atau tidak terutamanya daripada segi watak kostum yang dipakai, kosnya, masa yang diperuntukkan, karakternya dan tujuannya.

Image by asierromero on Freepik

1. Aurat
Jelas sekali jika kostum tersebut mendedahkan aurat, maka jawapannya adalah diharamkan.

2. Menyerupai
Sekiranya ia menyerupai dewa-dewa dalam agama atau kepercayaan lain atau rekaan seperti Beerus, Haruhi Suzumiya, Deus Ex Machina dan lain-lain, maka ia juga diharamkan.
Daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dari bahagian mereka.” (Riwayat Abu Daud)
Ulama mentafsirkan ini bahawa penyerupaan dari sudut cara pemakaian, gaya hidup, etika hidup, panduan agama atau perilaku khusus bagi sesuatu kaum. Justeru, pemakaian kostum yang bertujuan untuk menyerupai sesuatu watak adalah perkara yang dilarang sama sekali. Sekiranya ada yang mempersoalkan kaitan pemakaian kostum dewa-dewa dengan akidah, kami katakan bahawa ia bukan isu tergugat atau rosaknya akidah tetapi ia adalah isu jati diri seorang Muslim.

3. Kos
Sekiranya ia memerlukan belanja yang besar sehingga membazir, maka ianya juga diharamkan. Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 3, maksudnya:“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Al-Maraghi dalam Tafsir al-Maraghi menyatakan, Allah SWT mengkhendaki manusia bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah dan tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas. Bahkan Allah menghukum mereka atas sikap berlebih-lebihan ini sesuai dengan bahaya dan kerosakan yang mereka timbulkan. Ini kerana, mereka telah melanggar sunnah-sunnah fitrah dan berbuat jahat terhadap diri mereka sendiri serta harta mereka.

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berpandangan bahawa dilarang bagi seseorang Muslim itu untuk memakai kostum atau cosplay kecuali dengan kriteria-kriteria yang telah disebut di atas. Selain itu, pemakaian kostum atau cosplay tertentu adalah lebih kepada untuk menunjuk-nunjuk dan boleh mendatangkan fitnah kepada agama Islam itu sendiri. Perbuatan tersebut termasuk dalam kategori pembaziran duit dan masa, dimana Allah SWT melarang keras hambanya daripada melakukan apa-apa pembaziran.

Konon Hendak Bergurau Tapi menyusahkan

Bergurau dengan keluarga atau kawan-kawan dengan cara menyembunyikan barang-barang mereka? Adakah boleh menurut Islam kerana bergurau sahaja untuk suka-suka tidak ada niat lain. Selalunya niat dijadikan alasan.

Jawapan yang diberikan Mufti Wilayah Persekutuan cukup jelas, mengambil barang dan harta kepunyaan ahli keluarga atau rakan-rakan adalah dilarang walaupun dengan niat untuk bergurau. Perbuatan tersebut dilarang kerana ia akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada tuan barangan tersebut.

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Said bin Yazid berkenaan larangan mengambil barang orang secara gurauan mahupun serius. Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Setiap seorang dalam kalangan kamu dilarang untuk mengambil barang kepunyaan saudara kamu secara bergurau dan secara serius (mencuri).” (Riwayat Abu Daud)

Menurut Syeikh al-Azim Abadi dalam kitab Aunul Ma’bud, hadis ini sebagai dalil tegahan daripada mengambil barang orang lain secara zahir, kerana ianya dikira mencuri. Dilarang juga mengambil barangan orang lain dengan niat untuk bergurau kerana perbuatan ini tidak mendatangkan apa-apa faedah. Bahkan ia boleh menimbulkan kemarahan dan menyakiti tuan empunya barang tersebut.

Jadi, berguraulah seadanya jangan terlalu banyak dan jangan tidak ada langsung. Gurauan itu ibarat garam dalam masakan kalau tidak ada akan tawar hambar jika terlebih memudaratkan.

 

Previous articleCara penyediaan “Chicken Wing” yang lazat di Restoran Rasa Rosz!
Next articleCity-Link Express bekerjasama dengan Weststar Maxus menggunakan kenderaan EV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here