Image by Dagny Walter from Pixabay

Oleh: Nury Kadir

Rupanya ada yang teringin sangat untuk menjamah daging babi hingga diciptakan daging babi tiruan. Di kalangan pengamal diet vegetarian, mereka memanggil daging babi tiruan sebagai meat vegan yang memiliki aroma, tekstur dan rasa yang hampir serupa dengan daging sebenar.

Dengan menggunakan teknologi pemprosesan makanan yang canggih, meat vegan perasa babi memang tidak melibatkan sumber dari daging babi atau sumber-sumber yang haram. Namun mengikut ulasan yang pernah makan daging tersebut, dari segi rasa dan baunya adalah seperti daging babi asal. Biasanya meat vegan diperbuat daripada kacang soya atau bahan-bahan bersumberkan tumbuh-tumbuhan.

Idea untuk menghasilkan daging babi tiruan secara besar-besar bagi menarik pasaran umat Islam seluruh dunia telah dimulakan oleh Impossible Food, California. Syarikat tersebut mendakwa bahawa daging babi tiruan itu dihasilkan dimakmal tanpa ada sebarang campuran daging babi atau sumber-sumbernya. Dan, usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan pengiktirafan halal bagi daging babi tiruan tersebut.

Pada logik akal akan mengatakan halal dimakan kerana semua bahan-bahannya halal. Kalau orang yang betul-betul menjaga soal makan, tidak sampai hati untuk menikmatinya. Kalau sudah namanya babi, walaupun diperbuat daripada sayur-sayuran, tekak tetap tidak mahu menelannya.

Sebenarnya semakin berkembang dunia dan semakin maju teknologi menjadikan manusia semakin pelik citarasanya. Mereka suka makan dan mencuba makanan lain dari yang lain, hendak makan benda-benda yang pelik, di tempat yang luar biasa di dalam bekas yang tidak pernah digunakan manusia untuk meletakkan makanan (seperti mangkuk berbentuk mangkuk tandas).  Benda yang pelik, ganjil dan luar biasa menjadi pilihan.

Kita tinggalkan dahulu cerita pelik manusia, mari teliti apa penjelasan yang diberikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan di dalam www.muftiwp.gov.my dan fatwa MUI mengenai daging babi tiruan ini.

Sebelum menjelaskan dengan lebih lanjut, dipetik dahulu sepotong ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 173, firman Allah SWT: Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah, dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”

Syeikh al-Sa’di dalam Tafsir al-Sa’di, menyebutkan bahawa larangan memakan bangkai kerana ia adalah buruk lagi memudaratkan dan kebiasaannya juga ia mati (menjadi bangkai) disebabkan oleh penyakit. Maka, semakin bertambah lagi kemudaratannya.

Image by Ben Kerckx from Pixabay

Begitu juga dengan daging khinzir. Para fuqaha telah sepakat (Ijma’) akan kenajisan daging khinzir sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa khinzir adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih.

Syihabuddin al-Alusi dalam Ruh al-Ma‘ani menyebut dikhususkan penggunaan lafaz daging, dalam masa yang sama bahagian-bahagiannya yang lain juga hukumnya haram kerana kebanyakan bahagian yang dimakan daripada haiwan adalah daging. Dan, seluruh bahagiannya yang lain mengikut hukum pada daging tersebut.

Mengenai perkara ini, Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran :
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya : “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” (Surah al-A’raf : 157)

Dalam -Fiqh al-Manhaji, maksud ( الطَّيِّبَاتِ – baik-baik ) ialah perkara yang disukai dan diingini oleh jiwa manusia yang bersih.
Begitu juga firman Allah SWT surah al-Baqarah ayat 168:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
Maksudnya : “Wahai sekalian manusia, makanlah kamu dari (hasil) yang terdapat di atas muka bumi (makanan) yang halal lagi baik.”

Syeikh al-Sa’di telah mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ianya ditujukan kepada seluruh manusia, sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka mengambilnya (memakan dan mengambil manfaat daripadanya). Namun bukan dengan cara merampasnya, atau mencuri atau dengan hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.

Manakala toyyiban pula ialah bukan daripada perkara yang buruk (kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus.

Ayat di atas juga menunjukkan bahawa makanan yang hendak dimakan mestilah memenuhi dua kriteria tersebut iaitu halal dan baik.
Berbalik kepada daging babi tiruan, asal kepada sesuatu sumber makanan itu sama ada daripada haiwan atau tumbuh-tumbuhan atau lain-lain adalah halal melainkan ada nas yang jelas terhadap pengharamannya. Perkara ini adalah bertepatan dengan kaedah :

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم
Maksudnya : “Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya”

Justeru, asal hukum daging tiruan yang diasaskan daripada sumber tumbuh-tumbuhan dan bahan-bahan tambahan yang dibenarkan adalah halal dimakan seperti daging lembu, kambing atau ayam tiruan yang dibuat daripada kacang soya atau kacang hijau. Lebih-lebih lagi, daging tiruan tersebut dihasilkan bagi memenuhi permintaan vegetarian yang ingin merasai bagaimana rasa daging yang sebenar.

#Ikuti sambungan artikel bahagian kedua tentang status kandungan daging babi tiruan ini yang diragui kehalalannya.

Previous article“Don Dukun” pukau penonton, kutip RM4 juta dalam masa 10 hari
Next articleHere I Am – Rossa, tak jemu hibur peminat Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here