Oleh: Khadijah Ibrahim
SERING melakonkan watak lasak, pelakon Zul Ariffin mengakui sepanjang menjalani penggambaran filem komedi seram “Don Dukun”, beliau gemuruh.
Jelas Zul, beliau mempunyai perasaan begitu kerana “Don Dukun” adalah filem komedi pertama lakonannya yang menjalani penggambaran di sebuah banglo d Kelantan.
Dalam filem terbitan oleh Astro Shaw dengan kerjasama oleh Infinitus Productions dan GSC itu Zul memegang watak sebagai Don Arif, seorang bomoh dan pempengaruh media sosial dan anak kepada Pak Samad, lakonan Datuk Yusuf Haslam.
Siapa sangka, filem komedi pertama lakonan Zul bersama dengan barisan pelakon seperti Ropie Cecupak (Jaafar), Douglas Lim (Aloysius), Sangeeta Krishnasamy (Doktor Divya), dan Marsha Milan Londoh (Datin Azizah) mampu menarik perhatian penonton sejak ditayangkan pada 31 Oktober lalu.
Turut berlakon dalam “Don Dukun” ialah Putri Qaseh, Sharifah Aryana, Serra Kamal, Sharifah Husna, Rashidi Ishak, Aloy Paradok, Zarina Anjolie, Elly Arifin dan Lousia Chong.
Dalam tempoh sepuluh hari tayangan di pawagam, “Don Dukun” berjaya mencatat kutipan luar biasa sebanyak RM4 juta. Kejayaan tersebut sekali gus mengangkat “Don Dukun” sebagai filem komedi seram tempatan dengan kutipan box office tertinggi untuk tahun 2024.
Penerbit Eksekutif “Don Duku”n merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad melahirkan rasa syukur atas sambutan yang diberikan terhadap filem tersebut.
“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur atas sambutan positif ini. Terima kasih kepada setiap penonton yang memilih untuk ‘healing’ bersama Don Dukun di pawagam. Kejayaan ini adalah hasil sokongan padu anda semua, yang terus mengangkat filem tempatan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Filem ini mengisahkan Don Arif, seorang dukun Instafamous yang bercita-cita menjadi sehebat keturunannya, walaupun terpaksa menggunakan pelbagai gimik dan tipu daya untuk memikat pengikutnya di media sosial.
Namun, impiannya dihalang oleh bapanya sendiri, seorang dukun terhormat, yang enggan mengajarnya ilmu keramat warisan keluarga. Keadaan berubah apabila seorang janda kaya muncul dengan tawaran lumayan untuk memulihkan anak tirinya yang diselubungi gangguan kuasa gelap.
Don Arif mendapati dirinya terjebak dalam persaingan sengit dengan bomoh-bomoh lain yang juga memburu habuan tersebut.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.